Di sebalik harapan rakyat kepada PKR dan perbalahan sesama sendiri

Sepanjang minggu lalu berlaku berbalas-balas kenyataan umum antara pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan di Selangor, khususnya dari PKR, Amanah dan DAP berhubung proses pembahagian kerusi di negeri itu.

Kejadian ini tentu mengecewakan para penyokong Pakatan Harapan yang umumnya bertambah tertekan apabila pihak Barisan Nasional meningkatkan kempen menjelang pilihan raya ini.

Sejak gerakan Reformasi dilancarkan pada 1998, banyak peristiwa yang mendatangkan kekecewaan kepada penyokongnya, lebih-lebih lagi apabila berlaku perbalahan sesama pemimpin pakatan parti politik, daripada Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat hinggalah Pakatan Harapan.

Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim baru saja dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan ditangkap pada 1998, gerakan Reformasi terus digiatkan penyokong-penyokong beliau, baik di kalangan ahli Umno atau di luar parti itu.

Maka, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tampil dan tertubuhlah NGO bernama Pergerakan Keadilan Sosial (Adil) untuk meneruskan perjuangan Reformasi suaminya.

Lanjutan daripada itu, pendokong Reformasi kemudian mengambil alih sebuah parti beku, Ikatan Masyarakat Islam Malaysia untuk dijadikan Parti Keadilan Nasional.

Dr Wan Azizah menjadi presiden dan Dr Chandra Muzaffar menjadi timbalannya, sekaligus sebagai penghurai ideologi parti.

Keadilan menarik sokongan pelbagai NGO daripada yang berasaskan Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Jamaah Islah Malaysia (JIM) kepada kumpulan-kumpulan perjuangan satu isu seperti Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Tenaganita dan kumpulan-kumpulan pejuang alam sekitar.

Keadilan menjadi parti pelbagai kaum yang merangkumi satu spektrum luas di kalangan rakyat.

Maka tidak hairanlah Keadilan mudah bertapak di kawasan bandar, khususnya Lembah Klang yang meliputi sebahagian besar Selangor. Sebagai parti baharu, tentulah ia tidak mempunyai ahli yang ramai.

PAS lebih besar dan kukuh di Selangor, walaupun dalam pilihan raya umum 1995, ia tidak memiliki sebarang kerusi di negeri itu, baik di Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tetapi, PAS di bawah pimpinan Presidennya, Datuk Fadzil Noor dan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi sokongan kepada Anwar, gerakan Reformasi dan Keadilan.

Bukan saja PAS, tetapi juga DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Sokongan Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PRM, Dr Syed Husin Ali seperti mana Fadzil terhadap Keadilan juga tidak diragukan, walaupun ketiga-tiga mereka menentang Anwar ketika beliau dalam Barisan Nasional selama 17 tahun, iaitu dari 1981 hingga 1998.

Ini bermakna PAS, DAP dan PRM melawan Anwar dalam 4 pilihan raya umum iaitu 1982, 1986, 1990 dan 1999.

Sokongan kuat PAS kepada Keadilan ketika itu perlu juga dilihat di dalam barisan kepimpinan PAS terdapat golongan yang dipanggil profesional. Golongan ini pada 2015, disingkirkan daripada barisan kepimpinan parti hingga membawa kepada penubuhan Amanah.

Tanpa keraguan hubungan PAS dan DAP, Barisan Alternatif ditubuhkan yang juga dianggotai Keadilan dan PRM bagi menghadapi pilihan raya umum 1999. Sedangkan pada 1990 dan 1995, PAS dan DAP tidak boleh duduk semeja hinggakan Tengku Razaleigh Hamzah yang mengetuai barisan pembangkang ketika itu terpaksa menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat untuk melayan kedudukan PAS dan DAP.

Pemimpin-pemimpin PAS, DAP dan PRM yang merupakan parti pembangkang lama dan matang memberikan sokongan serta kerjasama kepada Dr Wan Azizah dan Chandra dalam keadaan mereka tidak pernah terlibat atau berpengalaman dalam politik kepartian.

PAS, DAP dan PRM menyokong Anwar menjadi calon perdana menteri bagi Barisan Alternatif, walaupun ketua umum Keadilan itu dalam penjara dan pasti tidak dapat memberikan kepimpinan bukan saja kepada pakatan pembangkang itu, tetapi juga partinya sendiri.

DAP berusaha meyakinkan orang Cina supaya memberi undi kepada Barisan Alternatif, iaitu bukan saja Keadilan, tetapi juga PAS serta mendokong Anwar sebagai calon perdana menteri.

Walaupun ramai kalangan orang Cina melihat Keadilan adalah parti serpihan Umno, tetapi adalah nyata parti itu mempunyai fahaman demokratik dan liberal serta berbentuk berbilang kaum. Ia tidak boleh dikatakan parti serpihan Umno. Chandra bukannya bekas orang Umno.

Tetapi, para penyokong Anwar dalam Umno yang keluar parti ekoran gerakan Reformasi, tidak semuanya menyertai Keadilan. Antara tokoh mereka yang memilih PAS adalah Datuk Dr Hasan Ali dan Datuk Kamaruddin Jaafar. Kedua-duanya menjadi sebahagian barisan kepimpinan PAS pusat.

PAS merupakan parti massa orang Melayu dengan memiliki ahli dan penyokong yang dapat meramaikan majlis ceramah dan lebih penting lagi membekalkan aktivis serta sukarelawan yang komited dalam kempen pilihan raya umum.

Mereka banyak memberi sumbangan tenaga dan aktiviti kepada Keadilan di seluruh negara, lebih-lebih lagi di Selangor.

Maka, pada pilihan raya umum 1999, PAS meraih keuntungan dengan memenangi Terengganu dan mempertahankan Kelantan.

Tetapi, keuntungan yang juga penting bagi PAS dalam pilihan raya itu ialah buat pertama kalinya mereka memperolehi kemenangan di 4 kawasan DUN di Selangor. Kemenangan PAS ini adalah hasil undi kepada Barisan Alternatif.

Di Selangor juga muncul tokoh berwibawa dalam negara yang merupakan bekas ahli politik Umno, tetapi menyertai Keadilan, iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim.

Ternyata, beliau menjadi tarikan besar bagi kemenangan Barisan Alternatif di Selangor pada pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat. Sedangkan ketika itu, secara rasmi Barisan Alternatif hanya dianggotai PKR dan PAS.

Tetapi, pembahagian kerusi menjelang pilihan raya umum berjalan dengan baik antara PKR, PAS dan DAP. Malah, Parti Sosialis Malaysia (PSM) pun mendapat tempat.

Keadaan satu lawan satu dengan Barisan Nasional membuahkan hasil apabila buat pertama kali dalam sejarah, parti itu hilang majoriti dua pertiga dengan 5 negeri jatuh ke tangan pembangkang.

Tetapi, Barisan Nasional berjaya menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak. Apa yang berlaku di Perak benar-benar mengecewakan pendokong Pakatan Rakyat.

Adalah sukar untuk menyalahkan Barisan Nasional kerana yang berpaling tadah ialah Adun PKR dan DAP sendiri. Ternyata Pakatan Rakyat gagal mempertahankan Perak dalam pilihan raya umum 2013.

Tetapi, Keadilan sejak awal lagi mengalami pergolakan yang melemahkannya. Chandra dan ramai pemimpinnya meninggalkan parti itu selepas pilihan raya umum 1999. Malah, ada pemimpinnya yang meninggalkan Keadilan dan menyertai PAS.

Penyatuan Keadilan dengan PRM adalah usaha Anwar untuk memantapkan partinya. Rakyat memberi harapan besar kepada PKR untuk mengetuai kerajaan negeri Selangor pada 2008. Malah, Khalid dapat memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat di Selangor dalam pilihan raya umum 2013.

Tetapi, harapan rakyat dikecewakan pergolakan PKR sendiri. Khalid hilang kepercayaan partinya dengan Anwar merancang untuk menjadi menteri besar melalui Langkah Kajang.

Apabila beliau dipenjarakan, tugas ini jatuh kepada Dr Wan Azizah. Tetapi, usahanya menjadi menteri besar gagal dan akhirnya Datuk Seri Azmin Ali yang menyandang jawatan itu.

Khalid tidak dapat menerima keputusan partinya. Keadaan ini menjadi lebih buruk lagi apabila PAS mempertahankan Khalid sebagai menteri besar. Tentulah keadaan ini tidak tahan lama dan akhirnya Khalid terpaksa juga berundur.

Sementara 2 adun PAS Selangor memihak kepada PKR. DAP lebih awal menyebelahi PKR. PAS juga menolak cadangan PKR untuk menjadikan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar. Sebaliknya PAS menyokong Azmin.
Akhirnya Sultan Selangor melantik Azmin sebagai menteri besar. Apa yang nyata, dalam PKR terdapat 2 kumpulan yang bersaing.

Pergolakan politik PKR ini akhirnya membawa kesan kepada Pakatan Harapan kini. Azmin masih berusaha mengadakan kerjasama dengan PAS yang tentunya tidak disetujui DAP dan Amanah.

Apabila PPBM menyertai Pakatan Harapan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi pengerusi, masalah yang kedengaran timbul datangnya dari Azmin. Tetapi Dr Mahathir sendiri kata, Azmin layak menjadi Perdana Menteri, tetapi beliau tidak dipilih buat masa ini oleh Pakatan Harapan.

Tetapi, apa yang mengecewakan para pendokong Pakatan Harapan ialah perbalahan terbuka antara Azmin dan pihak Amanah.

Di satu pihak terdapat dakwaan PKR Selangor tetap mencari jalan bekerjasama dengan PAS Selangor. Sementara ada pihak pula menyatakan PKR Selangor tidak yakin terhadap kemampuan Amanah dan PPBM untuk memenangi kerusi di negeri itu.

Walaupun kemudiannya Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyeru dilakukan rundingan dan bukan tuduh-menuduh sesama sendiri, hubungan antara Azmin dan kumpulannya dalam PKR dengan Amanah tidak akan lancar pada masa akan datang. Keadaan ini pasti akan mengecewakan pendokong Pakatan Harapan.

>> Komentar bebas Zin Mahmud, bekas Pengarang Kanan Utusan Malaysia I Tersiar kali pertama dalam FMT I 7 Februari 2018.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *