Felda sentiasa dirundung malang pada zaman Najib jadi PM, tak nampak akan berakhir

Sejak Najib melantik kawan baiknya Tan Sri Isa Samad pada 2011 untuk mengetuai FELDA yang diasaskan ayahandanya Almarhum Tun Razak, agensi pemacu ekonomi bumiputera itu terus dirundung malang.

Sebagaimana skandal kewangan terbesar 1MDB, tahun 2017 menyaksikan satu demi satu kebobrokan pengurusan FELDA terdedah dan menjadi bualan masyarakat dari atas hinggalah ke peringkat akar rumput.

Sebelum skandal tanah FELDA melibatkan nilai RM270 juta ini muncul, beberapa bulan lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka fail siasatan mereka terhadap pembelian Park City Grand Plaza London (2013) dengan harga RM330 juta di London.

Pada 2015 Laporan Ketua Audit Negara pula mengesahkan sebanyak RM47.6 Juta hilang dalam satu projek FELDA melibatkan penternakan ikan sturgeon.

Bijaksananya si Isa yang dilantik Najib mula terserlah apabila pada 2012, Felda Global Ventures North America Sdn Bhd (FGVNA) mencatatkan kerugian RM27.6 juta dalam pelaburannya sebanyak RM1 bilion di Amerika dan Kanada.

Sehingga setakat ini, FELDA melalui Felda Investment Corporation (FIC) telah menimbulkan curiga terhadap urusniaga ‘terlebih bayar’ pembelian hotel.

Ia melibatkan pembelian Hotel Grand Borneo di Sabah (RM86.4 juta), Park City Grand Plaza di Kensington, London (RM330 juta, harga sepatutnya RM110 juta) dan Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching (dibeli RM50 juta lebih mahal).

Skandal-skandal yang wujud ini nampaknya belum cukup memberi isyarat kepada Najib apabila Isa diberi jawatan Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada Ogos lalu.

Kita hairan mengapa Najib terus memberi muka kepada Isa menerajui agensi-agensi kerajaan meskipun individu itu mempunyai rekod buruk.

Sepatutnya Isa ‘dibersarakan’ lebih awal sejak dia dibuktikan bersalah mengamalkan politik wang dalam pemilihan UMNO 2005 yang menyebabkan dia digantung jawatan dan keahlian parti itu selama enam tahun.

Kebusukan ini tidak memberi apa-apa justifikasi untuk kerajaan UMNO terus memberi kepercayaan kepada individu korup menguruskan amanah rakyat.

Kita amat sedih bilamana wang hasil usaha peneroka FELDA menjadi taruhan pemimpin tamak yang mengaku sebagai pejuang bangsa dan agama – ini satu kemunafikan terbesar!

Sudah tentu, krisis kelemahan urus tadbir dan penyelewengan yang pernah sebelum ini melanda ‘institusi Bumiputera’ seperti MARA dan Tabung Haji juga telah memberi malu dan tamparan kuat kepada kerajaan UMNO – Barisan Nasional (BN).

Satu-satunya jalan keluar daripada krisis penyelewengan dan salah urus tadbir parah ini ialah melalui reformasi pentadbiran yang boleh dicapai melalui kesungguhan politik.

Persoalannya, adakah rakyat bersedia melakar perubahan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak?

>> Komenter bebas M. Noor Haslam I 29 Disember 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *