Konvensyen Pakatan Harapan 7 Januari ini bakal umum tawaran ‘kerajaan menanti’

KUALA LUMPUR: Konvensyen Pakatan Harapan kali ke-2 yang akan berlangsung pada Januari 2018 akan datang bakal menterjemahkan komitmen bersama keempat-empat parti iaitu AMANAH, PKR, Bersatu dan DAP sebagai sebuah gabungan yang bersedia menggantikan pentadbiran negara.

Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Anuar Tahir berkata, konvensyen yang bakal berlangsung di Shah Alam itu akan membuat beberapa pengumuman penting bukan sahaja sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), malah juga tawaran sebagai ‘kerajaan menanti’.

“Tentu sekali ia adalah konvensyen bagi menghadapi PRU14, tetapi lebih mustahak daripada itu beberapa pengumuman besar akan dibuat khasnya tawaran kepada rakyat yang mencerminkan bahawa Pakatan Harapan adalah kerajaan menanti bagi menggantikan Umno BN,” katanya.

Menurut Anuar, ini termasuk tawaran-tawaran besar yang bakal dilaksanakan sebaik sahaja Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara jika diberi mandat oleh rakyat.

“Konvensyen kali ini juga bakal melakar sejarah dengan tawaran-tawaran kepada rakyat untuk kekal dengan regim sedia ada atau membuat perubahan politik ke arah sebuah negara yang lebih demokratik,” tambahnya sambil menyeru seluruh rakyat mengikuti perjalanan konvensyen itu nanti supaya dapat mengetahui tawaran-tawaran yang diumumkan.

Konvensyen Pakatan Harapan yang dijadualkan pada 7 Januari 2018 itu berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

Kesemua pemimpin utama Pakatan Harapan termasuk pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Lim Guan Eng dijangka akan menyampaikan pidato masing-masing.

Selain pimpinan, konvensyen juga akan mendengar pidato daripada wakil masyarakat pelbagai latar belakang termasuk petani, bekas tentera, bekas penjawat awam, wakil Felda, wakil artis dan lain-lain lagi melalui Pentas Rakyat.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *