AMANAH tinjau kawasan terjejas, masalah bekalan air bersih di Kedah makin meruncing

KUALA KEDAH: Masalah bekalan air terawat di Kedah semakin meruncing dan memerlukan tindakan segera kerajaan negeri kerana ia telah berlarutan sejak sekian lama dan membabitkan banyak kawasan.

Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh yang melawat kawasan yang terjejas mahu kerajaan negeri lebih serius mengatasi masalah keperluan asas rakyat itu, lapor Malaysia Dateline.

Penduduk Taman Seri Kota mendapatkan bekalan air bersih di bahu jalan selepas bekalan air di kediaman mereka terputus.

Malah sebaik saja menerima aduan penduduk Taman Seri Kota, Kuala Kedah, beliau bersama beberapa pemimpin AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) segera turun padang meninjau lebih dekat masalah yang dihadapi penduduk.

“Adun Pengkalan Kundor, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH Kedah bersama dengan pegawai Syarikat Air Darul Aman (SADA) bersama saya turun padang meninjau untuk mengetahui keadaan sebenar bekalan air yang sering terputus.

“Selain dari pam air di loji Pelubang yang telah dibaiki akibat kerosakan, SADA juga memaklumkan satu paip tambahan akan dipasang khusus untuk disalurkan ke Taman Seri Kota yang sering mengalami bekalan air terganggu.

“Mereka juga memaklumkan bahawa masalah ini dijangka akan berlarutan antara satu hingga dua hari lagi sebelum ia dapat diatasi sepenuhnya,” ujar beliau ketika ditemui semalam.

Menurut Dr Ismail, SADA juga akan berusaha membekalkan bekalan air bersih terus ke rumah-rumah dengan menggunakan lori.

“Sebaik sahaja menerima aduan dan permintaan dari orang ramai, lori-lori SADA akan segera membekalkan air bersih ke kawasan terlibat.

“Kekerapan terputusnya bekalan air bersih sepatutnya diatasi dengan segera oleh kerajaan negeri kerana masalah ini telah berlarutan begitu lama.

“Lebih parah lagi ketika cuti umum dan hari perayaan apabila penggunaan air meningkat sehingga menyebabkan urusan harian penduduk terganggu,” jelas beliau.

Sehubungan itu beliau mahu kerajaan negeri memberi tumpuan khusus untuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih di negeri ini.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *