Tanah Felda Jalan Semarak sebahagian terbongkar, 12 lagi masih kontroversi, dakwa ANAK

PUTRAJAYA: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mendakwa, tanah Felda Jalan Semarak Kuala Lumpur hanya sebahagian kontroversi yang terbongkar sedangkan Felda memiliki 12 lagi pelaburannya di bawah anak-anak syarikat yang masih tidak didedahkan berlaku penyelewengan.

Presidennya Mazlan Aliman berkata, SPRM membuat pemantauan cukup rapi terhadap isu yang membelenggu Felda membabitkan anak-anak syarikatnya sehingga meletakkan pegawai-pegawainya di kawasan Felda, lapor Malaysia Dateline.

Bagaimanapun dalam isu membabitkan tanah Felda di Jalan Semarak ia telah dikenalpasti berlaku penyelewengan sejak 2014 lagi ketika Tan Sri Isa Samad menerajui Felda dan dua lagi anak syarikat iaitu Felda Investment Corporation dan Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV).

“Apa yang dikaitkan antara tempoh 2012 hingga 2016 sewaktu Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad yang memegang tiga jawatan utama entiti felda ini.

“Dalam tempoh 4 tahun itu sejauh mana pemantauan dilakukan SPRM sehingga SPRM buat beberapa tangkapan dan penahan beberapa individu dalam beberapa isu membabit Felda, tetapi sejauh mana pula ia berjaya ditangani?

“Sebaliknya dulu telah dibangkitkan (Jalan Semarak) tetapi sejauh mana ia ditangani sehingga hari ini sudah terlewat baru proses nak dijalankan.

“Isu Jalan Semarak mengapa begitu cepat SPRM membuat kesimpulan tidak ada unsur rasuah. Sepatutnya SPRM harus buat siasatan terlebih dahulu,” katanya dalam sidang media diadakan di perkarangan ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Sebelum itu wakil Anak dan Pemuda Pakatan Harapan menghantar memorandum untuk menggesa SPRM meneruskan siasatan skandal tanah Felda di Jalan Semarak Kuala Lumpur.

Memorandum itu telah disampaikan kepada Penolong Penguasa Bahagian Aduan SPRM Idros Nazri di ibupejabat SPRM ,Putrajaya.

Wakil Anak dan Pemuda Pakatan Harapan ketika hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya hari ini.

Menurut Mazlan lagi, tanah Felda di Jalan Semarak hanya sebahagian daripada pelaburan membabitkan berbilion ringgit FIC.

Dakwanya lagi, terdapat 12 lagi pelaburan FIC yang mencurigakan dan menimbulkan kontorversi dikalangan warga Felda yang masih belum terbongkar.

“Tanah Felda Jalan semarak sebahagian sahaja daripada FIC ada 12 pelaburan berbilion ringgit masih kontroversi belum lagi didedahkan antaranya projek terbengkalai pembinaan rumah kedua generasi Felda.

“Beberapa ribu unit gagal disiapkan juga menimbulkan tanda tanya bagaimana projek itu dilakukan.

“Saya bangkitkan hal ini supaya SPRM benar-benar serius dalam melaksanaka tugas mereka, agar tiada persepsi negatif dilemparkan pada badan ini,” ujarnya yang turut mendesak siasatan ke atas tanah Felda Jalan Semarak diteruskan.

Pada 21 Disember lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dipetik berkata, pihaknya telah menutup penyiasatan skandal transaksi pindah milik tanah Felda di Jalan Semarak di ibu negara kerana tiada unsur rasuah dan salahguna kuasa.

Azam juga memberitahu siasatan skandal melibatkan tanah strategik seluas 6.57 hektar itu diserahkan kepada pihak polis dengan alasan transaksi tersebut menjurus kepada kelemahan tadbir urus dan pecah amanah.

Sebelum itu pada 12 Disember lalu, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad bersedia mengambil segala bentuk tindakan bagi mendapatkan semula hak ke atas tanahnya yang dianggarkan bernilai RM270 juta di Jalan Semarak di Kuala Lumpur susulan laporan yang menimbulkan tanda tanya berhubung urusan pindah milik tanah berkenaan.

Shahrir berkata, selain laporan polis yang dibuat pada 12 Disember, tindakan lain yang diambil adalah dengan mendaftarkan kaveat ke atas tanah tersebut, membatalkan surat kuasa wakil penuh (PA) yang dikeluarkan dan mengambil tindakan sivil terhadap pihak yang terbabit.

Beliau berkata, Unit Kawal Selia Jabatan Perdana Menteri akan melantik juruaudit bebas bagi memulakan siasatan dalaman berhubung keseluruhan isu pemilikan tanah kepada pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

Beliau mendedahkan tanah-tanah itu merangkumi empat perjanjian jual beli dengan nilai keseluruhan RM269.78 juta bagi kawasan berkeluasan 6.57 hektar di Jalan Semarak, yang dibuat sejak 2015 hingga 2016.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *