Mufti perlis ingatkan semua pihak jangan dedah aib lawan ketika berkempen pilihan raya

KUALA LUMPUR: Menjelang pilihan raya umum ke-14, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berharap agar mana-mana pihak tidak menggunakan serangan peribadi terhadap lawan mereka.

Sebaliknya, katanya lagi, parti politik sepatutnya hanya mengangkat isu yang membabitkan kepentingan awam bagi meraih sokongan pengundi.

Dengan pilihan raya yang semakin hampir, beliau berkata tidak pelik jika pelbagai berita dan khabar angin mula tersebar, lapor Malaysiakini.

“Jika calon itu ada isu peribadi, itu antara dia dengan Tuhan. Tak perlu bawa dalam ceramah. Kalau nak cari benda (buruk), kita semua ada (keburukan),” katanya dalam ceramah yang disiarkan di laman Facebook Promedia Tajdid, hari ini.

“Jika kita ingin bercakap tentang hilang (wang rakyat) RM50 juta, ia berkaitan dengan kepentingan awam,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika diminta hadirin untuk memberikan nasihat untuk membuat pilihan pada PRU ke-14.

Mohd Asri turut mengkritik segelintir masyarakat yang menurutnya lebih mementingkan isu peribadi pemimpin, berbanding kesalahannya yang lebih besar terhadap negara.
Beliau menegaskan dosa peribadi mana-mana individu, termasuk pemimpin, hanyalah antaranya dengan Tuhan dan tidak perlu dihebohkan.

“Tetapi bagi masyarakat kita, dosa peribadi (dianggap) besar tetapi dosa yang membabitkan umum dibiarkan.

“Jika orang itu khalwat, masuk surat khabar bertahun-tahun. Tetapi kalau curi RM5 bilion, tak mengapa dan masih boleh cium tangannya,” katanya lagi, tanpa merujuk sebarang nama secara khusus.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *