Pakatan Harapan janji tiada U-turn dalam pembaharuan politik dan ekonomi

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan tidak akan membelakangi pembaharuan politik, ekonomi dan sosial, walaupun menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri mereka.

Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata manifesto pakatan pembangkang untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan membuktikannya.

“Manifesto untuk PRU14 yang kini dalam persiapan peringkat akhir akan memfokuskan pembaharuan dalam politik, sektor ekonomi dan sosial.

“Hakikatnya, kita tidak membuat apa-apa pusingan U dalam pembaharuan,” katanya dalam ruangan komentar yang disiarkan The Edge.

“Kami jelas menyatakan misi PH ialah membina sebuah kerajaan bersih, bertanggungjawab dan berkemampuan yang komited kepada pembaharuan institusi dan politik yang akan melindungi hak semua kaum dan meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia.”

Pada konvensyen tahunannya 7 Januari lalu, Saifuddin mengumumkan Dr Mahathir, 92, yang pernah menerajui negara selama 22 tahun, sebagai calon perdana menteri PH jika mereka memenangi PRU14.

2 penggal untuk Perdana Menteri

Saifuddin berkata, pembaharuan itu akan mengambil pendekatan 5 cabang, pertama ialah memastikan perdana menteri hanya boleh berkhidmat maksimum 2 penggal dan tidak boleh memegang jawatan menteri kewangan.

“Kami juga akan memperkasakan Parlimen untuk memainkan peranan lebih berkesan dalam memeriksa eksekutif dan mewujudkan Jawatankuasa Parlimen untuk mengawasi setiap kementerian dan isu penting lain.”

Katanya, fokus ke-2 pembaharuan ialah memperkasakan institusi awam, seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman.

“Kami akan memastikan SPR bebas, pelantikan ahlinya melalui Jawatankuasa Parlimen relevan dan memenuhi tuntutan Bersih 2.0 untuk mempunyai sistem pilihan raya yang bersih dan adil.

“Fokus ke-3 ialah memansuh, mengkaji atau meminda undang-undang menindas dan anti-rakyat untuk memastikan hak rakyat dipertingkatkan dan dilindungi.”

Katanya, undang-undang itu termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Majlis Keselamatan Negara 2016, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas), Akta Pencegahan Keganasan 2015, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Kanun Keseksaan.

Saifuddin berkata, fokus ke-4 manifesto PH ialah memerangi rasuah dan meningkatkan ketelusan dengan memperkenalkan pembaharuan pembiayaan politik, melaksanakan tender terbuka dan memudahkan laporan rasuah.

“Akhir sekali, kami akan memperbaharui pasukan polis dan perkhidmatan awam untuk memperkasa dan membuatkan mereka lebih efektif.

“Ini termasuk memperkenalkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), mengelakkan kematian dalam tahanan polis, menangani masalah kanak-kanak tiada kerakyatan dan menkaji fungsi Cawangan Khas.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *