Boikot barangan negara EU dikaji semula agar tidak beri kesan kepada peneroka, kata Mahathir

KUALA LUMPUR: Kerajaan harus memikirkan semula cadangan untuk memboikot barangan negara-negara Kesatuan Eropah (EU) susulan negara dalam kesatuan itu bertindak mengecualikan minyak sawit daripada campuran biofuel dan tenaga boleh diperbaharui menjelang 2021 agar ia tidak membebankan peneroka Felda.

Tun Dr Mahathir mendedahkan, isu minyak sawit juga turut dibincangkan dalam pertemuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dengan Duta EU pada 26 Januari lalu, lapor Malaysia Dateline.

“Kita juga bertanyakan kepada mereka mengenai keputusan terhadap penggunaan kelapa sawit.

“Kita tanyakan apa sebenarnya yang berlaku mengenai keputusan EU itu.

“Kita dapati kerajaan terlalu awal mentafsirkan isu kelapa sawit itu sehingga memikirkan akan memboikot barangan dagangan keluaran negara-negara EU.

“Kita (Malaysia) perlu memikirkan semula keputusan itu (boikot) adakah wajar ia berlaku.

“Di pihak kerajaan perlu memikirkan semula bagaimana untuk memasarkannya agar ia tidak menekan peneroka Felda mengenai isu EU ini,” ujarnya ketika menjawab pertanyaan dalam sidang media diadakan selepas mesyuarat mingguan Majlis Presiden Pakatan Harapan di Petaling Jaya hari ini.

Pada Ahad Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, melalui Mesyuarat Jemaah Menteri, Kerajaan bakal mengkaji semula keputusan membeli barangan daripada negara-negara Kesatuan Eropah (EU) yang memboikot penggunaan kelapa sawit.

Tindakan tersebut diambil selepas negara-negara EU seperti Perancis bertindak mengecualikan minyak sawit daripada campuran biofuel dan tenaga boleh diperbaharui menjelang 2021.

Kunjungan pimpinan Pakatan Harapan (PH) menemui Duta EU, ujar Pengerusi Pakatan Harapan ini lagi, adalah untuk menerangkan perkara yang berlaku membabitkan kerajaan Malaysia selain menerangkan perkara yang diperjuangkan oleh parti pembangkang di negara ini.

“Apa sahaja yang mereka (Kerajaan) lakukan tidak dilaporkan kerana media dikawal oleh kerajaan dan dalam perhimpunan Agong Umno juga ada beberapa isu tidak boleh dibincangkan.

“Kita memberitahu duta EU apa sebenarnya yang berlaku dalam negara ini dan apa yang yang kita perjuangkan.

“Antaranya isu mengenai pilihan raya, cukai yang di kenakan ke atas rakyat dan banyak lagi perkara yang tidak didedahkan Kerajaan kepada mereka (duta EU) apa yang berlaku sebenarnya di negara ini,” ujarnya.

Pertemuan diadakan di kediaman Maria Castillo Fernandez, duta EU dan ketua delegasi EU ke Malaysia turut dihadiri Timbalan Presiden PH yang juga Presiden Amanah, Mohamad Sabu serta Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah.

Pengerusi DAP, Tan Kok Wai; Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar dan Naib Presiden PPBM, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang juga bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pelbagai isu dibincangakn dalam pertemuan itu, termasuk inisiatif EU untuk memerhati pilihan raya umum ke-14 atas
jemputan kerajaan persekutuan dan perkembangan tindakan diambil negara EU dalam isu 1MDB.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *