Pakatan Harapan Parit mahu Datuk Zaim perjelas status jambatan hubungkan Lambor Kanan ke Lambor Kiri

Petang tadi, Sabtu 20 Januari 2018 saya bersama Team Pakatan Harapan dan AMANAH Parlimen Parit telah ke tapak pembinaan jambatan yang menghubungkan antara Lambor Kanan ke Lambor Kiri seperti diperkatakan sejak Pilihan Raya Ke-10 (PRU10) lagi, terletak di gigi Sekolah Kebangsaan Lambor Kanan yang kini dikenali sebagai Pusat Kegiatan Guru (PKG), iaitu tapak asal jambatan kayu yang runtuh akibat dihanyut banjir.

Kira-kira 17 bulan telah berlalu, pengumuman Ahli Parlimen Parit, Datuk Zaim Abu Hassan berkenaan pembinaan jambatan yang menghubungkan Lambor Kanan dengan Lambor Kiri yang dikatakan sudah diluluskan itu, tidak diketahui perkembangannya sehingga kini.

Pakatan Harapan dan AMANAH Parlimen Parit memandang serius pengumuman ini memandangkan projek pembinaan Hospital Changkat Melintang masih tidak bermula walaupun dicanangkan pembinaan projek sejak Februari 2017 tetapi sehingga kini sudah setahun berlalu, tiada sebarang pembinaan dimulakan.

Menurut laporan Sinar Harian bertarikh 7 September 2016, sebanyak RM53 juta telah diluluskan untuk pembinaan jambatan bagi menghubungkan kedua-dua tempat itu, yang sebelum ini jambatan kayu runtuh akibat arus deras yang mengakibatkan banjir di beberapa tempat sepanjang Sungai Perak tersebut.

Datuk Zaim memaklumkan pembinaan jambatan ini pada Program Sehari Bersama Warga Emas anjuran Klinik Kesihatan Bota Kiri bersama Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bota Kiri di Akademi Latihan Kemas di sini, pada September 2016.

Tidak dinafikan jambatan ini bakal memanfaatkan lebih kurang 10,000 penduduk dan dijangka boleh mengembangkan ekonomi penduduk kedua-dua tempat apabila jalan perhubungan itu dibina kelak.

Cerita pembinaan jambatan ini juga sama seperti Hospital Seri Iskandar, disebut-sebut sejak PRU10 dan terus menjadi bahan kempen BN sehingga kini. Namun, setakat ini tidak diketahui hujung dan pangkal jambatan berkenaan malah difahamkan pihak kerajaan sedang berunding dengan tuan tanah untuk laluan tersebut.

Sekali lagi, Pakatan Harapan dan AMANAH mewakili warga Parlimen Parit khususnya penduduk Lambor Kanan dan Lambor Kiri menggesa Datuk Zaim memperjelaskan status projek jambatan yang telah diluluskan peruntukannya dan diumumkan kepada orang ramai ini, dengan segera.

>> Komentar bebas Dato’ Tarmizi Mohd Jam, Koordinator AMANAH Parlimen P.069 Parit merangkap Timbalan Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan I 20 Januari 2018

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *