Amerika Syarikat mungkin tak minta bantuan Malaysia dalam siasatan 1MDB

KUALA LUMPUR: Peguam Negara Amerika Syarikat, Jeff Sessions mungkin tidak akan meminta bantuan peguam negara Malaysia untuk melengkapkan siasatan jenayah ke atas 1MDB, kata seorang peguam.

Haniff Khatri Abdulla berkata, ianya kerana Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sudah 2 kali menolak permintaan peguam negara Switzerland untuk Bantuan Perundangan Bersama (MLA).

“Kemungkinan besar Sessions tidak akan menghubungi Apandi untuk meminta kerjasama, susulan apa yang dialami peguam negara Switzerland.”

Katanya, penyiasat AS mungkin menyoal siasat ahli perniagaan, Low Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low, dan juga Riza Aziz, anak tiri Datuk Seri Najib Razak, memandangkan mereka antara yang dinamakan dalam dokumen Jabatan Kehakiman AS (DoJ).

Haniff yang juga peguam kepada bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengulas kenyataan Sessions pada 5 Disember lalu yang menyifatkan isu 1MDB “kleptokrasi paling teruk” dan DoJ berusaha menegakkan keadilan untuk mangsa.

Peguam, S N Nair bagaimanapun berkata, Sessions akan cuba mendapatkan bantuan Apandi memandangkan aktiviti itu didakwa bermula dari Malaysia.

“Jadi, satu-satunya cara untuk menjalankan dan menyiapkan siasatan adalah meminta MLA dari Malaysia,” katanya sambil menambah MLA bagaimanapun adalah bantuan sukarela.

Beliau berkata, Malaysia adalah negara berdaulat dan AS harus mempunyai asas kukuh untuk mendapatkan MLA atau Apandi tidak terikat untuk memberikan sebarang bantuan.

“Jadi, semuanya bergantung kepada peguam negara Malaysia.”

FMT cuba menghubungi Apandi menerusi WhatsApp untuk bertanya sama ada beliau akan memberikan MLA kepada AS, tetapi tidak mendapat sebarang jawapan.

Bercakap pada Forum Global mengenai Pemulihan Aset anjuran AS dan United Kingdom di Washington baru-baru ini, Sessions mendedahkan hampir separuh daripada AS$3.5 bilion (RM14.18 bilion) yang dirampas negara itu berkaitan tindakan penguatkuasaan ke atas 1MDB.

“1MDB diwujudkan kerajaan Malaysia untuk mempromosikan pembangunan ekonomi jangka panjang untuk manfaat rakyat Malaysia.

“Tetapi, pegawai dan sekutu mereka yang didakwa korup dilapor menggunakan dana itu untuk perbelanjaan mewah: AS$200 juta (RM810.5 juta) untuk hartanah di selatan California dan New York.

“AS$130 juta untuk karya seni. AS$100 juta (RM402.5 juta) dalam label muzik Amerika. Tidak ketinggalan kapal layar bernilai AS$265 juta (RM1.07 bilion),” katanya.

Sessions dilaporkan berkata, pegawai 1MDB didakwa menyeleweng dana lebih AS$4.5 bilion (RM18.24 bilion) “menerusi transaksi rahsia dalam rangkaian rumit dan syarikat kosong dengan akaun bank di negara seperti Switzerland, Singapura, Luxembourg dan AS.

DoJ menangguhkan tuntutan pelucuthakan aset itu bagi menjalankan siasatan mendakwa suspek disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram menggunakan sistem kewangan AS.

Najib yang merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB sehingga tahun lepas, menafikan sebarang salah laku dan namanya dibersihkan Apandi, Januari lalu.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *