Fathia, Sheila dan kebebasan bersuara golongan artis menurut Perlembagaan

Baru-baru ini, Fathia Latiff telah menulis dalam twitternya “Saya lebih kagum dengan Tun (Mahathir), mempertahankan maruah negara walaupun ramai yang sudah lupa pada sumbangan Tun yang tiada nilai dengan wang ringgit. Saya juga sedih dengan segelintir manusia yangg tak menghargainya. Tetapi tidak mengapa, orang yang tidak buta hati masih dapat menilai, Insya Allah.”

Selanjutnya, Datuk Sheila Majid pula menulis dalam twitternya, “Makanan mahal, ringgit lemah, kos sara hidup tinggi & pekerjaan sukar didapati. Rakyat Malaysia semakin letih & marah kerana dihimpit hutang yang bukan kita cipta. Cukuplah beralasan & cari kesalahan. Tumpu pada tugas meletakkan negara kembali ke landasan! Mengecewakan!”

Tindakan kedua-dua artis itu telah mengundang respon balas daripada rakan artis yang lain antaranya, Dira Abu Zahar yang juga Exco Puteri UMNO yang berkata “Kalau betul nak cerita tentang hak rakyat atau keluh kesah rakyat, turun padang macam Puteri Umno. Setakat pegang telefon, picit-picit…tulis, taip…tak payah. Dia boleh duduk diam-diam betulkan lakonan dia dulu, hidup dia dulu. Tak payah sibuk dengan hal kerajaan.”

Azwan Ali pun ketika ditemui di Persidangan Agung Umno 2017 menyatakan, “Bila dia meroyan seperti itu, itu merosakkan generasi baru. Anda (Sheila) kononnya artis besar, kalau kau berjaya, kau ada datuk, kaya raya, ada pengikut berjuta bukankah kerana kerajaan. Go to hell (pergi jahanam).”

Susulan daripada itu, ramai lagi artis mula bersuara seperti Dato’ Aznil Nawawi, Adibah Noor dan Yasin. Mereka menyatakan bahawa artis juga mempunyai kebebasan bercakap dan bersuara.

Hak bercakap dan bersuara adalah hak yang dijamin kepada semua warganegara di bawah Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan, “Tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara.”

Walau bagaimanapun, hak bercakap dan bersuara ini tertakluk kepada sekatan yang perlu atau suai manfaat demi kepentingan negara Malaysia, hubungan baik dengan negara-negara luar, ketenteraman awam, prinsip moral, penghinaan Mahkamah, fitnah atau hasutan.

Jika dilihat kata-kata Fathia atau Sheila itu ianya masih dalam ruang lingkup Perkara 10(1) itu. Kata-kata kedua-dua artis itu tidak mengancam kepentingan negara, mengganggu hubungan luar negara, mengganggu ketenteraman awam, bercanggah dengan prinsip moral, menghina Mahkamah, menfitnah atau menghasut. Oleh itu, kedua-dua artis ini berhak menyuarakan pendapatnya.

Begitu juga dengan respon balas Dira Abu Zahar adalah masih dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh Perlembagaan. Namun, komen oleh Azwan Ali itu kelihatan bertentangan dengan Perlembagaan dan bercanggah dengan prinsip moral apabila beliau menggunakan kata-kata kesat untuk meluahkan perasaannya.

Isu kebebasan bersuara menjadi hangat kerana yang meluahkannya adalah artis terkenal tanahair dan mendapat publisiti media yang meluas. Apatah lagi, isu yang dibangkitkan itu adalah menentang aspirasi kerajaan yang memerintah sedangkan kita tahu bahawa artis rata-ratanya perlu pro-kerajaan jika ingin muncul di kaca televisyen.

Artis yang tidak muncul di kaca televisyen adalah artis yang dianggap tidak laku dan akan sukar untuk mendapat ‘job’ yang baik. Sebab itu, majoriti artis akan cuba menjauhi elemen politik pembangkang sepanjang karier mereka.

Jika ada pun yang mengambil langkah sebegitu adalah sangat sedikit seperti Aisyah ‘Gegar Vaganza’ dan Abby Abadi. Namun, kedua-dua mereka itu sudah lama terpinggir daripada media arus perdana berbanding Fathia Latiff dan Sheila Majid.

Ada pihak yang membandingkan isu Fathia Latiff dan Sheila Majid ini dengan isu artis M. Nasir pada suatu masa dahulu. Pada waktu itu, M. Nasir tidak hadir ke suatu majlis bacaan puisi yang dihadiri oleh Tun Mahathir selaku Perdana Menteri pada ketika itu.

Wartawan telah bertanyakan beliau mengenai ketidakhadirannya ke majlis itu dan reaksi spontan M. Nasir hanyalah berkata, ‘Siapa Mahathir?’ M. Nasir tidak memberikan apa-apa komentar negatif mengenai pemerintahan kerajaan ketika itu.

Namun, reaksi spontan itu telah mencetuskan kontroversi yang tidak kurang hebat sehinggakan ada cadangan untuk membatalkan status warganegaranya.

Suatu yang jelas pada masa itu, Tun Mahathir sendiri tidak memberikan apa-apa komen. Tindakbalas negatif pada masa itu datang daripada mereka yang berkuasa yang berada di keliling Perdana Menteri yang cuba meraih perhatian Perdana Menteri.

Tindakan sedemikian adalah tidak wajar dibuat oleh sebuah kerajaan yang demokratik dan mengamalkan sistem pemerintahan sivil. Jika perkara itu menjadi suatu perkara yang tidak wajar pada zaman Tun Mahathir maka perkara yang sama itu tidak harus diulang kembali.

Perkara yang sama tidak patut diulang oleh kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak. Apatah lagi pada masa sekarang kesedaran mengenai hak asasi berkaitan hak sivil dan berpolitik sudah semakin bercambah dan makin matang.

Malah, Tun Mahathir sendiri sudah pun sedar mengenai hak asasi ini dan telah memuji langkah berani Fathia dan Sheila Majid. Maka, kenapakah ada pihak yang mempersoalkan langkah Mahathir tiga dekad yang lepas. Ini menunjukkan Tun Mahathir sendiri sudah sedar bahawa tindakannya pada masa lampau itu tidak wajar dibuat oleh sesiapa pun.

Sebenarnya tindakan Fathia dan Sheila itu bukanlah suatu kesalahan jenayah. Hanya ianya suatu tindakan yang tidak disenangi oleh pemerintah yang berkuasa.

Mereka khuatir kritikan sebegitu akan menyedarkan orang ramai betapa Malaysia kini berada dalam keadaan sukar dan bermasalah serta memerlukan harapan baharu. Mereka sedar bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak mampu untuk mengatasi masalah kenaikan harga barang-barang yang tinggi pada masa kini.

Namun, Fathia dan Sheila mungkin akan terdedah kepada sekatan ekonomi yang akan dibuat oleh pendokong kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak. Mereka ini akan berlumba-lumba untuk menunjukkan taat setia kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dengan berusaha mewujudkan sekatan ke atas kedua-dua artis tersebut.

Selepas ini mereka mungkin tidak lagi dipanggil untuk memasuki rancangan terbitan RTM atau TV3. Ini pastinya akan memberikan kesulitan kepada mereka untuk mencari rezeki dalam bidang seni ini.

Oleh sebab itu, artis perlu bangkit untuk melawan kezaliman ini. Adalah sesuatu yang zalim bagi sebuah kerajaan untuk menyekat hak asasi warganegara untuk bercakap dan bersuara dalam ruang lingkup yang dibenarkan Perlembagaan.

Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara dan tidak masuk akal suatu tindakan oleh cabang eksekutif boleh mengatasi undang-undang tertinggi ini.

Undang-undang tertinggi ini akan terus hanya berada dalam buku semata-mata jika kita sendiri tidak mampu untuk mempertahankannya. Peruntukan Perlembagaan hanya hidup jika ada orang yang menggalasnya dan mempertahankan kedaulatannya.
Dalam proses mempertahankan hak ini pasti akan ada yang terkorban. Usah gusar dengan sedikit pengorbanan yang perlu dibuat kerana pengorbanan ini akan berbaloi dan akan diganjari.

Ujian akan datang dengan pelbagai cara bagi mempertahankan kebenaran. Kebenaran hanya akan zahir dengan kita melawan kebatilan. Kebatilan pasti akan musnah kerana itulah sunnah atau hukum alam yang ditetapkan oleh Tuhan Sekalian Alam.

Mungkin para artis ini boleh menyahut seruan Datuk Husam Musa yang menyeru Datuk Sheila Majid dan rakan-rakan artisnya untuk membuat satu konsert khas bagi menggambarkan kepayahan dan kesulitan hidup rakyat Malaysia.

Pastinya jika konsert sebegini dibuat pastinya ia akan membuka mata ramai orang khasnya orang-orang kampung supaya mereka ini akan dapat mengundi dalam PRU 14 untuk memenangkan Pakatan Harapan.

>> Komentar bebas Biro Kanun AMANAH Nasional I 15 Disember 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *