PAS Kelantan akan jatuh dengan sendiri akibat kegagalan urus tadbir kata Husam

KOTA BHARU: Masalah bekalan air yang berlarutan dan kelembapan pembangunan boleh menjadi punca kerajaan PAS Kelantan jatuh dengan sendirinya pada pilihan raya umum akan datang, kata Naib Presiden AMANAH Datuk Husam Musa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mendakwa wujud kerjasama antara UMNO dan AMANAH untuk menjatuhkan kerajaan PAS di negeri itu.

“Saya nak jawab Nik Amar yang kata AMANAH nak jatuhkan kerajaan PAS di Kelantan.

“Saya sudah beratus kali sebut, PAS Kelantan ini kita tidak payah jatuhkan kerana ia akan jatuh dengan sendiri… dengan masalah air yang tak selesai, masalah pembangunan dia nak perlahankan.

“Kalau kerajaan PAS jatuh, itu sudah natural, bila rakyat tolak dan bukan sekali ini kerajaan PAS Kelantan (pernah) jatuh,” katanya ketika merasmikan pelancaran Jentera Pilihanraya Harapan Tanah Merah, baru-baru ini lapor Sinar Harian.

PAS Kelantan juga dibidas kerana cuba mengelirukan rakyat apabila mendakwa memiliki sumber kewangan yang cukup untuk mentadbir tetapi anehnya, kerajaan negeri terpaksa meminta ‘sedekah’ dari kerajaan Pusat.

“Kalau kerajaan BN tak beri duit, (kerajaan negeri) nak bayar gaji (kakitangan awam negeri) pun tak cukup, kena minta sedekah dengan kerajaan pusat.

“Jangan kelirukan rakyat, kata kerajaan Kelantan cukup duit kerana defisit belanjawan mengurus pada tahun lepas sahaja RM100 juta yang dibayar kerajaan pusat.

“Bila kerajaan pusat bagi duit, maknanya duit tak cukup. Dari satu sudut, perkara ini tak perlu diperbesarkan kerana itu tanggungjawab kerajaan pusat tapi dari satu sudut lain, kerajaan negeri kena mengaku duit tak cukup,” jelasnya lagi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *