Misi gagal dan terkejut Tamrin di Bukit Aman, keterangan KP SPRM belum diambil

Apabila Tamrin Tun Ghafar mengajak saya untuk menemaninya berjumpa dengan Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun bagi misi merungkai siasatan pihak polis terhadap skandal Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad, saya memang teruja dengan pelawaan itu.

Bagi saya, ia adalah peluang terbaik untuk saya sebagai penulis kerdil untuk mendengar penjelasan daripada mulut orang nombor satu PDRM sendiri berkenaan status kes siasatan itu.

Tambahan lagi, sejak meletusnya isu skandal Dzulkifli dengan wanita yang dipercayai masih isteri orang melalui beberapa video yang tersebar luas di media sosial, saya turut beberapa kali menulis dan memberi ulasan mengenainya.

Dalam beberapa tulisan itu, saya menyimpulkan, oleh kerana Dzulkifli tidak menafikan dan enggan berterus-terang berhubung skandal yang mengait dan mencemar dirinya itu, di sebalik beliau selalu tampil membaca sajak dan menyampaikan khutbah di mimbar Jumaat, beliau sebenarnya tidak sesuai lagi mengetuai agensi seperti SPRM.

SPRM mesti diketuai oleh seorang yang bersih, kelihatan bersih dan tidak kotor kerana tugasnya ialah untuk membersihkan negara daripada segala kekotoran rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Ditambah dengan pihak polis turut membuka kertas siasatan untuk menyiasat Dzulkifli di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan iaitu memikat seorang wanita yang sudah bersuami bagi tujuan seks, saya merasakan jika pun Dzulkifli tidak mahu berundur, beliau setidak-tidaknya mesti mengambil cuti bagi memudahkan proses siasatan terhadapnya dijalankan.

Tidak itu saja, beberapa portal pro UMNO turut mengkritik Dzulkifli dan merasakan beliau tidak sepatutnya lagi berada di SPRM. Malangnya, Dzulkifli tidak memperdulikan teguran, kritikan dan pandangan itu.

Dalam isu berkaitan, Tamrin sendiri sebagai bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, adalah antara yang turut aktif mengkritik Dzulkifli dan beberapa kali bertanya kepada pihak polis melalui sebaran di media sosial berhubung status siasatan kes itu.

Katanya, sebagai pembayar cukai, termasuk GST yang dibayarnya setiap hari, sebagaimana rakyat biasa yang lain, beliau juga berhak mengetahui sesuatu perkara yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara ini.

Pada Isnin lalu, beliau mengutus surat kepada Mohamad Fuzi untuk berjumpa bagi mendapat penjelasan mengenai siasatan kes Dzulkifli yang dianggapnya sudah terlalu lama, lebih-lebih lagi KPN sendiri pada 6 Disember lalu ada mengeluarkan kenyataan bahawa pihak polis akan menyiapkan siasatan dalam tempoh seminggu.

Pada hari berikutnya iaitu Selasa, Tamrin dihubungi oleh pihak PDRM bahawa Mohamad Puzi sedia menemuinya pada Khamis iaitu semalam, jam 5.00 petang di Bukit Aman.

Sebagaimana Tamrin gembira dan teruja dengan respon pantas Mohamad Fuzi itu, saya turut mengalami perasaan yang sama apabila diajaknya bersama dalam pertemuan itu.

Menurut Tamrin lagi, oleh kerana beliau dibenarkan membawa dua rakan dalam pertemuan itu, beliau turut mengajak Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Zahid Md Arip untuk ikut serta.

Kira-kira jam 4.45 petang semalam, kami bertiga tiba di pondok pengawal Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dengan disambut mesra oleh oleh tiga pegawal polis yang kemudian membawa kami untuk urusan pendaftaran.

Setelah selesai urusan pendaftaran, pemeriksaan dan menyerahkan telefon bimbit untuk disimpan di pondok pengawal, kami seterusnya diiringi dan dibawa naik ke Tingkat 31, blok baru kompleks Polis Bukit Aman yang terletak tidak jauh dari pondok pengawal itu.

Setibanya di situ, kami dibawa ke sebuah bilik mesyuarat yang terletak bersebelahan dengan bilik pejabat yang tertulis perkataan “Ketua Polis Negara”.

Kami disambut oleh Wan Ahmad Najmuddin Mohd, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan turut bersamanya dalam bilik mesyuarat itu ialah tiga lagi pegawai tinggi polis yang bertulis tag nama di baju masing-masing sebagai Malek, Izany dan Shan.

Sambutan yang diberi cukup mesra dan ramah. Di atas meja pula sudah tersedia minuman petang berupa kuih-muih, buah-buahan dan kopi.

Daripada cara kami disambut di pondok pengawal, diiringi naik ke tingkat 31 dan kemudian dibawa ke bilik mesyuarat bersebelahan dengan pejabat Ketua Polis Negara, hati kami masih lagi berbunga-bunga gembira kerana yakin yang bakal ditemui ialah Mohamad Fuzi sendiri.

Setelah berbual-bual seketika, kebetulan Wan Ahmad Najmuddin adalah kenalan lama Tamrin, beliau kemudian memaklumkan Mohamad Fuzi tidak dapat menghadirkan diri dalam pertemuan itu berikutan terpaksa menghadiri majlis perasmian Forum Bandar Sedunia di KLCC, sambil memohon seribu keampunan.

Wan Ahmad Najmuddin memberitahu, beliau diminta untuk mewakili Mohamad Fuzi bagi pertemuan itu bersama tiga lagi pegawai tinggi polis yang ada bersamanya.

Tamrin ternampak kecewa kerana misinya ialah untuk mendengar sendiri daripada mulut Mohamad Fuzi berhubung siasatan tehadap Dzulkifli yang sudah berlanjutan begitu lama tanpa ketahuan apa jadi sebenarnya.

Lagi pula, tambah Tamrin, baru dua hari lalu Mohamad Fuzi menyatakan persetujuan untuk berjumpanya, ternampak tidak logik tiba-tiba beliau terpaksa menghadiri program Forum Bandar Sedunia yang biasanya jemputan program antarabangsa itu sudah pun dibuat sejak sebulan dua yang lalu.

Bagaimanapun, pertemuan dan perbincangan tetap diteruskan dengan Wan Ahmad Najmuddin dan tiga lagi pegawai berkenaan berkaitan topik yang disasarkan.

Dalam perbincangan yang memang fokus mengenai siasatan pihak polis terhadap kes Dzulkifli, di samping beberapa aspek lain turut diperkatakan, antara yang mengejutkan ialah apabila diberitahu kepada kami bahawa keterangan daripada KP SPRM belum lagi diambil setakat ini.

Tiada jawapan khusus diberikan mengapa perkara itu berlaku, sebaliknya mereka mengatakan siasatan masih lagi sedang berjalan.

Dalam hal itu, Tamrin membangkitkan bahawa sepatutnya keterangan atau pengakuan Dzulkifli yang paling awal diambil sebaik saja pihak polis membuka kertas siasatan.

Juga tiada jawapan diberikan bila siasatan boleh disiapkan, meskipun Mohamad Fuzi pada 6 Disember lalu mengatakan siasatan akan disiapkan dalam tempoh seminggu.

Pertemuan hampir sejam itu berjalan dengan mesra, santai serta beberapa kali diselangi dengan jenaka dan ketawa. Semua pegawai polis yang menemui kami itu, terutama Wan Ahmad Najmuddin, baik-baik belaka orangnya.

Cuma, kami sedikit kecewa kerana Mohamad Fuzi tidak dapat menghadirkan diri dan misi dianggap kurang berjaya, selain kami agak terkejut apabila diberitahu bahawa keterangan daripada KP SPRM belum lagi diambil sehingga ini, walaupun beliau diberitakan melalui gambar yang disebarkan melalui media sosial, sudah pun menikah dengan wanita yang dikaitkan dengannya itu pada 28 Januari lalu.

Mungkinkah keterangan daripada Dzulkifli akan diambil sekembalinya beliau daripada berbulan madu?

Untuk itu, Tamrin bertegas bahawa beliau akan mengutus surat sekali lagi kepada Mohamad Fuzi bagi pertemuan yang seterusnya, selain komited tidak akan berhenti daripada bercakap mengenai kes skandal Dzulkifli agar akhirnya kerajaan mengambil sesuatu tindakan dan tidak dilihat melindungi KP SPRM itu daripada sebarang kesalahan yang terkait dengan dirinya.

>> Komentar bebas Shahbudin Husin, penganalisa isu semasa I 10 Februari 2018

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *