ANAK teruskan Jelajah Selamatkan Felda 2.0 di Lurah Bilut, Mempaga Sabtu ini

Persatuan Anak Felda Kebangsaan(Anak) akan bertemu warga Felda di Felda Felda Lurah Bilut dan Felda Mempaga, Bentong dalam Program Jelajah Selamatkan Felda 2.0 pada 10 Februari (Sabtu) ini.

Presidennya Mazlan Aliman berkata menerusi jelajah ini Anak akan melontarkan cadangan Pelan Pemulihan Felda yang merangkumi isu hutang peneroka, Perjanjian Tanam Semula yang berat sebelah, menstabilkan pendapatan peneroka dan masa depan Generasi Baru Felda.

Kata Mazlan, ia sekaligus menjawab retorik pada pelancaran Felda 2.0 oleh Perdana Menteri di Felda Lurah Bilut pada 4 Februari lalu.

Keengganan menubuhkan RCI yang menyebabkan kehilangan berbilion wang Felda, kemelut FGV dan kedudukan kewangan Felda yang kritikal; cuba dialih dengan gimik Felda 2.0 untuk mengalihkan perhatian warga Felda.

“Mana perginya Plan Transformasi Felda 2013-2056 yang dilancarkan sendiri Perdana Menteri di zaman Tan Sri Isa Samad?

“Apa kesudahannya dengan projek Sentuhan Kasih di Felda Tenggaroh, Cini dan Tenang (Besut) yang bernilai RM40 juta setiap projek, yang kononnya berteknologi tinggi.

“Sampai bila Datuk Seri Najib mahu membohongi peneroka dan warga Felda?” soalnya dalam satu kenyataan.

Justeru Anak memjemput seluruh lapisan warga Felda untuk hadir di acara kemuncak Jelajah Harapan Bentong pada 10 Feb ini di Felda Mempaga.

Manakala Jelajah Selamatkan Felda 2.0 bersama Tun Dr Mahathir akan bermula di Felda Lurah Bilut dan Mempaga.

Dr Mahathir dijangka akan berada di Tapak Pasar Malam Lurah Bilut dan Walkabout di Jalan Chui Yin dan disebelah malam akan hadir dalam siri ceramah umum di Felda Mempaga yang akan diadakan di hadapan D-Mart.

Jelajah Selamatkan Felda 2.0 ini akan disusuli 30 kawasan Parlimen Felda terpilih.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *