BN biarkan perasuah dan kleptokrat berleluasa, pembeli maklumat pula ke penjara

KUALA LUMPUR: Hukuman penjara 30 bulan yang dikenakan ke atas naib presiden PKR Rafizi Ramli dan bekas kerani bank Johari Mohamad mengukuhkan persepsi umum bahawa pemberi maklumat (whistle blower) di negara ini tidak dilindungi meskipun peranan mereka mustahak dalam pendedahan skandal jenayah termasuk rasuah.

Sehubungan itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yakin hukuman yang dikenakan ke atas Rafizi dan Johari akan kembali menjadi pencetus kebangkitan rakyat terhadap pemerintah BN.

Dalam satu kenyataan media, beliau kesal apabila siasatan dan hukuman lebih tertumpu kepada mereka yang mendedahkan maklumat, berbanding usaha untuk menggerakkan penyiasatan menyeluruh terhadap kes yang didedahkan, lapor Malaysia Dateline.

“Jelas, ini adalah langkah simplistik bagi mengekang lebih banyak kes keboborokan dana awam di atas nama undang-undang,” ujarnya.

Beliau memberi contoh bagaimana pertuduhan dan serangan dilemparkan terhadap Rafizi dan Johari yang didakwa dan dihukum kerana melanggar Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) berhubung pendedahan akaun National Feedlot Corporation Sdn Bhd. (NFC).

“Pada saya, hukuman yang dijatuhkan adalah hasil usaha untuk membabitkan saudara Rafizi atas tuduhan fitnah, sedangkan sejarah NFC sendiri dipenuhi pelbagai kontroversi,” katanya.

>> Nurul Izzah turut menyorot pengumuman perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada 15 Januari 2012 bahawa aset NFC telah dibekukan bagi memberi ruang kepada penyiasatan lengkap.

Bagaimanapun tambah beliau, setelah 5 tahun skandal NFC dilaporkan di media, RM250 juta yang dipinjamkan kerajaan kepada syarikat tersebut belum ‘diselamatkan’ sepenuhnya.

“Datuk Seri Shahrizat (isteri pengarah urusan NFC) pula telah kembali ke persada politik dan mencanang idea untuk bertanding, sedangkan saudara Rafizi dan saudara Johari dijatuhkan hukuman penjara lebih 2 tahun.

“Saya berpandangan bahawa ini adalah gambaran sebenar situasi perundangan negara; seorang ahli dewan rakyat yang membongkar skandal berkait dana awam dipenjara, manakala seorang pemimpin negara yang terpalit skandal rasuah global masih bebas berleluasa.

“Di mana keseriusan kerajaan dalam menjalankan siasatan yang telus, tatkala isu yang terdahulu pun masih di takuk pensabitan mereka yang mendedahkan?” kesal beliau.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut menyatakan komitmen Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan seluruh institusi kerajaan (termasuk institusi perundangan) beroperasi secara telus tanpa campur tangan ‘kuasa luar’ jika diberi peluang menerajui Putrajaya.

Kerajaan PH, katanya akan mereformasi undang-undang sedia ada termasuk Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

“Saya yakin, hukuman yang dikenakan ke atas YB Rafizi dan saudara Johari akan kembali menjadi pencetus kebangkitan rakyat Malaysia terhadap puak pemerintah sedia ada. Ingatlah wahai UMNO-BN, titik perjuangan rakyat telah tiba, dan permainan sama sekali belum berakhir,” tegas beliau.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *