Pengundi Parlimen Parit diingatkan usah termakan mata kail yang dipancing BN

PARIT: Koordinator AMANAH Parlimen Parit, Tarmizi Mohd Jam mengingatkan pengundi di kawasan tersebut supaya tidak termakan dengan mata kail yang dihulurkan Umno-BN menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

Menurutnya, pengundi parlimen itu termasuk di Dewan Undangan Negeri (Dun) Bota dan Belanja perlu melakukan perubahan drastik dengan merehatkan BN dan memenangkan parti-parti Pakatan Harapan yang bertanding, lapor Malaysia Dateline.

“Ini Kali Le Kite Tuko. Para pengundi Parlimen Parit diingatkan agar tidak takut atau runsing dengan ‘umpan’ yang diberikan kepada mereka pada musim pilihan raya sekarang.

“Pastikan umpan dimakan tidak bersama mata kailnya sekali. Berpeganglah dengan ingatan ini; ‘Apa deme bagi ambik. Bagi gule kacau. Bagi kain pakai.’

“Bagi ayam sembelih. Bagi basika kayuh. Bagi susu bancuh. Bagi beras tanak. Bagi lembu ternak. Bile ngundi pangkah Pakatan Harapan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menyifatkan semua ‘umpan’ barangan yang BN berikan kepada pengundi datang daripada duit rakyat sendiri bukannya wang kocek pemimpin BN dan Umno.

“Mereka hanya ‘menggayakan’ sahaja dengan wajah mereka supaya rakyat mengatakan ianya datang daripada Umno dan BN,” tegasnya yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan.

P.69 Parit pada masa ini disandang Umno-BN, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan yang menang dengan 4,497 undi majoriti menewaskan calon Pas, Muhammad Ismi Mat Taib.

Sementara itu, N38 Belanja disandang Mohd Nizar Zakaria manakala N39 Bota dikuasai Nasarudin Hashim, juga masing-masing dari BN.

Mengulas situasi politik tempatan, Tarmizi memberitahu Umno sedang ‘lemas’ menghadapi gerakan segelintir ahli untuk menyingkirkan Mohd Zaim sebagai Ketua Bahagian Umno kawasan itu yang sudah lima penggal menjadi wakil rakyat di situ daripada terus bertanding pada PRU-14.

“Namun, AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) terus bekerja kuat menemui pengundi dan menggerakkan mood perubahan.

“Gabungan mantap tiga parti – AMANAH, PKR dan Bersatu dalam PH di Parlimen Parit menjadi kekuatan dan tukul besi yang akan menggugat keselesaan Umno-BN untuk menang mudah,” tegasnya.

Beliau berkata, janji BN ‘dicapati’ kononnya akan dibina Hospital Sri Iskandar, Jambatan Lambor Kanan-Lambor Kiri dan Lapangan Terbang kini menjadi buah mulut kemarahan pengundi dan kayu ukur bagi mereka menilai kesungguhan BN membantu rakyat dan memajukan Parlimen Parit.

Turut menjadi perhatian pengundi, tegas Tarmizi, isu cukai barang dan perkhidmatan (GST), kenaikan harga barangan yang melambung, tiada peluang pekerjaan, penagihan najis dadah serta kenaikan harga petrol dan diesel.

“PRU-14 dan penyertaan Tun Mahathir Mohamad yang sudah bersama memimpin PH merupakan ruang terbaik untuk rakyat melakukan perubahan, membina semula negara dan memberi peluang kepada PH mentadbir Putrajaya dengan urus tadbir yang baik,” ujarnya lagi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *