Bukti dimusnahkan, fakta diubah dalam tragedi kubur beramai-ramai Perlis, lapor NST

KUALA LUMPUR: Polis bukan sahaja melengahkan pengumuman mengenai penemuan kubur beramai-ramai milik pendatang asing di Wang Kelian, Perlis pada 2015, tetapi juga membersihkan kawasan itu sehingga membinasakan pelbagai bukti jenayah yang menggemparkan dunia itu, lapor New Straits Times (NST) berdasarkan siasatannya.

Akhbar itu berkata ia merupakan antara 2 persoalan yang timbul susulan siasatan 2 tahun termasuk meneliti pelbagai laporan rasmi di samping menemubual saksi yang terlibat secara langsung dengan kes pemerdagangan manusia yang paling besar di Malaysia.

Menurut NST, pelbagai laporan dengan sengaja dicantas, dan hasil temubual dengan pelbagai sumber mendapati banyak perkara disorokkan dalam siasatan rasmi.

Pada awal Mei 2015, ketua polis negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan 139 kubur di 28 kem haram yang dipercayai digunakan oleh sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian, sebuah bandar yang bersempadan dengan Thailand.

Ketika pengumuman dibuat, polis berkata kawasan itu dipercayai dikosongkan 3 minggu sebelum itu.

Bagaimanapun, NST berkata polis sebenarnya sudah pun menemui kubur beramai-ramai itu sejak Januari.

“19 Januari 2015 merupakan tarikh tragedi Wang Kelian dan kubur beramai-ramai ditemui, bukan pada Mei 25 seperti mana kita diberitahu,” kata NST.

Akhbar itu berkata ini berdasarkan laporan difailkan seorang pegawai polis pada 19 Januari, 2015, yang disusuli dengan serbuan disertai 30 anggota polis yang membawa mereka ke puncak Bukit Wang Burma, sebelum menemukan mereka kepada sebuah kawasan kem berukuran 30m persegi.

“Pasukan serbuan mendapati 6 sangkar dipenuhi lelaki dan wanita di bawah kawalan warga asing yang lengkap dengan senapang M-16,” menurut NST.

NST mendakwa Khalid beberapa kali cuba dihubungi akhbar itu, tetapi gagal kerana bekas ketua polis itu mengelakkan diri.

Pasukan wartawan itu, kata NST, akhirnya berjaya mendekati Khalid di sebuah pusat bowling.

“Khalid nampak bimbang ketika persoalan diajukan kepadanya. Ia mengambil sedikit masa sebelum beliau akhirnya bersuara.”

Bagaimanapun, NST berkata ia terpaksa akur dengan janji kepada Khalid untuk tidak melaporkan apa yang diberitahu kepada wartawan.

“Pasukan penyiasatan khas NST terikat dengan etika kewartawanan dalam memenuhi syarat yang dikenakan Khalid, iaitu untuk tidak menerbitkan apa yang diberitahu olehnya.”

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *