AMANAH edar beg sekolah kepada anak penoreh getah, keluarga miskin di Sik

SIK, KEDAH: Keprihatinan yang bersungguh-sungguh terhadap kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat ketika ini, AMANAH kawasan Sik, Kedah. Meneruskan lagi agenda peduli rakyat dengan menyumbangkan beg sekolah kepada 155 pelajar dan waris yang hadir di Pejabat Operasi AMANAH kawasan Sik semalam.

Manakala 167 lagi penerima yang tidak dapat hadir kerana ketiadaan kenderaan serta terpaksa menoreh getah bagi menampung pendapatan, akan tetap menerima bantuan beg sekolah tersebut melalui ketua-ketua cawangan berdekatan.

Demikian dinyatakan oleh Ketua AMANAH kawasan Sik, Sulaiman Ibrahim.

Datuk Dr Ismail Salleh (tiga dari kiri) dan Sulaiman Ibrahim (kiri) sedang menyampaikan bantuan kepada peserta program.

Menurut beliau lagi, bagi program sumbangan beg sekolah pada kali ini, AMANAH kawasan Sik telah memperuntukkan dua orang anak yang bersekolah dalam satu keluarga bagi menerima bantuan tersebut.

“Amanah kawasan Sik memberikan sumbangan kepada dua orang anak dalam satu keluarga bagi mendapatkan bantuan beg sekolah tersebut.

“Manakala mereka yang tidak dapat hadir, beg-beg sekolah tersebut akan dihantar mengikut kawasan yang telah diberikan melalui cawangan-cawangan berdekatan.

“Kita akan mempermudahkan urusan mereka dengan menghantar beg-beg sekolah tersebut dengan kadar yang segera,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Pengerusi AMANAH Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh yang turut hadir bagi menyampaikan bantuan beg sekolah tersebut berkata, ramai yang hadir terpaksa ‘ponteng’ menoreh getah semata-mata bagi menerima sumbangan ini.

“Sementara itu yang tidak hadir juga tidak dapat meninggalkan kerja mereka menoreh getah.

“Cuba bayangkan harga ikan kembung bagi negeri ini sekitar RM16 sekilo, sedangkan harga getah skrap adalah RM2.10 sekilo dan terpaksa pula dibahagi dua dengan tuan kebun.

“Untuk mendapatkan sekilo ikan tersebut, penoreh getah terpaksa menoreh sehingga 16 kilo untuk mendapatkan sekilo ikan kembung, ” tegasnya.

Antara pelajar dan waris yang hadir untuk menerima beg sekolah.

Beliau juga berkata, lebih menyedihkan apabila hari hujan, penoreh getah tidak dapat keluar menoreh.

“Apabila mereka tidak dapat keluar untuk menoreh, sudah tentu pendapatan tidak ada.

“Duit saku untuk sekolah anak dan juga belanja dapur tidak dapat diperolehi apabila ini berlaku.

“Akhirnya beban ini semakin menghimpit dan menyebabkan keluarga penoreh getah berada dalam kesempitan, ” jelasnya lagi.

Maka itu tambahnya, bantuan yang diberikan oleh AMANAH kawasan Sik walaupun tidak seberapa, mampu untuk meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh keluarga terbabit menjelang sesi persekolahan yang akan bemula minggu hadapan.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *