Gambaran pahit manis sebuah kehidupan Pok Ya gedebe Cong Codei

Cong Codei adalah sebutan sebuah nama hotel besar di Kuala Lumpur apabila dieja dengan tatabahasa Melayu.

Kerana sebutannya itu, satu watak samseng kampung dari Kelantan telah lekat dengan nama Cong Codei, seperti kebiasaan budaya tempatan yang gemar memalitkan gelaran-gelaran sindiran yang tidak senonoh, malah yang manja pada nama rakan-rakan.

“Ya” pula adalah sebutan untuk ringkasan nama orang di kampung seperti Yahaya atau Zakaria. “Pok” ialah pak yang biasa digelar untuk lelaki yang lebih tua di Pantai Timur Semenanjung.

Malah orang muda yang dilihat kawan-kawannya berlagak dan berfikir seperti orang tua juga disindir dengan gelaran “pok”.

Oh ya, saya bukan orang Kelantan, malah bukan dari Pantai Timur Semenanjung. Walaupun kelihatan ada sedikit kaitan pada nama, saya merupakan anak kelahiran utara semenanjung.

Pok Ya di Kuala Lumpur

Saya sekadar mahu berkongsi pengalaman menonton sebuah telefilem yang bertajuk Pok Ya Cong Codei yang ditayangkan di kaca TV baru-baru ini.

Drama ini mengisahkan seorang gedebe atau samseng kampung separuh usia di Kelantan yang baru beristeri muda. Dia diupah melakukan tugas khas oleh seorang peguam kaya di Kuala Lumpur.

Sang peguam itu juga orang Kelantan. Dia mahu Pok Ya mencari anak perempuannya yang diyakini orang kaya terbabit diculik seorang lelaki yang bekerja di pejabatnya.

Cerita itu berkembang dengan berkisar tentang kembara Pok Ya di Kuala Lumpur yang mengumpul anak-anak muda pengikutnya bagi membantu pencarian itu.

Sepanjang pencarian berkenaan, dia mengalami beberapa episod yang menyedarkannya bahawa tidak semua yang terpampang di depan mata adalah apa yang benar-benar difahaminya.

Sentiasa ada udang di sebalik batu, malah kadangkalanya apabila disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Bila disebut tentang samseng pula, mungkin ada antara kita yang membayangkan sebuah filem aksi, tetapi Pok Ya Cong Codei bukan telefilem jenis aksi lagak ngeri gaya Hollywood dan Hong Kong yang menjadi anutan komersial di seluruh dunia.

Ia bukan filem KL Gangster, Polis Evo atau J Revolusi. Ia tidak menampilkan watak-watak hitam putih yang mesti dibenci atau disukai sepanjang durasi telefilem tersebut.

Sebenarnya dia serius

Yang ada hanyalah watak Pok Ya yang dilakonkan oleh Sabri Yunus. Dia masih diingati sebagai seorang pelawak sejak era siri drama komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu pada dekad akhir 1980-an hingga awal alaf baru.

Kini dalam usia pertengahan 50-an, Sabri yang dilihat semulajadi dengan dialek Kelantannya tidak membawakan watak pelawak. Walaupun watak-watak anak muda pengikutnya tersenyum-senyum di belakangnya, gelagat keloloh Pok Ya di ibu kota tidak pula mengajak penonton tertawa terbahak-bahak bersama; mungkin sekadar sama-sama tersenyum manis.

Jika ada humor pun, ia merupakan hal-hal rutin kehidupan yang kita sendiri tertawa apabila mengingati kebodohan diri sendiri.

Malah, tentang sebutan cong codei – rasanya atas alasan hak cipta – adegan mengeja nama hotel itu ditiadakan dalam tayangan kali kedua telefilem ini.

Tidak pasti berapa banyak adegan telefilem ini dipotong untuk siaran di kaca TV.

Watak Sabri sebenarnya serius dan penonton ternanti-nanti gedebenya. Ia mengambil sedikit masa kerana drama ini mahu memperkenalkan terlebih dahulu watak-watak sampingan – Mustapha Kamal sebagai peguam dan bapa kepada Uqasha Senrose, manakala penculiknya pula adalah Fikry Ibrahim.

Antara pengikut Pok Ya pula dibintangi Saidi Sabri dan Ku Hanafi Ku Harun.

Mungkin ada yang mahu melihat Pok Ya sebagai watak orang baik di sebalik samsengnya, tetapi realitinya dia memang gedebe. Ada adegan samseng kampung itu bersama rakan-rakan lamanya yang biasa bermain dengan pistol. Juga gaya dan lagak pertemuannya dengan samseng tempatan di ibu kota.

Latarnya merupakan samseng jalanan – tiada glamour, tiada gemerlapan. Malah, tiada diskotek dengan lampu lip-lap, tiada kereta evo yang diubah suai, tiada watak berpakaian bercahaya jenama terbaru, tiada Cina jahat (errr…) dan tiada adegan tendang-terajang kung fu yang meleret-leret.

Memang berbaloi

Yang ada hanyalah manusia biasa yang mencari upah dengan kekuatan fizikal. Yang ada hanyalah kereta biasa-biasa, motosikal kapcai, gerai tepi jalan, dan teh ais ikat tepi.

Namun, latar itu tidak pula menjadikan Pok Ya Cong Codei melodrama yang meleleh-leleh dengan tangisan dan raungan, melainkan sebagai tatapan realiti. Watak kaya pula tidak tinggal di dalam mahligai gergasi melainkan rumah yang agak besar dan selesa.

Pada saat ini, mungkin saya ditertawakan oleh kawan-kawan rapat yang tahu saya jarang menonton filem atau telefilem Melayu. Bukan kerana sombong, melainkan masih kecewa dengan formula yang itu, itu juga.

Kekecewaan ini sama seperti kehampaan saya apabila menonton kebanyakan filem aksi Hollywood yang terlalu bergantung kepada teknologi imej janaan komputer (CGI) hingga berulang-ulang plotnya.

Apa pun sesekali memang saya menonton filem dan drama Melayu, terutamanya apabila menonton TV bersama ibu dan sanak-saudara setiap kali meraikan hari raya di kampung.

Saya akui drama Pok Ya Cong Codei ini saya tonton atas cadangan kawan-kawan. Ramai daripada mereka rakan-rakan Facebook, terutamanya dari Pantai Timur Semenanjung. Memang saya akui ia berbaloi.

Saya tidaklah memuji Pok Ya Cong Codei setinggi langit atau menganggap ia mempunyai mesej yang hebat, atau rahsia dakwah atau ilmu bangsa Melayu yang menakjubkan. Tidak.

Bagi saya, Pok Ya Cong Codei sekadar gambaran sebenar rutin hidup kita. Sama ada gedebe atau tidak, adab dan adat serta budaya tidak banyak berbeza. Cuma pilihan cara hidup sedikit berlainan.

Bukan berkhutbah, tak bosan

Maksudnya, kekuatan telefilem ini adalah cerita dan jalan ceritanya. Ia tidak memerlukan sebarang teknik hebat atau pun CGI. Dengan karya skrip dan arahan serta lakonan Sabri sendiri, ia sudah cukup kental sebagai sebuah drama.

Malah, untung bagi Sabri kerana diapit oleh barisan pelakon lain yang serasi dan menjadi.

Apatah lagi apabila drama ini menggunakan loghat Kelantan sepenuhnya (dan terima kasih kepada penerbit serta pengedarnya kerana menyediakan sari kata bahasa Melayu), lakonan Mustapha dan Uqasha yang memang kedua-duanya berasal dari Negeri Cik Siti Wan Kembang itu dengan mudah menjayakan watak-watak mereka. Loghat mereka selesa didengar tanpa sebarang overacting.

Kerana ceritalah yang menentukan hidup mati sesebuah drama atau filem. Tetapi mungkin kerana saya sudah berusia, saya berkata begitu.

Anak-anak muda mungkin teruja dengan filem-filem aksi dan sci-fi Hollywood yang berharga ratusan juta ringgit tetapi ia tidak bermakna bagi saya jika jalan ceritanya lemah.

Di samping itu, ada pula filem yang mungkin pengarahnya terlalu bersungguh-sungguh mahu membuktikan sesuatu sehingga selepas sejam saya masih terkial-kial memahaminya, dan di penghujungnya tiada ada-apa pun; sekadar berakhirnya sebuah cerita yang mendatar.

Di sini letaknya kekuatan Pok Ya Cong Codei – ia sebuah cerita yang mudah difahami (dengan sekali dua plot twist), ia bersahaja, ia tidak berkhutbah, dan perjalanan ceritanya tidak membosankan.

Malah, telefilem hampir dua jam ini tidak begitu terasa lamanya. Ia sebuah kisah gambaran pahit manis kehidupan – dengan izin – a bittersweet tale.

>> Komentar bebas Wan Hamidi Wan Hamid, penganalisa isu semasa I Tersiar dalam Malaysiakini I 5 Februari 2018

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *