Amanah anggap rakyat dapat nilai sebagai Pas hilang arah tuju dalam isu dua versi kabinet

KUALA LUMPUR: Keinginan Pas menubuhkan dua Kabinet berbeza dalam pentadbiran kerajaan jika parti itu memenangi PRU-14 mendedahkan realiti Pas yang tidak lagi relevan dengan hasrat masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Pengarah Komunikasi AMANAH Kedah, Ustaz Ridzwan Abu Bakar berpendapat cita-cita Pas yang diucapkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu membuka ruang untuk rakyat menilai pendirian Pas pada masa ini.

Pengarah Komunikasi AMANAH Kedah, Ustaz Ridzwan Abu Bakar

“Dalam konteks Malaysia, logikkah keadaan ini boleh berlaku? Lebih daripada itu, saya menganggap ini adalah ruang dan peluang untuk rakyat Malaysia melihat rupa-rupanya mereka (Pas) sudah kehilangan arah tuju.

“(Pas) tetap menyertai politik dalam keadaan mereka tidak banyak peluang, idea sudah terlalu tepu, tidak ada.

“Maka mereka bercakap tentang kerajaan dua kabinet, berbicara tentang kerajaan teknokrat dan sebagainya dalam keadaan mereka tidak berbicara bagaimana sistem negara ini harus direformasikan terlebih dahulu,” ujarnya dalam slot Realiti PRU-14: Demokrasi (PH) vs Kleptokrasi (BN) vs Teokrasi (PIGS) di Oren TV.

Beliau berkata, Pas sudah tidak lagi konsisten dalam perjuangan meskipun bercakap tentang istiqamah dan pada masa sama tidak mempedulikan hak yang dimiliki setiap warganegara Malaysia.

“Orang ini tidak konsisten, ajak semua kita istiqamah, buat perhimpunan yang namanya fastaqim dan sebagainya tapi dia sendiri tidak istiqamah dan tidak konsisten ke arah mana dia mahu bawa perjuangannya.

“Sebagai contoh, dua, tiga bulan lepas, kalau Pas memerintah dalam keadaan dia menang 40 kerusi, dia mahu jadi ‘king maker’.

“Dalam keadaan itu, kabinet yang akan dibentuk dianggotai sepenuhnya orang Islam pada ketika semua warganegara Malaysia mempunyai hak yang sama.

“Kemudian, tiba-tiba bila ditanya bagaimana, dia sebut ada kerajaan yang disebut sebagai kerajaan dua Kabinet tentang ada kerajaan yang ada kelompok yang menjaga dasar dan melaksanakan dasar.

“Soalnya, dalam konteks Malaysia, kementerian apa yang tiada dasar? Kementerian apa yang nak dibentuk satu Kabinet yang hanya dipenuhi oleh orang Islam dan satu lagi Kabinet, tanpa orang Islam?” bidasnya.

Abdul Hadi pada 4 Februari lalu ketika berucap dalam satu program bersama masyarakat India di Kepala Batas, Pulau Pinang berkata, Pas merancang untuk mewujudkan dua Kabinet dalam kerajaan Malaysia.

Jelasnya, bidang tugas Kabinet pertama adalah untuk merangka polisi negara manakala Kabinet kedua adalah teknokrat yang akan melaksanakan dasar kerajaan.

Bagaimanapun, Harakahdaily kemudiannya melapor Hadi dalam satu kenyataan menafikan tentang cadangan dua Kabinet sebaliknya perkara itu disalah ertikan kerana beliau sebenarnya merujuk kepada pembahagian tugas.

Mengulas lanjut tentang saranan yang tiada peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan itu, Ustaz Ridzwan berkata, Pas meskipun mendakwa sebagai pembangkang tetapi tidak berperanan seperti sepatutnya dalam membawa alternatif kepada rakyat.

“Lebih menarik, Presidennya menyebut Pas bukan tidak menegur Najib dan kerajaan Umno-BN tetapi mereka menegur secara tertutup.

“Kalau tertutup, mungkinkah mereka mempunyai kerjasama atau bagaimana? Ertinya menghadapi PRU-14 ini mereka tidak tahu kedudukan mereka di mana.

“Dalam masa sama, tiba-tiba kita dengar dari semasa ke semasa mereka ingin bertanding dalam PRU-14. Mula-mula 60 atau 70 kerusi dengan target menang 40 (kerusi), kemudian naik lagi (bertanding) 80, target menang juga 40.

“Naik lagi kepada 130. Terakhir di Kepala Batas, dia sebut 130 dan mungkin bertambah lagi tapi target untuk menang tetap 40,” ujarnya.

Sehubungan itu, Ustaz Ridzwan berpendapat Pas mahu membawa model kerajaan teokrasi, mullah atau kerajaan versi Taliban yang seakan-akan meletakkan bahawa apa yang disebutkan pemerintah sebagai terlalu suci.

“Jadi, dua kerajaan ini, satu kerajaan kleptokrat yang mengambil hak rakyat, sudah tentu bukan model terbaik bagi Malaysia pada masa depan.

“Demikian juga, kerajaan teokrasi kerana semua parti politik pada masa ini adalah parti yang telah menerima bahawa negara kita Malaysia menjunjung demokrasi

“Mahu tidak mahu inilah model yang ada pada hari ini iaitu model demokrasi iaitu dari rakyat dan kepada rakyat,” tegasnya lagi dalam program yang dimoderatorkan Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *