Dr Mahathir dakwa laporan RCI Forex semuanya berasaskan sangkaan semata-mata

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang baru-baru ini mahu beliau dan bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim disiasat berkenaan kerugian dagangan tukaran asing (forex) Bank Negara Malaysia lebih 2 dekad lalu adalah hanya berdasarkan sangkaan.

“Semuanya berasas kepada sangkaan. Sangkaan ini dianggap sebagai fakta benar untuk polis bertindak,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam catatan blognya.

“RCI bukanlah badan kehakiman. Tetapi laporannya lebih merupakan hukuman terhadap pihak yang dibicara.”

RCI dalam laporan setebal 400 muka surat itu menyalahkan bekas penasihat Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop atas kerugian RM31.5 bilion ditanggung bank pusat itu dalam urus niaga forex pada 1992 hingga 1994.

Ia turut mengesyorkan polis menyiasat Dr Mahathir dan Anwar yang juga menteri kewangan ketika itu, ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan.

Semalam, Dr Mahathir memfailkan saman mengisytiharkan laporan RCI itu tidak sah dan terbatal kerana tidak memasukkan dokumen undang-undang yang dikemukakan saksi dan nota prosiding.

Dr Mahathir berulang kali berkata RCI tersebut ditubuhkan dengan motif tersembunyi semata-mata untuk menghukumnya kerana menyertai pembangkang.

Peguam Dr Mahathir, Mohamed Haniff Khatri Abdulla turut menulis surat kepada Setiausaha RCI, Datuk Yusof Ismail untuk memasukkan 495 halaman dokumen undang-undang yang dikemukakan Dr Mahathir dan transkrip prosiding itu dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris menjelang 8 Disember.

Dalam blognya hari ini, Dr Mahathir berkata walaupun RCI berhak membuat laporan tersendiri, ia jelas tidak mengandungi “fakta-fakta yang relevan yang diperdengarkan oleh saksi atau memorandum mereka”.

“Walaupun penjelasan oleh saksi dicatit verbatim atau terperinci, tetapi RCI tidak sedikit pun menghirau penjelasan oleh saksi.

“Yang jelas ialah seluruh laporan RCI menumpu kepada penentuan penglibatan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ketua pasukan bahagian dagangan wang Bank Negara,” katanya.

Menurutnya, tuduhan terhadap beliau dan Anwar juga tidak disertakan bukti.

“Yang tentu tahu dan bersubahat menyembunyi jumlah kehilangan sebenar ialah orang yang, selepas 30 tahun, membuat dakwaan bahawa jumlah kehilangan sebenar bukan RM11 billion tetapi RM30 billion,” katanya merujuk bekas Timbalan Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid yang menuduh pentadbiran Mahathir ketika itu cuba menyembunyikan jumlah kerugian sebenar dagangan forex.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *