Pelik bagaimana ia diumum kerajaan tidsak tahu menahu, IMAMS dibatal selepas ‘kerosakan’ berlaku

Mulanya Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) bukan sesuatu yang wajib, tetapi suatu pilihan sahaja kepada jemaah. Ia hanya sebagai pilihan kerana IMAMS dijalankan melalui sebuah syarikat swasta, bukan kerajaan.

Tetapi entah bagaimana ia diumumkan sebagai suatu dasar begitu besar dan mengejutkan umat Islam di negara ini.

Persoalannya, apakah pelaksanaanya ditarik balik selepas sehari diumumkan kerana keperihatinan kerajaan, atau BN bimbang ia menjadi ancaman dalam pilihan raya umum ke-14?

Yang nyata, caj sebanyak RM90.10 itu dilihat sebagai samunan di tengah hari atau daylight robbery.

Sementara kadar yang dikenakan RM40 untuk insurans juga melampau kerana kadar perlindungan takaful hanyalah RM12.

image: https://i.malaysiakini.com/1182/30873b52c41a10c97616be0ab009c4cd.jpeg

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datk Seri Nazri Aziz sebaliknya menegaskan, IMAMS dibatalkan kerana bukan itu yang beliau mahukan.

Ia kerana seseorang di kementeriannya salah faham hasrat dan apa yang beliau mahu laksanakan.

Bolehkah kita tahu siapa pegawai itu dan bagaimana beliau tersilap – atau mungkin memandai-mandai – bersetuju untuk mengumumkan mekanisme itu?

Mengikut kata Nazri, ketika penggulungan belanjawan, fi atau bayaran IMAMS sepatutnya RM40 termasuk pemprosesan dan insurans.

Hakikatnya RM40 itu juga tetap tinggi. Ini kerana di Indonesia atau Mesir, hanya RM1 dikenakan untuk mereka yang tidak ada mesin pengimbas dan jika memilikinya, ia adalah percuma.

Siapa memandai-mandai

Selain fi itu, adalah baik jika jemaah ke Tanah Suci mengambil insurans takaful RM12 kerana melalui IMAMS kadar bayaran yang dikenakan ialah RM40, sementara sistem yang sepatutnya percuma diminta pula RM45.

Apa yang nyata, selain bantahan orang ramai, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan agensi pelancongan, hakikatnya Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan tidak bertindak seperti apa yang dibincang dan dipersetujui sebelum ini.

Maka timbullah persoalan: kenapa kementerian tidak bertindak seperti apa yang dipersetujui sebelum ini?

Tidak kisahlah kalau Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu menyifatkan pembatalan pelaksanaan bagi permohonan visa umrah itu sebagai tindakan tepat atau sebaliknya.

Soalan penting di sini: siapa memandai-mandai atau mungkin mempunyai kepentingan tertentu menyebabkan IMAMS diumumkan untuk dilaksanakan?

Sedangkan sistem IMAMS itu dilihat bertindan dan menjadi pendua kepada sistem yang diamalkan untuk jemaah haji dan umrah sekarang.

IMAMS bertujuan mengimbas passport jemaah dan dicop oleh sistem untuk membolehkan mereka memasuki konsulat Arab Saudi.

Selain membazir, sistem mengimbas passport itu sebenarnya percuma.

Sudah pasti pengumuman dan langkah kerajaan itu menyebabkan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH) turut membantah.

Mereka mendakwa keputusan melaksanakan IMAMS berbeza dengan hasil perbincangan pertemuan antara persatuan dan kementerian.

Banyak tak berjawab

Mereka turut mendakwa sudah berjumpa menteri dan ketua setiausaha kementerian berkaitan tetapi tidak melakukan seperti dijanjikan, sebaliknya buat cara lain.

Walaupun IMAMS dikatakan mahu mewujudkan akses rasmi tunggal permohonan visa umrah untuk diproses kedutaan Arab Saudi – yang bertujuan membanteras aktiviti penipuan pakej umrah – namun cajnya jauh lebih tinggi.

Persoalan ialah, bagaimana Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin boleh mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan syarikat pengendali IMAMS mengutip cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan bayaran sistem pengurusan serta insurans ke atas setiap rakyat yang hendak mengerjakan umrah menerusi IMAMS?

Di sebalik itu, Mas Ermieyati dilaporkan berkata kerajaan akan mencari mekanisme baru yang lebih baik dan berkesan, termasuk cadangan pengecualian GST dan jaminan dikendalikan orang Islam sepenuhnya.

Menurutnya mekanisme baru ini lebih cekap dengan jaminan ia 100 peratus dikendalikan orang Islam.

Persoalan di sebalik kenyataan Ermieyati itu ialah Nazri mengatakan pelaksanaan IMAMS bukan seperti sistem yang beliau mahukan dan atas sebab itu ia dibatalkan.

Jika yang bukan dimahukan oleh beliau, bagaimana timbalannya boleh mengumumkan IMAMS? Banyak persoalan tak terjawab.

Yang diharapkan, apa juga sistem yang akan dilaksanakan, lihatlah kepada kepentingan ibadah dan jangan sampai kerja sebegini turut terlepas kepada bukan Islam.

Bukan bertujuan menuduh kerana dengan fi tambahan RM90.10 – meliputi bayaran RM5.10 untuk GST, RM40 insurans dan RM45 sistem IMAMS – ia kelihatan sangat pelik dan cuba mengaut untung besar melalui ibadah orang Islam.

Walaupun sudah ditarik balik, langkah mahu memperkenalkan IMAMS ini ternyata menunjukkan pentadbiran di bawah kepimpinan Najib menyerlahkan ketidaktentuan, tidak cermat dan mendedahkan pelbagai kemungkinan lain yang cenderung kepada kepentingan pihak tertentu.

Biarpun ditangguh atau ditamatkan, kesan terjejas kepada kerajaan sudah berlaku. Ia tetap melekat di hati orang Islam betapa pentadbiran cacamarba Najib semakin terserlah.

Boleh meminta maaf atau menyifatkan penarikan balik IMAMS sebagai “tindakan tepat” namun yang nyata kerajaan pimpinan Najib kurang sensitif.

Apa lagi kementerian berkaitan seperti sewenang-wenangnya membelakangkan hasrat dan pandangan rakyat apabila ia diumumkan sebelum ini. Kes IMAMS sepatutnya menjadi pengajaran walaupun hakikatnya, kerosakan sudah berlaku.

>> Komentar bebasa HAMBALI ABDUL LATIFF bekas wartawan, pengarang akhbar dan kini menjadi perunding media bebas I 18 Dis 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *