Pemuda AMANAH Sabah gesa campur tangan kerajaan negeri atasi isu pekerja SFI

KOTA KINABALU: Pemuda AMANAH Sabah menggesa kerajaan negeri Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Musa Aman untuk campur tangan dan menyelesaikan isu gaji membabitkan pekerja Sabah Forest Industry (SFI) Sdn Bhd.

Ketuanya, Khairuddin Daud berkata, isu dihadapi pekerja syarikat pengeluar pulpa dan kertas itu sudah berlarutan sejak 2009 bahkan diketengahkan ke mahkamah.

Menurutnya, nasib 1,600 pekerja SFI dalam keadaan tidak menentu sejak Januari tahun ini ekoran operasi syarikat terbabit telah dihentikan.

Walaupun demikian, jelasnya, pekerja terbabit tetap disuruh datang ke kilang mengikut waktu bekerja tetapi gaji mereka gagal dijelaskan sehingga Mac lalu.

“Kami menggesa agar kerajaan negeri Sabah mengambil serius nasib 1,600 pekerja SFI yang terumbang-ambing ini daripada terus hilang pergantungan dan tempat mencari rezeki.

“Janganlah biarkan anak negeri Sabah mendapat susah dan berperut kosong kerana ketidakcekapan pengurusan sedangkan negeri ini kaya dengan hasil bumi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Khairuddin berkata, ketidakcekapan SFI berterusan menjadi isu apabila syarikat tersebut baru-baru ini memaksa 1,390 pekerja mereka mengambil separuh daripada gaji yang sepatutnya bermula Januari tahun depan.

“Walaupun SFI ini dimiliki syarikat luar negara namun apabila mereka beroperasi di negara kita maka sewajibnya pihak syarikat mematuhi segala peraturan dan undang-undang di negara ini.

“Untuk pengetahuan Datuk Seri, mereka ini mempunyai mulut untuk disuap dan perut yang perlu diisi demi melangsungkan kehidupan sebagai seorang manusia biasa.

“Tidakkah kerajaan negeri boleh duduk berbincang dengan syarikat ini demi menyelamatkan nasib pekerja-pekerja tempatan Sabah ini?

“Biarlah rakyat marhaen sama-sama menikmati kekayaan hasil Negeri di Bawah Bayu ini,” tegas Khairuddin lagi.

Laporan media menyebut pekerja SFI dibenarkan untuk mengambil cuti atau bekerja di tempat lain sehinggalah syarikat tersebut dibeli oleh pembida tertinggi.

Hanya 200 pekerja yang akan dikekalkan namun nasib mereka juga tidak menentu sama ada akan diambil bekerja semula ataupun tidak selepas ini.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *