Benarkah ulama “Ortodoks” penghalang muslim mengejar kemajuan?

Waverlylabs merupakan sebuah syarikat yang telah menghasilkan alat komunikasi yang bersifat futuralistik dan bersifat global. Peranti yang dikenali sebagai _”The Pilot Earbud”_ digunakan sebagai pengalih bahasa kepada pemakainya. Jika kita bertemu dengan orang luar yang tidak serumpun bahasanya dengan kita, ia bukanlah lagi suatu masalah besar bagi kita untuk berinteraksi dengan mereka dan begitu juga sebaliknya.

Penemunya seorang pria yang bernama Andrew Ochoa, mendapatkan ilham daripada pengalamannya. Ochaa yang bertemu seorang gadis Perancis dan suka padanya tetapi dihalang hanya kerana tutur bahasa yang berbeza. Kemudiannya Ochaa menjalankan kajian dan membangunkan alat interaksi masa depan tersebut.

Inilah yang sering dan selalu diperjuangkan oleh Jamal al-Din Afghani(akan dirujuk Afghani selepas ini) dan muridnya yang tersohor Muhammad Abduh. Agama dan logika akal tidak boleh dipisahkan. Simbiosis itulah yang akan mengangkat semula peradaban dan ketamudunan Islam sekali lagi menemui zaman emasnya.

Cuba kita bayangkan dengan hanya kerana perasaan suka dan sayang boleh terciptanya sebuah alat komunikasi masa hadapan, tidak mustahil jika dalam konteks muslim khususnya mereka diberi ruang untuk mendapatkan cita-cita mereka yang bukan didorong oleh tekanan dan bebanan hidup. Kalau dek kerana cinta boleh terhasil alat seperti penulis kongsikan, bayangkanlah kalau diberi peluang kerana mahu mereka merealisasikan impian mereka.

Masalah utama yang kita hadapi adalah bagaimana untuk memacu sifat dan sikap reform kedalam jiwa dan sanubari muslim untuk tidak hanya memfokuskan atau dalam erti kata lebih tepat memperkecilkan skop kepada makna Al Quran itu secara literal semata.

Itulah yang diungkap Afghani sebagai sebuah perjuangan melawan kekakuan pemikiran umat Islam yang terikat dengan kefahaman tradisi yang hanya bertaqlid kepada agamawan. Sudah tentu dizamannya beliau mendapat tentangan yang sangat hebat yang terdiri dari pemerintah di pejabat Inggeris di Mesir malah beliau juga turut dicurigai oleh kelompok ulama’ tradisonal al-Azhar.

Muslim selalunya akan mengkritik atau menuding jari kepada penganut agama lain bila kegagalan menjengah mereka. Walhal kegagalan itu bertitik tolak daripada tangan mereka sendiri. Dan lebih malang, kegagalan itu tidak di jawab dengan pembuktian yang kukuh. Pembuktian yang diberikan hanya berkisar fakta yang bersifat bisik-bisik tanpa pembacaan dan kajian yang tuntas.

Kesannya lahirlah kelompok yang kaku dan terpencil dari arus kemajuan yang tidak sedikit pun dihalang oleh agama Islam. Afghani pada zamannya lantang mengkritik faham ulama’ ortodoks dan penguasa yang menunggang agama sewenangnya. Zaman hari ini pula mendapat penambahan baru iaitu institusi istana dijual demi survival politik sang penguasa yang kemaruk kuasa.

Oleh sebab itu perlunya masyarakat tidak kira dimana mengkaji modul pemikiran Afghani yang dahagakan pembaharuan bukan hanya untuk mengangkat dirinya sahaja tetapi juga untuk memposisikan semula kefahaman agama dan kemanusian dalam lensa yang seharusnya.

Afghani mengkritik ulama’ ortodoks? Jika itu pemahamannya pembaca yang punya faham begitu akan penulis perbetulkan tanggapannya. Afghani sebenarnya mengkritik sikap barisan ulama’ ortodoks yang sematinya mempertahankan ortodoksisme beragama sebagai jalan untuk mengekalkan intelektual muslim yang statik.

Membicarakan perihal ini dalam konotasi pengamalan muslim di Malaysia, ianya cukup dekat dengan apa yang penulis kongsikan diawalnya. Jika ada yang mengangkat figura dan individu itu sebagai Khalid al Walid atau Salahuddin al Ayubi, maka siapa yang mahu mencontohi Afghani?

Jawapan penulis adalah semua dari kita perlu menyorot sisi fikir dan perjuangannya. Ulama’ ortodoks ketika zaman Afghani terus hidup hingga ke hari ini hatta dibumi Malaysia. Ia sudah tentu lebih rumit kerana disangkut dengan elemen bangsa dan raja. Ditambah dengan watak yang oportunis menempel dengan pembesar yang ada didalam negara demi menjayakan matlamat politik kepartian dan individu.

Terkini kelompok yang mendifinasikan mereka pejuang agama berterusan menghidupkan pemikiran lampau yang tidak dimadukan dengan arus kemodenan yang pesat. Akhirnya muslim yang ada dalam negara lesu dan hanya menunggu nasi disuapkan hingga kedalam usus mereka.

Maka tidak peliklah pemimpin yang dianggap Salahuddin al Ayubi oleh pengikutnya turut mengangkat Abrahah dalam kamus perjuangan politiknya. Begitulah kontradiknya lisan dan tindakan mereka. Bukan mereka membawa diri berada diatas landasan agama tetapi mereka membawa agama berada diatas lampias nafsu nafsi mereka.

Malangnya Abrahah yang ada hari ini bukanlah tamsilan kepada panglima yang dikenali dahulu yang bertempur dengan fizikal, tetapi Abrahah hari ini bukan hanya menguasai tindak laku malah menguasi pemikiran dengan wang dan kuasa. Lihat bagaimana sesetengah figura politik melayu muslim dalam negara meneruskan legasi politik mereka dengan pembodohan.

Ada yang bimbang untuk bertingkah seperti Afghani atau Muhammad Abduh, mereka memang terlihat asing dari pemikiran pimpinan agama yang lain. Membaca setiap sesuatu yang bersifat tekstual atau fizikal perlu diperhalusi sebaiknya. Bukan ditafsir dan dirungkai secara literalis.

Penulis tinggalkan seketika pembaca dengan coretan Muhammad Abduh melalui Risalah At-Tauhidnya.

“Al-Qur’an mengarahkan kita menerapkan prosedur yang rasional dan penelitian intelektual dalam manifestasi cakerawala ini, sejauh yang mungkin, dalam segala butirannya, agar ia dapat membawa pada keyakinan dalam perkara yang ia tuntuni.”

>> Komentar bebas Mohd Syafiz Azmi, Ketua Pemuda Amanah Melaka I 28 Disember 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *