Fatwa ganjil Pas tak timbul jika Hadi dinamakan calon PM Pakatan Harapan

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi beberapa perkara yang menimbulkan tanda tanya berhubung kandungan ucapannya di Shah Alam, Ahad lalu.

Sekali lagi beliau mempersoalkan tindakan menamakan perdana menteri sebelum pilihan raya diadakan adalah amalan luar negara seperti di Amerika Syarikat dan Britain yang mana ia tidak sesuai diamalkan di Malaysia.

Kata beliau: “Malaysia bukan Amerika yang pilih calon presiden, Malaysia bukan British nak pilih calon perdana menteri. Malaysia adalah Malaysia. Kita ikut petunjuk Nabi. Yakinlah dengan asas Islam, kita akan selamat”.

Memahami doktrin politik ‘Islam’ dan politik demokrasi moden ala presiden PAS ini melalui potongan ucapannya di atas dapat dibahagikan kepada dua bahagian:

Pertama: dapat difahami bahawa Abdul Hadi tidak memahami sistem politik demokrasi moden. Walaupun Malaysia tidak mengamalkan sistem pilihanraya presiden, menamakan calon perdana menteri untuk kempen pilihan raya bukanlah satu perkara yang luar biasa dalam konteks demokrasi berparlimen ala Westminster yang diwarisi daripada Britain.

Calon perdana menteri (prime minister in waiting) itu dinamakan kepada satu sosok yang dilihat terkehadapan, memiliki sokongan majoriti kumpulan pembangkang dan berupaya mencabar dominasi pengaruh kerajaan memerintah.

Adalah perkara yang agak pelik apabila pencalonan awal perdana menteri di pihak Pakatan Harapan (HARAPAN) seakan sebuah tindakan sama sekali salah pada amalan demokrasi. Rujukan mana yang diambil oleh beliau sehingga menganggap penamaan calon perdana menteri itu salah besar pada amalan demokrasi.

Kedua: Tiada petunjuk yang jelas daripada Nabi SAW yang boleh dijadikan asas larangan menamakan calon perdana menteri sebelum pilihan raya.

Sebagai seorang Muslim adalah menjadi kewajipan mengikut petunjuk Nabi SAW dalam beragama. Namun, urusan politik adalah bersifat ijtihadi dalam perkara mu‘amalah yang boleh berubah berdasarkan keperluan dan tuntutan semasa.

Ini berbeza dengan isu-isu prinsip akidah seperti ke-Esa-an Tuhan dan kerasulan Nabi Muhammad SAW yang bersifat tetap dan sama sekali tidak berubah zaman berzaman.

Frasa terakhir potongan ucapan Abdul Hadi juga tidak jelas sama ada beliau ingin menyatakan bahawa menamakan awal calon perdana menteri itu bercanggah dengan petunjuk Nabi Muhammad SAW?

Kalau itu yang beliau maksudkan, maka kita berhak mempersoalkan intergriti Abdul Hadi dalam menafsirkan teks-teks agama dalam hal hal ehwal politik. Ini berdasarkan tulisan dan tindakan Abdul Hadi sendiri.

Tulisan Abdul Hadi pada 22 Disember tahun lalu di laman web Harakahdaily dengan jelas menyatakan: “Maka PAS tidak akan mendahulukan pembentukan kabinet atau siapa bakal perdana menteri yang bakal menjadi bangkai sahaja. Itulah adab yang diajar oleh Rasulullah SAW apabila ketua kabilah Bani ‘Amir yang ditawarkan kemenangan Islam bertanyakan siapa ketua negaranya”.

Maka tidak salah sekiranya ucapan di Shah Alam (21 Januari lalu) difahami bahawa Abdul Hadi mendakwa menamakan awal perdana menteri adalah bercanggah dengan adab Islam dan petunjuk Nabi SAW.

Kisah yang dijadikan hujah oleh Abdul Hadi adalah kisah ketua kabilah Bani ‘Amir. Namun benarkah kisahnya begitu dan kesimpulan yang dibuat oleh Abdul Hadi dalam menolak pencalonan awal perdana menteri itu tepat?

Hadis yang dikatakan itu adalah seperti berikut:

أَرَأَيْتَ إنْ نَحْنُ تَابَعْنَاكَ عَلَى أمْرِكَ، ثُمَّ أَظْهَرَكَ اللهُ عَلَى مَنْ خَالَفَكَ، أَيَكُونُ لَنَا الأَمْرُ مِنْ بَعْدِكَ؟ قَالَ:الأَمْرُ إلَى اللهِ يَضَعُهُ حَيْثُ يَشَاءُ

Terjemahan: “(kata wakil Bani ‘Amir bin Sa’sa‘ah kepada Nabi SAW): “Apa pandangan engkau jika kami mengikuti engkau dalam urusan engkau, kemudian Allah memenangkan engkau ke atas orang yang memusuhimu; adakah kami akan menerima kuasa selepas dari engkau?

“Jawab Nabi SAW: kekuasaan dari Allah dan Dia akan memberikan kepada siapa yang Dia kehendaki”.

Kisah ini direkodkan oleh Ibn Hisham dalam kitabnya al-Sirah al-Nabawiyyah menukilkan riwayat Ibn Ishaq dengan sanadnya terputus dari jalur riwayat al-Zuhri.

Kisah itu sama sekali tidak membawa apa-apa isyarat hukum yang boleh difahami secara sahih mahupun sarih (jelas) yang boleh dijadikan dalil larangan untuk mencalonkan Tun Dr Mahathir atau mana-mana individu lain sebagai calon perdana menteri.

Ironinya, tindakan pencalonan perdana menteri awal atau cakap-cakap berkenaan calon jawatan tertinggi negara itu bukanlah tidak pernah dilakukan oleh PAS sendiri.

Pada 17 November 2012, akhbar Sinar Harian melaporkan ucapan sayap ulama PAS di muktamar tahunan mereka menegaskan bahawa Abdul Hadi adalah calon lebih layak menjadi perdana menteri Malaysia.

Begitu juga tindakan Abdul Hadi yang menjadi ‘rahsia umum’ apabila mencadangkan nama Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya umum ke-13 yang lalu.

Adakah Abdul Hadi gagal menjumpai nas-nas agama yang melarang perkara tersebut ketika itu, lalu mencalonkan nama perdana menteri lebih awal?

Apa yang pastinya ialah fatwa ganjil daripada Abdul Hadi dan PAS ini tidak akan sama sekali muncul sekiranya Pakatan Harapan menamakan Abdul Hadi sebagai bakal perdana menteri Malaysia.

>> Komentar bebas ABU HAFIZ SALLEH HUDIN, Timbalan Pengerusi, Biro Dasar & Strategik, Parti Pribumi Bersatu Malaysia I 24 Januari 2018

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *