Teater mega di Planet Merah, lambang peradaban sebuah bangsa majoriti di kalangan para alien

Selama lima hari, Planet Merah bertukar pesta penglipur lara terbesar yang cukup meriah. Waktu seakan terhenti. Tiada pusingan peredaran planet. Semua tertumpu kepada persembahan teater tahunan yang wajib diadakan sebagai lambang peradaban sebuah bangsa majoriti di kalangan para alien.

Semua yang datang cukup berhias sebagai mengambarkan kejayaan selepas enam dekad sebuah parti kebangsaan yang mati hidup semula. Luar biasa sekali.

Panorama paranormal. Perwakilan cukup bergaya. Kaya-raya. Mewah. Canggih. Berstatus bangsawan. Cantik dan hensem semuanya. Bagai pemandangan sebuah syurga yang terindah.

Tiada yang miskin, tiada penerima BR1M, tiada penganggur, tiada yang muflis dan tiada yang cacat.

Berdegar-degar gema dari langit menyatakan bahawa pendapatan para marhaen meningkat dua kali ganda semenjak sepenggal lalu. Statistik dan laporan ekonomi daripada politikus berkuasa tentu sohih. Ia fakta yang tidak boleh dipertikaikan.

Lihat sahaja pakaian seragam tradisional dengan samping songket mencecah ribuan ringgit sepasang. Belum masuk harga seluar dalam para pemuda yang sakan menayang jenama global.

Begitu juga tudung eksklusif yang tentu sepadan dengan pakaian dalam para wanita dan puteri.

Jam tangan dan kasut bergemerlapan – semuanya berjenama global.

Kenderaan mewah impot diparkir dengan bergaya. Lambang mutu dan keunggulan para politikus yang bekerja kuat demi agama, bangsa dan negara.

Halal di bawah payung keris

Mereka para politikus yang ikhlas berjuang 20 jam sehari. Perjuangan murni yang membawa keberkatan kepada ummah.

Kerana itu mereka mendapat pulangan lumayan. Semuanya rezeki daripada Tuhan. Semenjak zaman nabi lagi, kata seorang politikus yang berhujah, bahawa harga barang naik juga ketentuan Tuhan.

Bahagia sungguh mereka. Ketawa. Mengutuk. Menghina. Memfitnah. Berbohong. Membakar effigy. Semua aktiviti hiburan yang diharamkan di luar panggung kerana melanggar perundangan, tetapi halal kalau dilakukan di bawah payung dengan lambang keris.

Berselang pantun, seloka, sajak, kiasan, peribahasa, perumpamaan khazanah bangsa, selain ayat al-Quran dan hadis sahih mengisi teater hiburan yang dipancarkan secara langsung ke seluruh cakerawala.

Sesekali audien menangis kesyukuran dan menangis sehingga keluar air liur basi untuk mempertahankan Masjid al-Aqsa. Ia tangisan yang menambah pahala. Pengorbanan yang membawa ke syurga. Dengan doa tulus mulus para lebai berkecuali yang sama tidur sebantal menghimpun mimpi-mimpi keramat.

Parti politik paling besar itu, walau bersemangat bangsa begitu kukuh tetapi ia masih tidak melupakan warisan penjajah. Budi para penjajah terpelihara dengan nama parti yang masih dalam bahasa penjajah. Sesuatu yang menjadi sinonim dengan perjuangan menuntut kemerdekaan.

Mereka bersumpah keramat yang bahasa jiwa bangsa. Biar mati anak jangan mati adat. Tidak hilang bangsa di dunia. Nama parti tetap nama berjiwa penjajah.

Malah tempat persidangan pun gah dengan nama dalam bahasa penjajah. PWTC. Bukan dipanggil dengan nama dalam bahasa kebangsaan, mungkin tidak glamor dan berbunyi taraf antarabangsa.

Dengar! Dengar! Dengar!

Segala retorik mengenai parti terus baik-baik belaka. Sama ada daripada para politikus yang dipilih untuk duduk di atas pentas, mahupun daripada para pelakon tambahan di bawah pentas. Utopia. Sempurna.

Tiada kehodohan. Tiada keburukan. Tiada yang negatif. Tiada yang bobrok. Tiada cacat cela.

Planet Merah bergegar

Tentu mereka yang berada di ruang penuh kesempurnaan, keindahan, bauan wangi-wangi dan makanan enak-enak. Tidak perlu berfikir apa-apa. Letakkan otak dan keintelektuan dalam tandas, atau tinggalkan sahaja di mana-mana di luar PWTC.

Tidak perlu menggunakan otak, tidak perlu berfikir dan tidak perlu pandai dengan CGPA 3.8.

Hanya gunakan emosi mengikut koreografi dan skrip. Gembira. Sedih. Bersemangat. Tepuk. Angguk. Geleng. Menjerit. Meneriak. Memekik. Mengeboo. Mengembek. Berkokok.

Sungguh bertuah mereka yang menjadi perwakilan. Seperti VVIP dengan segala keistimewaan. Ada pula cenderahati. Katanya jam tangan jenama mahal dengan wajah politikus kesayangan untuk dibawa tidur, solat dan buang air.

Apabila seruan suci ke medan perang dijeritkan dari pentas yang dipenuhi para jutawan politikus, bergegar Planet Merah.

Serang!

Berapi-api mulut para nagawan politik berperut buncit yang menyambar semangat kepahlawanan. Bersedia walau untuk berperang dengan Zionis. Bersedia untuk mati syahid dalam pilihan raya. Biar dicincang lumat, tetap mempertahankan kuasa. By hook or by crook. Apa sahaja kerana matlamat menghalalkan cara.

Seperti biasa, dari awal hingga akhir teater, dengan kos puluh jutaan ringgit, negara masih aman, negara masih bahagia dengan kepimpinan yang difitnah sebagai kleptokrat.

Berpuas hatilah semua yang mengisi ruang PWTC. Cemerlang. Gemilang. Terbilang.
Dulu, kini dan selamanya, mereka tetap bangsa paling bahagia, maju, berjaya, canggih dan terhebat di planet merah, sebuah planet yang hanya ditemui dalam hikayat Mat Jenin, teks kesusasteraan yang hilang bersama media sosial.

>> Komentar bebas MOHD FUDZAIL MOHD NOR, bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *