Masa untuk BERSATU sedia hadapi apa saja, harungi PRU14 bersama Pakatan Harapan

Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) esok (Sabtu, 30 Disember 2017) begitu penting kepada politik kepartian dan pembangunan Malaysia dalam menuju dekad akan datang.

Pada ketika banyak pihak berdoa BERSATU diharamkan atau terus lenyap daripada senario politik tempatan – disamping gagal bertanding pada pilhan raya umum (PRU) ke-14 – adalah jelas kepimpinan parti tidak pernah berputus asa.

Selain diancam berbagai kerenah seperti proses pendaftaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), BERSATU turut diancam kestabilan dan kelastariannya oleh pihak-pihak tertentu dari dalam parti sendiri.

ROS memaklumkan sebelum ini bahawa BERSATU tidak boleh bertanding dalam PRU ke14 jika tidak mengadakan perhimpunan agung tahunan.

Turut mendatangkan masalah kepada BERSATU ialah ada kalangan anggota parti yang sejak dari awal berusaha menggugat dari dalam.

Mengapa sertai BERSATU

Kerenah dan kepentingan peribadi begitu menonjol dan gara-gara itu mereka berusaha melumpuhkan parti daripada dalam.

Lantas timbul beberapa persoalan yang wajar djadikan kajian kenapa seseorang atau kumpulan menyertai sesebuah parti politik, khususnya yang baru seperti BERSATU:

Apakah menyertai parti baru itu sebagai membalas dendam kepada parti lama kerana mereka disisih atau tidak berupaya memegang jwatan yang dicita-citakannya?

Adakah menyertai parti baru kerana terpengaruh dengan kepimpinan dan aura pemimpin parti berkenaan?

Apakah menyertai parti baru itu sebagai wadah baru untuk melonjak demi cita-cita dan kepentingan peribadi?

Apakah menyertai parti baru kerana mengikut jejak langkah rakan atau kumpulan?

Apakah menyertai parti baru kerana suka-suka atau sekadar aktiviti sampingan mengisi masa lapang?

Mungkinkah menyertai parti baru kerana memperjuangkan isu dan kepentingan baru yang tidak diperjuangkan oleh parti lamanya?

Menyertai parti baru atas kesedaran tinggi demi masa depan rakyat, cucu-cicit dan negara yang lebih adil, saksama dan makmur?

Sewajarnya bagi setiap anggota BERSATU mereka perlu bertanya kepada diri mereka sendiri mengenai tujuan sebenar mereka menyertai parti berkenaan.

Hakikatnya, bagi yang sudah selesa dalm Umno, PAS atau PKR – atau juga parti lain – tidak perlu mereka menyertai BERSATU jika tidak mempunyai dua sebab terakhir di atas.

BERSATU mula berdepan kemelut selepas pengumuman senarai jawatankuasa tertinggi parti, selain penyerahan tauliah untuk pembentukan jawatankuasa penaja di peringkat bahagian di seluruh semenanjung.

Pihak yang tidak berpuas hati dengan pelantikan di peringkat pusat mula memberontak, sementara di bahagian-bahagian pula berlaku perebutan jawatan yang menyebabkan tergoncang kepimpinan peringkat negeri.

Pertelingkahan di Perak, Negeri Sembilan, Kedah dan beberapa negeri lain lebih kepada faktor mahu melantik atau meletakkan ‘kroni’ dalam barisan di peringkat bahagian dan negeri.

Keluar wang poket

Akibat tidak dipersetujui oleh kepimpinan pusat, sebahagian daripada mereka membuat onar, dan menyalahkan kepimpinan tinggi dan mengisytiharkan keluar parti.

Aneh sekali apabila kejadian ini berlaku sedangkan semua sedar bahawa BERSATU dan Umno jauh bezanya ibarat langit dengan bumi dalam apa juga segi, termasuk pentadbiran.

Bahagian-bahagian dalam BERSATU tidak menerima peruntukan seperti Umno, justeru tidak wajar sama sekali berlaku perebutan kerana tiada sebarang “ketulan emas atau perak” yang dijatuhkan dari peringkat pusat.

Rata-rata pemimpin parti berkhidmat dengan percuma, malah ada antara mereka terpaksa menggunakan wang sendiri.

Dalam keadaan begitu pun timbul pula masalah lain apabila mereka merungut dan marah-marah kerana terpaksa menggunakan wang sendiri untuk mentadbir bahagian.

Sekali lagi BERSATU bergelora.

Bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila ada anggota parti keluar BERSATU akibat kecewa kerana tidak mendapat peruntukan seperti diharapkan daripada parti.

Terserah kepada ROS

Sudah semestinya, perhimpunan agung tahunan pertama BERSATU esok – selain mendinginkan ancaman pembatalan oleh ROS – akan membentuk satu landasan kukuh ke arah gerakan yang lebih dinamik selepas ini.

Malah perhimpunan itu menjadi medan untuk anggotanya berikrar memperteguhkan parti selain menempuhi cabaran PRU ke-14 dengan bersiap siaga dan bersedia sepanjang masa.

Dijangka akan ada kira-kira 1,000 perwakilan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam esok untuk mengikuti pelbagai acara penting, termasuk ucapan daripada Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad, serta presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia akan menjadi satu detik yang bersejarah dan gilang-gemilang kerana perwakilan turut berpeluang untuk membahaskan ucapan dasar pengerusi.

BERSATU juga akan mengadakan pemilihan pengerusi tetap dan timbalannya, selain membuat pembentangan penyata kewangan tahunan.

Akhirnya, hasil daripada perhimpunan agung tahunan itu pucuk pimpinan BERSATU akan menyerahkan laporan kepada ROS dalam tempoh 60 hari.

Selepas itu terpulang kepada jabatan berkenaan mengiktiraf kesahihan prosidur itu atau sebaliknya.

Apa pun pucuk pimpinan parti bersedia untuk sebarang kemungkinan, termasuk tindakan mahkamah bagi memastikan ROS tidak digunakan sebagai alat politik bagi memenuhi keperluan mendesak kerajaan sedia ada.

Apa yang perlu dinyatakan dengan jelas ialah BERSATU sudah mengambil semua langkah perlu dan wajar, termasuk mengadakan perhimpunan agung tahunan esok seperti termaktub dalam perlembagaan dan Akta Pertubuhan 1966.

>> Komentar bebas HAMBALI ABDUL LATIFF bekas wartawan, pengarang akhbar yang kini menjadi perunding media bebas. Beliau juga terbabit dalam politik melalui BERSATU I 29 Disember 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *