Sebenarnya bulan telah lama retak dan menunggu pecah di Kelantan dan Terengganu

Drama novel nukilan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said ‘Di Mana Bulan Selalu Retak’ merupakan sebuah drama yang amat hebat. Ia memaparkan kisah penderitaan hidup orang Melayu di kota besar (Singapura) yang selamanya bergelut dengan noda dan kepalsuan.

Realiti persoalan dalam drama yang pertama kali di terbitkan pada tahun 1965 ini dapat dilihat pada gambaran yang mencerminkan bahawa dunia dan manusia ini tidak akan terpisah dari baik dan buruknya amalan dalam menjalani kehidupan.

Apabila penderitaan yang berpunca daripada tekanan dan ketidakadilan itu sampai ke puncaknya, maka manusia tidak dapat berfikir dan bertindak secara siuman lagi.

Hari ini, ramai di antara kita yang berperwatakan seperti Falel, Zuraidah, Yazid, Samiah dan Murad, persisnya seperti juga drama tersebut. Dari segi kemelut harian yang dihadapi, konsep kehidupan buat masa sekarang tidak banyak berbeza dari drama nukilan A Samad Said.

Ciri-ciri penderitaan yang di hadapi ramai rakyat hari ini juga tidak banyak berubah atau berbeza dari drama ini.

Yang berubah mungkin cuma persekitarannya; ragam manusia daripada segi wataknya, mungkin juga jurang kemewahan orang orang atasan yang menimbuni kemiskinan orang bawahan semakin meluas, apa lagi dalam keadaan politik yang penuh dengan korupsi dan salah guna kuasa.

Dan tentunya keadilan yang masih samar dan jauh terpesong dari realiti kehidupan harian, masih tidak dipedulikan oleh pemimpin Malaysia.

Masyarakat Pantai Timur

Negara kita menghadapi begitu banyak tekanan, yang asalnya berpunca dari kerakusan kepimpinan.

Ketamakan mereka, ketidakadilan pihak yang sepatutnya bertanggungjawab, ketandusan integriti pegawai-pegawai kerajaan dan ketidaksiuman dalam tindakan yang diambil oleh pemimpim pemimpin, adalah sebahagian dari punca kepada banyak masaalah yang dihadapi negara mahupun rakyat.

Kepimpinan membuahkan corak kehidupan. Maka lahirlah dan terbentuklah keadaan politik Malaysia yang ada pada hari ini. Ramai menyatakan keadaan negara sekarang amat pelik, jijik dan jelik.

Diutarakan di sini contoh negeri-negeri Pantai Timur yang mana penduduk majoritinya bangsa Melayu, iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Mereka ini seharusnya mempunyai minda tersendiri, mengambil pendekatan yang berlainan dan mengambil kira kerakusan and tingkah laku pemimpin yang mereka sendiri mengundi di pilihan raya umum (PRU) dahulu.

Kelantan, Terengganu dan Pahang, tiga negeri Pantai Timur yang duhulunya penuh dengan adat resam dan budaya Melayu yang tinggi dan nilai kesopanan, yang ternyata, pada suatu waktu dulu boleh dibanggakan. Tetapi tidak sekarang.

Parti bulan

Budaya mencerminkan bangsa. Pemikiran memberi sesuatu gambaran terhadap minda mereka. Tetapi sekarang rakyat Melayu dari negeri-negeri ini bukan saja hilang budaya, tetapi juga agak terasing dari corak pemikiran yang berleluasa di Pantai Barat Semenanjung. Bagaimana ini boleh terjadi?

Antara puncanya ialah parti bulan. Parti bulan purnama atau PAS, yang naik di Kelantan pada tahun 1990 dan diikuti oleh Terengganu pada tahun 1999, adalah punca kepada taraf pemikiran dan kefahaman politik semasa di Pantai Timur.

Agama mengendap di sekitar kemiskinan. Sekali gus, politik sempit yang berlandaskan agama, yang juga begitu kedaerahan ini, telah berjaya menjunamkan taraf kehidupan orang Melayu desa yang saban hari dilingkungi penderitaan serta kesempitan hidup.

Inilah nasib yang menimpa rakyat di negeri-negeri ini.

Kelantan dan Terengganu, adalah dua negeri yang pada saat awalnya memeluk parti keagamaan ini dengan lebih erat dari negeri negeri lain, mengejar keagamaan dengan begitu rakus dalam banyak perkara, mengajar rakan rakan Melayu lain yang agak tidak sehaluan dengan mereka dan menentang keras ketidakadilan di saat Anwar Ibrahim terpenjara pada tahun 1998. Inilah realiti dan bukan cerita dongeng dari Pantai Timur.

Dalam beberapa dekad sebelum tahun 2000, parti bulan purnama ini, telah menukar corak fahaman politik tanahair dan lebih menjangkau minda orang orang Melayu kepada politik yang berlandaskan keagamaan.

Ada kalanya, ini tidaklah menjadi satu kesalahan asalkan mereka lurus dan telus dalam semua pendekatan dan tidak memilih watak watak tertentu untuk memberi sokongan.

Tetapi di sebalik semua itu, mereka juga menolak adat dan budaya Melayu yang lama diperjuangkan oleh parti sekular Umno, yang banyak bekerjasama dengan MCA dan MIC demi untuk mengeratkan masyarakat majmuk Malaysia. Umno, yang pernah memerintah Kelantan dari tahun 1978 sehingga 1990, tidak berdaya untuk mematahkan kemaraan PAS.

Masalah utama Umno ada pelbagai; antaranya kuasa dan wang ringgit. Demi kuasa mereka sanggup berbuat apa saja termasuk membayar wang sogokan atau menjadi hamba kepada korupsi. Ini yang membuat PAS maju ke depan, seperti menangguk di air yang keruh.

Acuan PAS

Kekuatan dasar parti bulan, PAS, yang banyak menggunakan pengaruh agama untuk menarik ahli telah membuat Umno sendiri takut dan bimbang. Kebimbangan ini telah menular di kalangan ramai pemimpin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah menukar strategi Umno dari dalam dengan menerapkan unsur unsur agama islam ke dalam aktiviti aktiviti parti dan juga kerajaan.

Sekarang, Umno tidak lagi gemar dengan panggilan parti sekular misalnya, walaupun ahli ahli mereka terutama di Sabah ramai yang bukan Islam. Melayu dan agama menjadi acuan yang sama sepertimana PAS.

Kemuncak parti bulan purnama ini ialah pada PRU ke-10 pada tahun 1999 selepas Anwar ditendang keluar dari Umno, setahun sebelumnya. Kerjasama antara PAS dan Parti Keadilan waktu itu telah memberi untung yang banyak kepada PAS.

Secara ringkas, parti ini telah sampai ke tahap yang mereka sendiri kagum dengan pencapaian tersebut. Mereka bukan saja menang di Kelantan, yang mereka telah memerintah sejak 1990, tetapi juga dapat merampas Terengganu dari kuasa Umno-BN.

Di Terengganu Umno-BN telah kalah dengan begitu teruk sekali. Parti pemerintah kerajaan pusat ini, menang cuma empat kerusi DUN daripada 32 kerusi yang ditandingi.

Di Kelantan pula, gabungan BN cuma menang dua kerusi dan PAS, parti bulan purnama, menang 41 kerusi dari jumlah keseluruhan 43 kerusi DUN. Sementara di Pahang pula, buat pertama kalinya PAS mula bertapak dengan memenangi enam kerusi negeri. (Sekarang cuma ada dua kerusi).

Bagi kerusi parlimen Kelantan, Pas menang 10 kerusi, PKR 3 dan BN cuma satu. Di Terengganu, PAS menang tujuh kerusi Parlimen dan satu lagi dimenangi oleh PKR. Gabungan BN langsung tiada kerusi Parlimen di Terengganu. Waktu itu Hadi menjadi Menteri Besar Terengganu.

Tetapi apa yang PAS buat dengan kemenangan besar ini? Apakah pula kesilapan dan kesalahan mereka sehinggakan pengundi terus membuang mereka selepas cuma satu penggal memerintah di Terengganu? Apakah mereka belajar dari kesilapan dan kesalahan?

PAS hilang 3 kualiti penting

Nyata sekali tidak. Parti politik yang berlandaskan keagamaan dan sekaligus menolak adat budaya Melayu ini, tidak dapat bertahan lama. Perkara pokok ialah kejujuran (honesty) diikuti oleh amanah, atau boleh dipercayai (trustworthy) dan ketiganya ialah integriti iaitu nilai-nilai keikhlasan, ketulusan, keutuhan, maruah atau harga diri.

Yang nyata, PAS sekarang ini tidak lagi mengutamakan perkara pokok.

Bagaimana mungkin satu parti yang berlandaskan nilai-nilai agama tidak mempunyai ciri-ciri kejujuran, tidak amanah atau tidak lagi boleh dipercayai oleh rakan-rakan parti mereka sendiri?

Ini adalah isu maha besar yang berlandaskan prinsip-prinsip utama (fundamental principles) sebelum kita bercatur dalam politik. Kalau dulu mereka mungkin ada, ternyata sekarang pemimpin PAS telah hilang tiga kualiti terpenting ini.

Sebagai contoh, sekiranya ada pemimpin Umno yang terlibat dengan rasuah, bukan satu perkara yang agak aneh lagi, kerana rasuah itu begitu berleluasa dikalangan pemimpin Umno dan dikatakan sudah menjadi sebahagian dari budaya parti tersebut.

Bukankah PAS pernah melawan rasuah yang berlaku di dalam Umno dan kerajaan suatu ketika dulu? Apakah waktu itu PAS masih mentah, mempunyai prinsip dan masih jujur dalam berpolitik?

Ini bererti, pada masa sekarang, setelah Pas menjadi dewasa, prinsip-prinsip kejujuran, amanah dan ‘integriti’ tidak lagi penting dan dibuang begitu saja?

Pemimpin agamawang

Ini jelas terbukti apabila sekarang terdapat pemimpin Umno yang bukan sahaja menerima rasuah tetapi mencuri dan merompak tabung bon negara secara bersiri. Tetapi pemimpin PAS bukan saja tidak menentang, malah dengan lantang telah menyokong pemimpin-pemimpin Umno tersebut.

Inilah malapetaka yang melanda penduduk Pantai Timur. Pemimpin yang dipilih tidak lagi dapat memahami fikiran, jiwa dan naluri rakyat. Ada kalanya rakyat yang lebih pandai dari pemimpin. Ini memangnya banyak berlaku dalam PAS.

Memang Hairan bin Ajaib, wahai parti bulan purnama. Nampaknya sekarang, PAS yang telah begitu berumur (63 tahun), telah mengidap katarak yang begitu serius, hilang penglihatan dan sekali gus pemikiran dengan menghalalkan rasuah dan rompakan ke atas wang negara.

Apakah ini wajar dari beberapa pemimpin parti yang menerajui parti yang berlandaskan ajaran agama? Sebagai agamawan, di mana kebenaran mu hai Haji Hadi, Tuan Ibrahim, Ahmad Yakob dan Mohd Amar? Apakah kelibat pertuturan Terengganu telah menukar agamawan kepada agamawang?

Dengan nama gabungan yang dinamakan, Pakatan Rakyat yang mana PAS antara tunggak di dalam gabungan tiga parti pada PRU ke-13 dulu, rakyat amat mengharapkan untuk PAS berlaku jujur dan adil.

Iaitu dengan meneruskan perjuangan mereka menentang rasuah, menentang rompakan bersiri ke atas badan badan kerajaan seperti 1MDB, KWAP, KWSP dan FELDA, serta sistem cukai GST yang membebankan rakyat dan segala macam ketidakadilan yang dilakukan kerajaan BN sekarang.

Apakah semua ini tidak lagi penting lagi buat parti bulan ini?

Atau apakah parti bulan telah retak dan pecah dengan terkeluarnya pemimpin-pemimpin yang lebih berwibawa dan sekarang menerajui Amanah?

Ternyata, seperti juga drama A Samad Said, masyarakat Melayu di Kelantan dan Terengganu bukan saja terpaksa melalui keperitan kehidupan, tetapi juga tekanan dari kepalsuan dan ketidaksiuman para pemimpin mereka.

Sebenarnya, bulan telah lama retak dan menunggu pecah di Kelantan dan Terengganu.

>> Komentar bebas Rosli Khan, perunding pengangkutan di Kuala Lumpur. Tersiar kali pertama dalam Malaysiakini. I 25 Januari 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *