Tun Mahathir dakwa RCI Forex bertujuan politik, tiada bukti mereka tahu dan bersubahat

Seperti yang dijangka penubuhan RCI bertujuan mencari alasan untuk mengaitkan dan menyalahkan kepimpinan parti lawan dengan dakwaan bahawa pegawai-pegawai Bank Negara menipu jumlah kehilangan duit bank semasa mengurus dagangan mata wang 30 tahun dahulu.

Kononnya Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pada masa itu tahu dan sedar berkenaan dengan penipuan ini tetapi mereka tidak mendedahkan perbuatan ini, bermakna mereka bersubahat.

Apakah bukti mereka tahu dan bersubahat tidak dijelaskan. Yang tentu tahu dan bersubahat menyembunyi jumlah kehilangan sebenar ialah orang yang, selepas 30 tahun, membuat dakwaan bahawa jumlah kehilangan sebenar bukan 11 billion Ringgit tetapi 30 billion.

Sudah tentu Abdul Murad sebagai pegawai bank negara benar-benar sudah lama tahu dan sedar akan jumlah kehilangan dan penipuan yang dibuat. Sudah tentu ia boleh dedah awal-awal lagi penyelewengan ini dan pegawai- pegawai dan auditor yang terlibat. Tetapi ia tidak dedah.

Jika Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dikatakan bersama menyembunyi angka 30 billion, Abdul Murad lebih terlibat dengan menyembunyi kebenaran. Tetapi Abdul Murad tidak dianggap bersalah kerana menyembunyi penipuan itu begitu lama.

Abdul Murad pilih untuk mendedah “breach of faith” ini apabila jelas pendedahan olehnya akan memberi Perdana Menteri Najib peluang bertindak terhadap musuh politiknya walaupun perkara ini tidak lagi disoal bertahun-tahun, walaupun oleh parti-parti pembangkang.

Dengan tidak menghormati maksud undang-undang, Najib dengan kuasanya merebut peluang memulakan proses supaya akhirnya Perdana Menteri masa itu dan Timbalannya dapat disalahkan.

RCI ini memakan masa yang panjang. Ramailah saksi dipanggil dan kenyataan-kenyataan panjang mereka diperdengarkan. Selain dari saksi disoal dan menjawab, memorandum yang panjang dengan butir-butir terperinci oleh saksi diserah kepada RCI. Peguam-peguam saksi turut hadir sepanjang RCI bersidang. Mereka juga turut memberi penjelasan dan membuat soalan.

Memanglah RCI berhak membuat laporan tersendiri. Tetapi laporan yang diserah kepada Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong, walaupun tebal tetapi jelas menunjuk bahawa butir-butir yang ditulis oleh RCI hampir tidak mengandungi fakta-fakta yang relevan yang diperdengarkan oleh saksi atau memorandum mereka. Walaupun penjelasan oleh saksi dicatit verbatim atau terperinci, tetapi RCI tidak sedikit pun menghirau penjelasan oleh saksi.

Yang jelas ialah seluruh laporan RCI menumpu kepada penentuan penglibatan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ketua pasukan bahagian dagangan wang Bank Negara.

Semuanya berasas kepada sangkaan. Sangkaan ini dianggap sebagai fakta benar untuk polis bertindak.

RCI bukanlah badan kehakiman. Tetapi laporannya lebih merupakan hukuman terhadap pihak yang dibicara.

>> Komentar bebas Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Pakatan Harapan I 28 Disember 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *