Jangan mimpi bentuk kerajaan campuran, Kelantan pun belum tentu dapat dipertahan

KUALA LUMPUR: Keputusan PAS ingin bekerjasama dengan parti politik lain untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan campuran selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menunjukkan mereka sedang menerima realiti sebenar yang berlaku, kata pemerhati.

Pakar undang-undang yang juga ahli DAP, Dr Abdul Aziz Bari dan penganalisis politik Dr Azizuddin Mohd Sani, berkata ini menunjukkan PAS tidak cukup kuat untuk membentuk kerajaan dengan sendirinya dan mereka patut berhenti “bermimpi” untuk menang besar pada PRU14 melainkan ia bekerja dengan parti lain.

Aziz berkata, PAS juga berkemungkinan hilang pengaruh di Kelantan jika ia tidak berpakat dengan parti politik lain.

“Pada PRU13, PAS memenangi kerusi di Selangor kerana ia menyertai Pakatan Rakyat. Mereka bukanlah banyak meraih sokongan dengan sendirinya.”

Katanya, kemenangan PAS di Terengganu pada 1999 adalah disebabkan gelombang Reformasi.

“PAS masih bermimpi yang mereka kuat.

“Ia tidak akan berlaku,” kata Aziz kepada FMT yang mengulas pengumuman Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Hadi semalam berkata beliau tidak menolak kemungkinan parti itu bergabung dengan pakatan parti lain untuk membentuk kerajaan persekutuan selepas PRU14.

Hadi juga berkata PAS sedang menyasarkan untuk bertanding di sekurang-kurangnya 130 daripada 222 kerusi parlimen.

“PAS mahu bentuk kerajaan atau menyertai pembentukan kerajaan, bukan lagi sebagai pembangkang yang lemah selepas PRU,” kata Hadi pada perhimpunan bersama ahli PAS di Shah Alam.

Aziz berkata berdasarkan sejarah pilihan raya negara, sasaran PAS mungkin tidak realistik kerana ia sudah gagal meraih sokongan Melayu, malahan sebelum parti politik lain seperti PKR, PPBM dan Amanah ditubuhkan lagi.

“Orang Melayu tidak begitu menyokong PAS, walaupun dahulu hanya ada PAS dan Umno, paling banyak PAS dapat raih adalah 25%-30% daripada undian Melayu,” katanya.

Beliau memberi amaran PAS mungkin kalah di Kelantan kerana Umno sedang bekerja keras untuk menang di sana, dengan Amanah yang juga “bekerja keras menembusi Kelantan dan Terengganu”.

Katanya, PAS berhasrat memperoleh sokongan dengan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) untuk membenarkan mahkamah syariah melaksanakan hukuman lebih berat.

Bagaimanapun, tambahnya, RUU itu “mungkin dibangkitkan secara tidak tentu antara PAS dan kerajaan Barisan Nasional (BN)”.

“Ia hanya menunjukkan PAS tidak mampu meraih sokongan dengan sendirinya.”

Pada Oktober 2017, PAS menolak cadangan Umno untuk membentuk kerjasama pilihan raya umum.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata PAS akan kekal bebas dan menjadi kuasa ketiga kepada kerajaan dan pembangkang.

“Umno ketika ini bukan pilihan untuk bekerjasama pada pilihan raya nanti,” katanya, dan menambah begitu juga parti politik lain.

Katanya lagi, PAS berjuang bukan untuk kuasa semata-mata tetapi juga untuk meneruskan prinsip dan perjuangan menurut Islam.

PAS, parti pembangkang Islam utama di Malaysia, memenangi Kelantan daripada Umno pada 1990.

‘Mungkin kalah di Kelantan’

Azizuddin, seorang penganalisis daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), berkata PAS berkemungkinan kalah di semua negeri jika tidak bekerjsama dengan Pakatan Harapan (PH) atau BN.

“Mereka sememangnya boleh bertanding di mana-mana kerusi mereka mahukan. Tetapi mustahil untuk membentuk kerajaan jika mereka hanya berdiri dengan sendiri. Mereka perlu bekerjasama dengan parti lain,” katanya.

Walaupun PAS mempunyai kekuatan di Kelantan, tambahnya, Umno dan Amanah juga bekerja keras di sana untuk meraih sokongan pengundi.

“PAS sememangnya mempunyai sokongan Melayu di pedalaman. Di kawasan bandar, ada Melayu yang menyokong parti itu tetapi ia tidak mencukupi untuk memberi kemenangan kepada PAS. Mereka perlu bekerjasama dengan parti lain.”

Timbalan Setiausaha Agung DAP Teresa Kok berkata, PAS mungkin bekerjasama untuk membentuk kerajaan campuran dengan BN selepas PRU14.

“Satu-satunya parti yang mahu bekerja dengan PAS adalah Umno,” katanya, sambil menambah, bagaimanapun akan terdapat bantahan daripada parti komponen BN lain berkenaan kemungkinan itu.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *