Berpecah tiga pun, undi akan pergi kepada Pakatan Harapan kata bekas MB Perak

KUALA LUMPUR: Pertembungan tiga penjuru ekoran tindakan Pas yang turut meletakkan calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tetap akan menyaksikan undi berpihak kepada Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Pengerusi AMANAH Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin berkata, pertandingan tiga penjuru sama ada di peringkat Parlimen mahu pun Dewan Undangan Negeri (Dun) tidak dapat tidak akan berlaku, lapor Malaysia Dateline.

“Pengumuman demi pengumuman dibuat oleh Pas yang hari ini mereka merupakan kumpulan ketiga akan meletakkan calon di 133 Parlimen dan banyak lagi kerusi Dun.

“Walaupun dua atau tiga penjuru, hasrat kita (PH) masih menentang Umno-BN. Itu merupakan musuh politik PH pada asalnya sama ada dari DAP, PKR, Bersatu dan AMANAH.

“Untuk itu, kita akan berhadapan tiga penjuru dengan Pas dan Umno-BN,” ujarnya menjawab satu soalan penonton dalam slot Fokus yang disiar secara langsung di Oren TV malam kelmarin.

Beliau berkata, beberapa tindakan dan strategi telah diatur PH dalam konteks menentang Umno dan Pas secara berperingkat daripada hari penamaan calon hingga hari mengundi pada pilihan raya kali ini.

Mengulas dakwaan perpecahan pengundi Melayu, Nizar berpendapat undi Melayu memang sudah lama berpecah dalam siri pilihan raya sebelum ini.

“Bukan satu fenomena baru yang menganggap pengundi Melayu berpecah kepada tiga. Sebenarnya tidak ada untuk dibuktikan bahawa pengundi Melayu memang pernah bersatu.

“Memang pengundi Melayu berpecah daripada mula pilihan raya lagi. Kalau berpecah tiga seperti diteorikan, kebaikannya InsyaAllah akan pergi kepada PH.

“Pengundi bukan sahaja daripada pengundi Melayu tetapi daripada pengundi bukan Melayu dan bukan Islam,” jelas bekas Menteri Besar Perak selama 11 bulan tersebut.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jering berkenaan berkata, PH khususnya AMANAH amat bersedia untuk berhadapan dengan pertandingan tiga penjuru pada PRU-14.

“InsyaAllah, mereka akan memberikan undian kepada PH. Kajian-kajian telah dibuat pengundi bukan Melayu memberikan sokongan yang kuat dan jitu kepada PH.

“Sudah tentu apabila mengambil kira pengundi bukan Melayu dan pengundi Melayu yang dikatakan berpecah tiga itu PH akan mendapat manfaat daripada gabungan (pengundi) tersebut,” tambah Nizar lagi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *