Kerajaan akan tubuh jawatankuasa kaji undang-unang kekang berita palsu

PUTRAJAYA: Kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang baharu untuk membendung berita palsu yang boleh mengancam kestabilan politik, menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata jawatankuasa itu bermesyuarat buat kali pertama minggu lepas dengan dihadiri wakil polis, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, lapor Bernama.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga bersetuju supaya jawatankuasa itu turut disertai badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan serta ahli Parlimen.

“Ini bagi memastikan usaha kerajaan dalam menangani isu ini mendapat sokongan pelbagai pihak dan melalui proses perundingan bersama-sama semua pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata jawatankuasa khas itu akan mengkaji undang-undang yang berkaitan dan peruntukan dalam undang-undang baharu untuk pertimbangan Kabinet.

Azalina berkata kerajaan juga berharap undang-undang baharu itu boleh dibawa ke Parlimen pada sesi yang akan datang.

Buat masa ini, katanya, terdapat beberapa akta berkaitan isu itu seperti Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang diperkenalkan sejak 30 tahun lepas.

“Oleh itu, wajar bagi kerajaan meneliti sama ada peruntukan sedia ada masih boleh diguna pakai untuk menangani ancaman baharu yang bukan sahaja diterbitkan dalam bentuk cetakan dan penyiaran malah dalam platform media dalam talian,” katanya.

Beliau berkata langkah baharu untuk menangani penularan berita palsu perlu diambil supaya orang ramai lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan, menyebarkan dan berkongsi berita tidak sahih serta memastikan keselamatan negara terus dipelihara.

Pada Ahad lepas, perdana menteri berkata kerajaan akan mengkaji untuk memperkenalkan undang-undang bagi mengekang berita palsu, susulan langkah beberapa negara memperkenalkan undang-undang serupa.

Menurut laporan media, Perdana Menteri Britain Theresa May mahu menubuhkan sebuah unit baharu bagi meningkatkan usaha menangani penyebaran berita palsu dan menghalang kempen penyaluran maklumat tidak betul oleh negara lain.

Sebelum ini, Presiden Perancis Emmanuel Macron dilaporkan berkata mahu memperkenalkan satu undang-undang baharu yang mengharamkan berita palsu di internet ketika kempen pilihan raya negara itu berlangsung.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *