Mengapa setahun baharu terbongkar pindah hak milik tanah Felda, apa cuba disembunyikan?

KUALA LUMPUR: Kenapakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Shahril Samad atas nama kerajaan dan Felda mengambil masa begitu lama untuk membuat laporan polis sehingga hampir setahun selepas menyedari kehilangan hak milik tanah Jalan Semarak pada bulan Januari 2017 dan katanya PM telah dimaklumkan pada Februari 2017, soal Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

“Skandal kehilangan tanah Felda di Jalan Semarak dikatakan bermula pada tahun 2014 tetapi ia disedari oleh Felda pada Januari 2017 seperti yang dinyatakan oleh Tan Sri Sharir Abdul Samad.

“Kenyataan beliau menegaskan sebaik sahaja beliau mengambil alih jawatan Pengurusi Felda daripada Tan Sri Isa Samad beliau telah dimaklumkan yang Felda telah kehilangan hak terhadap tanah itu yang terletak di kawasan strategik Jalan Semarak susulan urusan pindah milik tanah yang mencurigakan melalui penjualan tanpa satu sen pun pembayaran diterima Felda.

“Tanah tersebut telah berpindah milik kepada syarikat pemaju utama projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di atas tanah tersebut iaitu Synergy Prominade Sdn Bhd selaku pemaju yang memperolehi surat kuasa wakil secara penuh (Full Power of Attorney) daripada Felda telah memindah hak milik kepada syarikatnya pada tahun 2014,” kata ahli parlimen Pas itu dalam satu kenyataan medianya.

Oleh yang demikian soal beliau lagi, terdapat persoalan bagaimanakah laporan kewangan Felda untuk tahun 2015 dan 2016 dibentang serta digunapakai?

“Adakah laporan kewangan tahun tersebut masih lagi mengandungi laporan milikan aset tanah dan banggunan Felda Jalan Semarak yang sudah pun kehilangan pemilikan daripada Felda selepas dijual kepada syarikat pemaju projek KLVC sejak tahun 2014 lagi?

“Ini bermakna laporan tersebut tidak diaudit secara telus sehingga menyembunyikan kehilangan aset dan wang RM270 juta bagi kawasan berkeluasan 6.57 hektar di Jalan Semarak secara tipu,” sambungnya.

Kata Mahfuz, laporan polis hanya dibuat pada 12 Disember 2017 dengan menamakan syarikat yang memegang surat kuasa wakil penuh ke atas tanah-tanah itu, namun nama bekas Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad tidak disebut dan apakah sebenarnya yang mahu disembunyikan daripada pengetahuan umum.

“Tan Sri Shahrir Abdul Samad dalam kenyataan beliau berkata kerajaan dan Felda cuba berusaha dalam tempoh tersebut untuk mengembalikan tanah tersebut dengan melakukan kaveat di pejabat tanah Wilayah Persekutuan.

“Kenyataan beliau itu seolah-olah kalau dapat semula tanah tersebut maka akan ditutup penyalahgunaan kuasa yang berlaku dalam penjualan tanah Felda tanpa bayaran sekupang pun kepada Felda.

“Sekarang tanah tersebut masih belum lagi dikembalikan kepada Felda. Rakyat sedang menanti bagaimana penghujung kisah tanah Felda Jalan Semarak dan apa yang pasti tanah tesebut bukan lagi milik Felda.

Demikian juga sambungnya, dengan penjelasan yang diberikan oleh Tan Sri Shahrir Abdul Samad kepada pimpinan Pas sewaktu pimpinan Pas membuat kunjungan untuk mendapatkan penjelasan daripada Felda berhubung isu-isu Felda yang diperkatakan.

“Penjelasan apakah yang dibuat sehingga pimpinan Pas yang diketuai Timbalan Presiden Pas mengeluarkan kenyataan berpuas hati hasil penjelasan Felda sedangkan Tan Sri Shahrir Abdul Samad sendiri ‘terpegun’ mudahnya Felda hilang tanah.

“Siapakah sebenarnya yang cuba melindungi skandal penyelewengan ‘lelongan’ tanah Felda dan apa yang mahu disembunyikan daripada pengetahuan rakyat?” tanya beliau.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *