Turki akan buka kedutaan di Baitulmaqdis Timur kata Presidennya Erdogan

ISTANBUL: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyatakan kesediaan Turki membuka kedutaannya di Baitumaqdis Timur dalam usaha meningkatkan tentangan terhadap pengiktirafan kota itu sebagai ibu negara Israel oleh Presiden Donald Trump.

Erdogan sebelum ini mengetuai kecaman umat Islam terhadap langkah AS itu dengan mengadakan sidang kemuncak bersama pemimpin Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) minggu lalu di Istanbul, yang menggesa dunia mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin, lapor AFP.

Baitulmaqdis Timur dikuasai Israel selepas dirampas dalam perang 1967, tindakan yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

“Kerana ia diduduki, kita tidak boleh ke sana dan membuka kedutaan,” kata Erdogan dalam ucapan kepada partinya di kota Karaman.

“Tetapi, Insya Allah hari tersebut hampir tiba dan … kita akan secara rasminya membuka kedutaan kita di sana,” katanya tanpa memberikan tarikh yang tepat.

Turki kini mempunyai konsulat umum di Baitulmadis. Ankara turut mempunyai hubungan diplomatik penuh dengan Israel, dan seperti negara lain, kedutaannya berada di Tel Aviv.

Erdogan yang membantah keputusan Trump termasuk memindahkan kedutaan Amerika Syarikat (AS) ke Baitulmaqdis berkata ia sejajar “logik dan pemahaman zionis dan evangelis.”

Beliau berkata orang Yahudi tidak mempunyai hak untuk “merampas” Baitulmaqdis yang merupakan “ibu negara umat Islam”.

“Sila berhenti di mana anda berada dan jangan cuba melakukan operasi zionis,” katanya. “Jika anda cuba, anda harus membayarnya dengan harga yang mahal.”

Erdogan memuji hasil sidang OIC pada 13 Disember lalu yang katanya menunjukkan “dunia memilih untuk bersatu”.

Bagaimanapun sekutu AS iaitu Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu hanya menghantar pegawai rendah, bukan pegawainya menghadiri sidang tersebut.

Erdogan memberi amaran kepada umat Islam dalam ucapannya agar menentang “perang saudara” di mana pertempuran antara satu sama lain “hanya membantu negara pengganas seperti Israel”.

Israel bertindak balas dengan kenyataan Erdogan beberapa hari kemudian.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata beliau “tidak terkesan” dengan kenyataan tersebut.

Ketika dihubungi AFP, jurucakap kementerian luar Israel enggan memberi komen mengenai kenyataan terkini Erdogan.

Bantahan berlaku hampir setiap hari di Turki terhadap langkah Trump. Di kebanyakan bandar di tenggara Diyarbakir, Kurdish, beribu-ribu orang mengibar bendera Palestin dan melaungkan slogan seperti “pembunuhan beramai-ramai tidak akan berhenti jika semua umat Islam tidak bersatu.”

Dalam ucapan berasingan, Perdana Menteri Binali Yildirim berkata “mulai sekarang kita mengisytiharkan Timur Baitulmuqaddis yang diduduki sebagai ibu negara Palestin”, sambil menambah Turki ingin melihat penyelesaian untuk Baitulmaqdis yang akan memuaskan hati kedua-dua belah pihak dalam konflik itu.

Jurucakap Erdogan, Ibrahim Kalin – penasihat dasar luar negeri utama presiden – menulis dalam akhbar bahawa langkah Trump mewakili “campuran bertoksin populisme dan unilateralisme”.

Menerusi Daily Sabah pula, beliau menulis salah satu akibat positif ialah isu rakyat Palestin sekali lagi menjadi pusat perdebatan global.

“Momentum baharu ini harus digunakan untuk mencari keamanan yang adil dan berkekalan,” kata Kalin.

Tahun lepas, Turki dan Israel mengakhiri perselisihan yang dicetuskan Israel pada 2010 yang menyebabkan 10 aktivis Turki mati selain ketegangan diplomatik.

Kedua-dua pihak sejak itu meningkatkan kerjasama, terutamanya melalui pelan saluran paip gas yang diketuai menantu Erdogan dan Menteri Tenaga, Berat Albayrak.

Tetapi Erdogan yang menganggap dirinya sebagai “Wira Palestin” membuat serangan lisan terhadap dasar Israel.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *