Sekadar akui ada kegagalan dalam 1MDB tidak cukup, mereka terlibat mesti diambil tindakan

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata pengakuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa memang ada kegagalan dalam 1MDB masih tidak cukup.

Pengarah Komunikasi Amanah Nasional itu berkata, tindakan masih perlu diambil terhadap pihak bertanggungjawab dan yang mendapat manfaat daripada kesilapan itu.

“1MDB adalah satu pengkhianatan terhadap negara. Kekayaan negara dirompak dan rakyat terpaksa menanggung beban,” katanya kepada FMT.

“Sekadar mengaku ada kelemahan dan kesilapan tidak memadai. Perlu diambil tindakan terhadap yang bertanggung jawab dan mereka yang mendapat manfaat dari kerja merompak kekayaan negara.

Najib hari ini mengakui kegagalan 1MDB dan ada “sebab sah untuk bimbang” mengenai hal ehwal syarikat milik Kementerian Kewangan itu sehingga menyebabkan siasatan dijalankan di beberapa negara lain.

“Sekarang, saya tidak akan menafikan isu ini. Memang berlaku kegagalan dalam syarikat itu, ada kesilapan kerajaan,” katanya kepada kira-kira 1,000 hadirin pada persidangan Invest Malaysia 2018 hari ini.

Tetapi, Najib berkata, isu 1MDB dieksploitasi secara politik dan ada “kempen khas” untuk mensabotaj ekonomi Malaysia.

Katanya, kerajaan sedar terhadap kegagalan 1MDB dan itu sebabkan ia menjalankan siasatan membabitkan banyak pihak berkuasa.

“Tiada usaha sabotaj perlu dilakukan mana-mana pihak…dulu dinafikan masalah 1MDB sekarang tiba-tiba mengakuinya. Jangan nak tuding jari kepada orang lain,” jawab Khalid.

Sementara itu, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago mencadangkan Najib menubuhkan sebuah badan bebas yang terdiri daripada pakar tempatan dan asing untuk menyiasat isu 1MDB.

Beliau berkata jika Najib betul-betul serius mahu membaiki kesilapan dalam pengurusan 1MDB, siasatan perlu dibuat sebelum pilihan raya umum.

“Najib perlu mengambil langkah-langkah yang serius jika dia ikhlas bagi membetulkan kesilapannya itu,” katanya.

Charles menambah, Najib juga perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab terhadap kegagalan 1MDB.

1MDB ditubuhkan kerajaan untuk mempromosikan pembangunan ekonomi jangka masa panjang untuk manfaat rakyat.

Najib berkata 1MDB sudah merasionalisasikan asetnya dan dengan hasil kutipan itu mengambil pendekatan agresif mengurangkan hutang ke tahap yang paling rendah.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *