Khalid Samad tidak tolak kemungkinan 13 Adun Pas Selangor dalam dilema

KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad tidak menolak desas-desus yang menyatakan ahli dewan negeri (Adun) Pas di Selangor kini berada dalam dilema ekoran hala tuju parti itu yang tidak jelas.

“Kebelakangan ini kita membaca idea yang agak kontroversi dikemukakan berhubung kedudukan Adun-Adun Pas di negeri Selangor. Ide kontroversi ini mencadangkan supaya mereka melompat keluar Pas dan menyertai Keadilan (PKR) dan seterusnya bertanding kembali kerusi mereka sebagai ‘incumbent’ atau penyandang tetapi atas tiket Keadilan.

“Saya yakin Adun-Adun Pas sedang dalam sedikit dilema mengenai cadangan ini,” ujar beliau dalam kolumnya di mingguan Amanah, akhbar rasmi Parti Amanah Nasional, edisi terbaru.

Menurut Khalid, bukan menjadi suatu rahsia apabila 13 Adun Pas Selangor dilihat tidak senang dengan keputusan Pas Pusat keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) apabila memutuskan hubungan dengan DAP dan Keadilan.

“Ini jelas berdasarkan surat yang telah ditandatangani kesemua 13 Adun Pas meminta supaya Pas Selangor dikecualikan dari dasar Pas Pusat untuk memutuskan hubungan dengan PR.

“Malangnya bagi mereka, rayuan mereka telah tidak diendahkan pimpinan Pas Pusat, khususnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang,” ujar beliau.

Khalid yakin pada ketika itu sudah ada di kalangan Adun Pas Selangor yang berhasrat keluar Pas dan bersama AMANAH namun kerana diyakinkan pihak tertentu bahawa hubungan Pas dengan Pakatan Harapan (yang menggantikan PR) boleh dipulihkan, mereka kekal bersama Pas.

“Kemungkinan mereka dimaklumkan bahawa perbincangan antara pihak Keadilan bersama Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Mustafa Ali sedang berjalan dengan begitu positif.

“Kemungkinan akan ada kerjasama antara Pas dan PH digunakan untuk mereka kekal dalam Pas dan pada masa yang sama mengekalkan juga ‘kerajaan PR’ di Selangor,” ujarnya.

Bagaimanapun, tambah beliau kerjasama Pas-PH itu tidak tercapai dan pada masa yang sama, perubahan sikap Pas telah menjadikan sebahagian dari mereka tidak lagi diperlukan oleh pemimpin Pas.

“Mereka merupakan golongan pro-kerjasama dengan Pakatan, sama ada Pakatan Rakyat atau Pakatan Harapan, sedangkan Pas sudah anti-Pakatan. Dalam keadaan sebegitu, mereka terpaksa memilih untuk sama ada terus bersama Pas, yang tidak lagi dipersetujui pendekatannya, atau keluar dan bersama PH khususnya bersama AMANAH,” ujar Khalid.

Bagaimanapun Khalid tidak menyokong usaha menawarkan Adun-Adun Pas itu menyertai PKR bagi membolehkan mereka bertanding atas tiket parti itu dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Langkah ini, katanya akan menjejaskan hubungan sesama parti dalam PH di Selangor khususnya antara PKR, AMANAH dan PPBM.

Adun-Adun Pas itu juga, katanya terpaksa berfikir panjang untuk menerima tawaran tersebut kerana khuatir dianggap oportunis dan tidak berprinsip.

Sehubungan itu beliau menasihati Adun-Adun Pas yang sedang dalam dilema itu supaya mengikhlaskan hati dalam mendukung perjuangan Islam.

“Jangan jadi seperti Baihara bin Firas, ketua Bani Amir yang sanggup menyokong Rasulullah s.a.w. hanya sekiranya beliau dijanjikan akan dilantik sebagai ketua selepas wafatnya Nabi s.a.w..

“Syarat Baihara telah ditolak Rasulullah s.a.w. kerana sikap meminta dan mementingkan jawatan adalah bukan dari akhlak seorang pejuang Islam yang tulen,” ujarnya.

Beliau seterusnya mempelawa Adun-Adun Pas itu untuk bersama AMANAH walaupun tidak dijanjikan apa-apa jawatan mahupun kedudukan.

“Saya yakin, bukan itu yang diperjuangkan mereka pada ketika menyertai Pas pada asalnya. Sebaliknya yang diperjuangkan mereka, seperti juga kami, adalah untuk membawa risalah politik Islam yang kontemporari, tepat dengan keadaan semasa, demi menyelamatkan negara dari kezaliman dan salah guna kuasa,” tegas Khalid.

Tulisan penuh Khalid boleh diikuti di mingguan Amanah bil. 83.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *