Zahid Hamidi beri bayangan PRU14 berlangsung selepas April tahun ini

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan seolah-olah pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan diadakan selepas April tahun ini.

Walaupun tidak memberi gambaran yang jelas, Timbalan Perdana Menteri itu memaklumkan urusan kerja Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menjadi lebih sibuk pada April ini.

“KDN akan mengadakan himpunan setiap bulan, bulan Mac mungkin lebih sibuk dan bulan April mungkin lebih sibuk sedikit lagi,” katanya ketika berucap pada himpunan bulanan KDN di Putrajaya kelmarin.

Ia merujuk tugas pihak berkuasa seperti polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan sebagainya yang akan bertambah sepanjang kempen PRU14 berlangsung.

Teka-teki tarikh PRU14 diperkatakan orang ramai, lebih-lebih lagi selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi gambaran PRU14 mungkin diadakan sebelum 14 Julai tahun ini.

“14 Julai bererti 2 peristiwa akan terlepas. Pertamanya, Hari Raya Aidilfitri dan hari raya satu lagi. Dua-dua raya baru tuan-tuan naik haji. Kita buat lebih awal supaya tuan-tuan semat dalam hati,” kata Najib.

Tempoh mandat Kerajaan Persekutuan yang diterajui Barisan Nasional akan berakhir pada 24 Jun 2018.

Mengulas lanjut, Zahid menggesa warga KDN meningkatkan mutu perkhidmatan mereka dan membuat lonjakan untuk berada di depan.

“Oleh demikian dalam himpunan setiap bulan KDN, kita perlu melihat kepada diri sendiri dengan buat ‘self criticism’ di samping kita melakukan beberapa lonjakan untuk berada di hadapan.

“Kita tahu Strategi Lautan Biru (NBOS) merupakan fasa pertama dalam usaha perdana menteri bagi melakukan transformasi dalam beberapa bidang. Kini Strategi Lautan Biru ini berada di fasa ke-2 iaitu lonjakan NBOS, ertinya kita perlu melakukan lonjakan yang lebih daripada sekarang,” katanya.

Zahid juga mengumumkan tambahan nilai hadiah kepada RM50,000 bagi pemenang pertandingan kesenian setiap bulan oleh jabatan di bawah KDN sebagai langkah untuk menghilangkan tekanan.

“Untuk menghilangkan stress, kita kena adakan persembahan yang lebih baik.

“Saya ingin menambah hadiah pertama, kalau dulu hadiah pertamanya RM10,000, RM30,000, kali ini saya tingkatkan kepada RM50,000

“Hadiahnya datang daripada menteri-menteri dalam negeri bukan KDN, hadian ke-2 RM40,000 datang daripada timbalan-timbalan menteri dalam negeri, hadiah ke-3 RM30,000 datangnya daripada ketua setiausaha (KSU) dikongsi dengan timbalan-timbalan KSU tapi jangan guna wang kemenangan itu untuk jamuan kami, itu rasuah,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *