Kerajaan terpaksa batal, pembangkang dan pemain industri bantah keras pelaksanaan IMAMS

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) yang dikecam kerana mengenakan GST dan bayaran lain ke atas rakyat Malaysia yang mengerjakan ibadah dibatalkan sehari selepas dilancarkan.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin megumumkan pembatalan sistem itu tidak lama selepas pemain industri, pembangkang dan parti kerajaan sendiri membantah pelaksanaannya.

Pada sidang media hari ini, Ermieyati dilaporkan berkata kerajaan akan mencari mekanisme baharu yang lebih baik dan berkesan, termasuk cadangan pengecualian GST dan jaminan dikendalikan orang Islam sepenuhnya.

“Mekanisme baharu itu pastinya akan lebih cekap… dan tidak membebankan pengguna. Kementerian memberi jaminan mekanisme baharu itu adalah 100% Islam. Kita ambil kepentingan isu sensitiviti,” katanya lapor Bernama.

IMAMS merupakan akses rasmi tunggal permohonan visa umrah untuk diproses kedutaan Arab Saudi, dengan tujuan membanteras aktiviti penipuan pakej umrah. Kerajaan dilaporkan bersetuju membenarkan syarikat pengendali IMAMS mengutip GST dan bayaran untuk sistem pengurusan serta insurans ke atas setiap rakyat yang hendak mengerjakan umrah menerusi IMAMS.

Kerajaan dilaporkan mensyaratkan semua syarikat pengendali umrah berlesen dan berstatus muasassah wajib mengguna pakai sistem itu.

Terdahulu, Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh) ketika dihubungi hari menjelaskan mereka tidak berpuas hati kerana keputusan melaksanakan IMAMS berbeza dengan hasil perbincangan pertemuan antara persatuan dan kementerian.

“Kita dah jumpa menteri, ketua setiausaha kementerian. Dia kata ‘ya’ tapi dia buat lain,” kata Presiden Datuk Seri Razali Mohd Sham.

“Jemaah dan agen yang akan tanggung kos itu. Kita tak nak macam itu,” katanya, dan menambah, persatuan akan berusaha meyakinkan kerajaan mengenai pelaksanaan sistem berkenaan.

Razali berkata meskipun begitu, syarikat pengendali umrah akan akur jika sistem itu diteruskan kerana khuatir lesen akan digantung jika ingkar.

“Perbincangan dengan agensi Umrah dan haji memang tidak ada semasa untuk menubuhkan IMAMS, kita akan bangkang sampai berjaya,” tambahnya.

Pemuda Umno sendiri turut membantah pelaksanaan IMAMS kerana tidak mahu orang Islam yang hendak mengerjakan umrah terbeban dengan GST dan bayaran lain.

Exco Pemuda Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata Pemuda Umno kecewa Tabung Haji tidak membantah sistem tersebut dan membidas pengurusan tertinggi kerana tidak peka dengan masalah tersebut.

“Sepatutnya Tabung Haji yang diberi tanggungjawab tersebut,” katanya kepada FMT sebelum pembatalan tadi.

“Tidak masuk akal hal umrah diberikan kepada syarikat swasta yang diterajui oleh bukan Islam,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *