Tiada orang Melayu jadi bangsat jika Pakatan Harapan menang kata Lim Guan Eng

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menafikan dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa kaum Melayu akan merempat dan “menjadi bangsat” sekiranya Pakatan Harapan (HARAPAN) memenangi pilihan raya umum.

“Ini merupakan pembohongan terang-terangan oleh perdana menteri. Tiada rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi orang Melayu yang akan menjadi ‘bangsat’ sekiranya Pakatan Harapan menang.

“Malah rakyat Malaysia akan mempunyai masa depan yang lebih cerah bebas daripada gejala rasuah, kronisme dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST),” kata Lim dalam satu kenyataannya hari ini.

Beliau merujuk kepada ucapan Najib pada Perhimpunan Agung Umno di PWTC minggu lalu yang mengatakan orang Melayu akan “menjadi bangsat’ jika pembangkang memenangi pilihan raya.

“Sekiranya pembangkang memenanginya, hak istimewa orang Melayu, sebagai orang asal tanah ini, daripada bangsa yang mulia dan bebas, akan dipijak maruah dan mereka (kedudukan) akan tergadai.

“Paling teruk, mereka akan merempat, disumpah dan dihina, sehingga mereka terbangsat di tanah sendiri,” kata Najib dalam ucapannya.

Menurut Lim, pemimpin Umno akan terus menghasut kebencian kaum dan agama dengan menggunakan ungkapan perkauman seperti ‘Cina DAP’.

“DAP tidak pernah menyerang Umno sebagai Melayu Umno atau PAS sebagai Islam PAS.

“Mengapa perlu meletakkan kesalahan terhadap keseluruhan komuniti hanya untuk memperoleh kelebihan politik?

“Serangan keterlaluan ini sebenarnya menyembunyikan keadaan terdesak BN yang berkemungkinan besar akan kalah dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *