AMANAH Melaka kesal tindakan MBMB ‘musnahkan’ usaha kreatif anak muda tidak patut berlaku

MELAKA: Timbalan Pengerusi AMANAH Negeri Melaka, Mohd Sofi Abdul Wahab hari ini berkata, tindakan Maljis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menghalang usaha sekumpulan anak muda yang mengambil inisiatif mengubah kawasan bangunan bekas kilang dedak lama di Jalan Tun Ali, di sini daripada sebuah tempat dipenuhi sampah dan menjadi sarang penagih, kepada tempat rekreasi untuk anak-anak muda, sebagai suatu tindakan yang salah dan tidak sepatutnya berlaku.

Menurut laporan Sinar Online kelmarin, atas inisiatif kumpulan ini, sebahagian permukaan dinding bangunan usang berkenaan telah dihiasi dengan lukisan grafiti hasil kreativiti anak remaja tempatan dan pelancong asing.

Usaha dilakukan sejak dua tahun lalu ternyata berhasil apabila kawasan berkenaan menjadi tumpuan ramai penggemar sukan skateboard termasuk pelancong asing, lapor Malaysia Dateline.

Ia turut menarik minat ramai pasangan pengantin pelbagai bangsa mengadakan penggambaran, malah beberapa artis tempatan juga dikatakan pernah menjalankan penggambaran video klip mereka di situ.

Difahamkan, lebih RM15,000 dihabiskan untuk menceriakan kawasan berkenaan menerusi wang yang dikumpul dari poket kalangan mereka serta sumbangan beberapa ahli politik dan tokoh perniagaan.

Semua itu dibelanjakan dengan hasrat untuk membersihkan kawasan berkenaan serta kos membeli pelbagai kemudahan riadah termasuk lampu limpah dan mesin janakuasa, menurut laporan itu lagi

Bagaimanpun usaha yang mereka lakukan selama ini telah ‘dimusnahkan’ pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertindak memadamkan semua lukisan grafiti, bahkan, beberapa kemudahan riadah di situ turut diangkut.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Hussin menurut laporan itu juga ketika dihubungi berkata, MBMB memang tidak membenarkan kumpulan remaja berkenaan menconteng dinding terbabit.

Ia bukan tempat yang sesuai dan beliau berharap kumpulan anak muda tersebut mencari lokasi lebih sesuai untuk bermain skateboard sebab kawasan terbabit adalah bangunan industri lama dan bahaya untuk mereka.

Pihaknya juga dikatakan sudah merancang untuk membuat balai seni lukis kontemporari bernilai RM40 juta,” laporan tersebut dipetik.

“Usaha remaja ini sepatutnya disokong dan digalakkan kerana ia membantu mencantik dan menceriakan suasana tempat itu,” tambah Sofi.

Mereka katanya lagi, tidak melanggar peraturan atau mengganggu orang awam malah dapat memupuk aktiviti yang sihat dalam kalangan mereka.

“Sepatutnya pihak MBMB berbincang dahulu dengan pihak terbabit dalam apa juga langkah membabitkan tempat tersebut.

“Cadangan saya supaya MBMB dapat mengadakan perbincangan dengan remaja terbabit bagi membangunkan tempat yang ada. Idea kreatif mereka ini sepatutnya dihargai dan dipupuk,” kata beliau kepada Malaysia Dateline.

Sementara itu, Ketua Angkatan Wanita AMANAH Melaka (Awan), Mahani Othman Basir berkata, usaha kreatif anak muda berkenaan sepatutnya dimanfaatkan bagi membantu membendung gejala tidak sihat dalam kalangan remaja.

“Kebanyakan remaja yang terjebak dengan gejala sosial adalah mereka yang tidak punya aktiviti, tiada tumpuan dalam kehidupan seharian. Mereka banyak menghabiskan waktu begitu sahaja, lepak bersama rakan sebaya dan mudah terjebak dengan perkara-perkara negatif,” kata beliau.

Tambah Mahani, apa yang dilakukan oleh kumpulan anak muda ini perlu dihargai, perlu diberikan bimbingan ke arah kegiatan yang lebih positif, sekali gus memberikan manfaat kepada mereka seperti akhirnya boleh mendatangkan pendapatan kepada mereka, seperti menghasilkan cenderahati dan dijual di tempat berkenaan yang sudah popular.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *