Hamka dan rakaman kegagalan anak muda, masyarakat

Arwah bapa ada menyimpan beberapa buku karya Pak Hamka. Masih ada dalam simpanan kutubkhanahnya.

Sehingga kini, kukira karya Pak Hamka yang benar-benar terkesan dalam jiwa ialah Falsafah Hidup, Tenggelamnya Kapal van der Wijk dan Di Bawah Lindungan Kaabah.

Karya terbesar Pak Hamka adalah Tafsir al Azhar yang ditulisnya sewaktu meringkuk dalam tahanan rejim Sukarno. Inilah harta warisan Pak Hamka yang sentiasa membasahi tanah hijau ini.

Susuk ulama besar Nusantara itu tidak sekadar seorang ulama yang terkurung dalam lingkungan madrasah atau masjid sahaja. Inilah susuk yang melibatkan seluruh hidupnya pada Islam yang praktis.

Dari segi politiknya, Pak Hamka seawal usianya menjadi ahli Sarekat Islam, berjuang mendapatkan kemerdekaan dan terpilih sebagai anggota Dewan Perundangan Jawa Tengah di bawah Parti Masyumi.

Dia dipilih sebagai ketua umum pertama Majlis Ulama Indonesia. Pak Hamka juga menulis pelbagai bentuk penulisan yang mengupas banyak aspek kehidupan – dari tafsir hingga ke novel.

Bagaimana seorang ulama besar menghasilkan novel cinta? Di sini bukan jawapannya.

Kritikan Yang Membangkitkan

Sesekali hujung bola mataku mencuri deretan novel-novel cinta pada rak kedai buku ternama. Tajuknya sudah cukup memualkan. Betapa banyak istilah agama dan cinta digunakan sebagai perencah novel popular.

Ia seperti filem dan drama televisyen sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Inilah satu siri pembebalan masyarakat yang berpanjangan dan kukira episod doktrinisasi yang paling menyeksakan bagi sang pintar.

Untuk tulisan ini, aku memilih karya dua novel Pak Hamka – Tenggelamnya Kapal van der Wijk dan Di Bawah Lindungan Kaabah – sebagai perkongsian dalam mengkaji rakaman sosial semasa untuk memahami peranan kita sebagai manusia di bumi Tuhan ini.

Kedua-dua novel Pak Hamka berkisar kepada usaha mewujudkan kemerdekaan dalam diri, dan memperjuangkan keadilan untuk masyarakat.

Kritikannya ditujukan terhadap masyarakat yang mewujudkan dua darjat berdasarkan perbezaan kekeluargaan, pangkat dan harta benda.

Pak Hamka menulis novelnya pada tahun-tahun akhir 1930-an. Ketika itu Nusantara masih dalam naungan dan penjajahan.

Novel Tenggelamnya Kapal van der Wijk diterbitkan oleh Balai Pustaka dan terlepas daripada penapisan kerana dianggap sebagai karya agama.

Seperti disebut oleh pengkritik sastera Indonesia, HB Jassin, penulisan Pak Hamka “sederhana tetapi berjiwa”.

Sentuhan kata-kata Pak Hamka menjadikan novelnya sentiasa ‘hidup’ dan memberi jiwa pada pembaca. Ia menyedarkan bahawa peri pentingnya pemilihan isu, kata, bahasa dan tema persoalan dalam berkarya.

Ia bukan karya syok sendiri tetapi satu naskhah yang mengangkat isu yang dianggap biasa pada sebelumnya, menjadi persoalan penting untuk diinsafi masyarakat.

Pak Hamka sering memilih pengakhiran yang menyedihkan dalam karyanya dan pendekatan itu dilihat seperti pasif. Namun kesedihan itulah titik tolak kebangkitan pada jiwa pembaca.

Watak utama dalam novel-novelnya berakhir dengan tragedi. Tenggelamnya Kapal van der Wijk adalah kisah tentang Zainuddin dan Hayati yang tidak dapat berkahwin yang dipisahkan secara terpaksa akibat darjat dan keturunan.

Hayati meninggal selepas kapalnya tenggelam dalam pelayaran. Zainuddin juga akhirnya meninggal kerana kesedihan kehilangan kekasihnya itu.

Raikan cinta bangkitkan bangsa

Begitu juga dalam novel Di Bawah Lindungan Kaabah. Watak utama – Hamid – meninggal di hadapan Kaabah setelah mengetahui kekasihnya – Zainab – menghembus nafas terakhir.

Kedua-dua pasangan kekasih tidak dapat berkahwin kerana perbezaan darjat dan sistem pemikiran masyarakat ketika itu.

Aku tidak berhasrat untuk berkongsi sinopsis novel tersebut. Memadai untuk kunukilkan tentang keupayaan Pak Hamka mengkritik ketidakadilan masyarakat ketika itu ke atas masa hadapan anak muda.

Corak pemikiran dan sistem sosial yang sedemikian telah membunuh potensi anak muda untuk membangunkan masyarakat dan negara.

Zainuddin dan Hamid adalah anak muda yang memiliki kekuatan berkarya bagi membebaskan negara daripada cengkaman penjajah dan seterusnya membangunkan negara baru yang merdeka.

Zainuddin seorang penulis terkenal namun hidupnya kecundang dalam bercinta. Begitulah juga Hamid yang merupakan seorang ilmuan dan memiliki peribadi baik untuk dicontohi dalam masyarakat juga gagal dalam mengatasi cinta yang terhalang.

Kedua-dua anak muda itu lambang mangsa kezaliman sosial yang ketika itu diterima sebagai norma dalam masyarakat semasa.

Begitu juga watak Zainab dan Hayati yang mewakili kelompok lemah dan menjadi mangsa dalam sebuah sistem nilai masyarakat yang tidak mengikuti syariat agama.

Melalui novel, Pak Hamka cuba menggarap potensi anak muda untuk mencorak masa depan negara yang akan merdeka. Mereka harus berani menongkah arus, berkerat rotan, berpatah arang jika mahu mencapai keadilan dan kebahagian sejati.

Di sebalik kritikan terhadap masyarakat, Pak Hamka juga mengkritik anak-anak muda yang sombong dengan dunianya.

Semua hero dan heroin dalam karya Pak Hamka adalah gambaran anak muda yang terperangkap dengan kesombongan dan ego ketika berhadapan tradisi semasa.

Ia juga kritikan terhadap anak muda yang kalah, sengsara, terseksa dalam mempertahankan pegangan hidup yang masih keliru.

Ini pertembungan perbezaan tradisi dan budaya. Sayangnya, anak muda gagal memahami budaya dan dunianya. Anak muda hanya percaya kepada keupayaan diri tetapi dalam jiwa halusnya gagal menerima realiti.

Sebenarnya masyarakat di Malaya ketika itu mengalami situasi yang sama. Ia diterjemahkan oleh Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam filem epiknya Penarik Beca (1955), Antara Dua Darjat (1960) dan Ibu Mertuaku (1962).

Bezanya P Ramlee bukanlah ulama seperti Pak Hamka. Namun, kedua-dua pengkarya itu menterjemahkan isu sosiosemasa untuk dinilai secara halus melalui seni – filem dan novel.

Sayangnya ramai lebih asyik dengan kejelitaan seniwati Saadiah, Sarimah dan Zaiton serta kesyahduan lagu-lagu P Ramlee.

Ada yang menyebutkan bahawa Tenggelamnya Kapal van der Wijk adalah tentang “meraiakan cinta, membangkitkan kesedaran berbangsa.”

>> Komentar bebas Dr Muhaimin Sulam, seorang aktivis politik, pensyarah di Universiti Teknologi Petronas, penulis buku serta esei I 11 Februari 2018.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *