Amanah Johor akur dapat 12 kerusi berganding dengan kekuatan PPBM

KUALA LUMPUR: Selepas kecewa diberikan hanya 2 kerusi Parlimen, Amanah Johor sekali lagi terpaksa akur dengan peruntukan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana mengakui kekuatan PPBM mampu menarik lebih ramai pengundi Melayu di negeri itu untuk menyokong Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi Amanah negeri, Aminolhuda Hassan berkata faktor lain ialah pengaruh Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Johor.

“Kita semua tahu Dr Mahathir sudah dikenali dalam kalangan orang Umno dan orang Melayu. Kejayaan Dr Mahathir dalam menguruskan negara selama 22 tahun juga tidak boleh dinafikan.

“Kita lihat pencapaian pembangunan dibawakan Dr Mahathir di Johor juga baik. Ditambah Muhyiddin juga tokoh dikenali di Johor dan ini sedikit sebanyak menyedarkan orang Melayu PPBM boleh menggantikan Umno,” katanya kepada FMT.

Johor merupakan antara negeri penting bagi PH pada PRU14.

Pada 7 Januari lalu, Amanah Johor memboikot Konvensyen PH kerana kecewa dengan tindakan gabungan itu menolak permintaan mereka bertanding 5 kerusi Parlimen di negeri itu.

Parti itu yang diperuntukkan hanya 2 daripada 26 kerusi Parlimen di Johor, iaitu Parit Sulong dan Pulai, berharap PH akan memberi lebih banyak kerusi DUN kepada mereka bagi menebus kekecewaan itu.

Bagaimanapun, PH memuktamadkan rundingan pembahagian 56 kerusi DUN di Johor Khamis lalu, dengan PPBM diperuntukkan 18 kerusi, DAP diberi 14 kerusi, PKR serta Amanah masing-masing mendapat 12 kerusi.

Pada PRU13, Barisan Nasional memenangi 38 daripada 56 kerusi DUN, DAP (13 kerusi), PKR (1 kerusi) dan PAS (4 kerusi).

Bagaimanapun, seorang wakil rakyat PAS melompat ke Amanah dan seorang adun BN menyertai PPBM.

Aminolhuda berkata, selain Amanah, DAP turut mengakui kekuatan PPBM di Johor.

“DAP juga akui kekuatan PPBM disebabkan itu kita beri kepercayaan untuk PPBM bertanding lebih banyak kerusi.

“Kita nak beritahu rakyat, orang Melayu juga masih berkuasa jika PH menang dan pimpinan dalam kerajaan juga akan diketuai orang Melayu,” kata bekas pesuruhjaya PAS Johor itu.

Amanah tidak kecewa permintaan 14 kerusi DUN ditolak

Aminolhuda berkata, partinya tidak kecewa diberikan hanya 12 kerusi DUN memandangkan jumlah itu tidak banyak berbeza daripada 14 kerusi DUN diminta mereka.

“Jika dibahagi 4 daripada 56 kerusi DUN di Johor, sepatutnya setiap daripada 4 parti komponen PH dapat 14 kerusi DUN.

“Alhamdulilah, walaupun bilangan sedikit daripada apa kita sasarkan, tetapi kita terima kerusi sama banyak dengan PKR.

“Kami merasakan kewujudan Amanah diiktiraf seimbang dengan PKR, walaupun PPBM dapat kerusi lebih.”

Adun Parit Yaani itu berkata, senarai penuh nama calon yang bakal diturunkan pada PRU14 akan diumumkan pada Konvensyen PH Johor yang dijangka berlangsung April nanti.

“Pada konvensyen itu juga kita akan umumkan tawaran PH Johor kepada rakyat di Johor, sekiranya PH diberi amanat untuk memimpin Johor pada PRU14.”

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *