Peguam maklum Mahathir disiasat di bawah 3 akta, sedia jawan di mahkamah tak gentar dihukum

PUTRAJAYA: Polis memaklumkan Tun Dr Mahathir Mohamad disiasat di bawah 3 akta, kata peguamnya, Haniff Khatri Abdulla.

Katanya, polis mengemukakan 32 soalan kepada pengerusi Pakatan Harapan itu dalam sesi soal siasat kira-kira 48 minit di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

“Pegawai polis yang datang ada beritahu 3 laporan polis dibuat dan siasatan menjurus kepada 3 pertuduhan di bawah 3 akta.

“Satu daripadanya di bawah Akta Hasutan 1948, kedua adalah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan satu lagi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya di luar bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana, selepas selesai sesi soal siasat itu.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu sedia menjawab isu Bugis di mahkamah dan tidak gentar dihukum.

“Tun tidak bimbang akan hukuman dan pertuduhan, tetapi kalau nak buat tuduhan, lebih baik buat pertuduhan. Jangan buang masa dia. Ini kali ke-5 polis ambil keterangan dia dalam pelbagai isu.

“Ini kali pertama bagi isu Bugis. Kalau nak tuduh, buatlah di mahkamah. Dia akan beri keterangan di mahkamah,” katanya sambil mengulangi kenyataan Dr Mahathir berkaitan lanun bugis yang ditujukan kepada Datuk Seri Najib Razak, bukannya seluruh etnik itu.

Empat pegawai dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman tiba dengan 2 kereta berasingan kira-kira 1.34 tengah hari Rabu lalu, untuk mengambil keterangan Dr Mahathir. Empat peguam Dr Mahathir diketuai Haniff yang tiba 30 minit lebih awal, turut hadir dalam sesi soal siasat itu.

Siasatan selesai kira-kira 3.10 petang.

Pada 14 Oktober lalu, Dr Mahathir ketika berucap dalam perhimpunan anti-kleptokrasi di Petaling Jaya, mengaitkan Najib dengan keturunan “lanun Bugis”.

Susulan itu, Dewan di-Raja Selangor mahu Dr Mahathir disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948. Pada 17 Oktober lalu, 2 laporan polis dibuat Persatuan Bugis Johor berhubung kenyataan itu.

Salah faham siasatan hari ini berkaitan isu skandal forex

Dalam perkembangan sama, Haniff berkata, berdasarkan makluman awal yang mereka terima, polis sepatutnya mengambil keterangan Dr Mahathir berkaitan kerugian RM31.5 bilion yang ditanggung Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urus niaga mata wang (forex) sekitar 1990-an.

Bagaimanapun, beliau berkata, sebaliknya berlaku apabila pasukan polis yang hadir memaklumkan siasatan hari ini berhubung isu Bugis.

“Ada salah faham kerana kami diberitahu di peringkat awal Tun akan disiasat berhubung laporan polis yang dibuat Setiausaha RCI pada 30 November. Tetapi, apabila kami sampai hari ini, baru kami dimaklumkan pasukan polis keterangan hari ini berhubung isu Bugis.

“Semalam, ketua polis negara kata isu Bugis masih dalam siasatan dan Tun akan dipanggil kemudian. Tiba-tiba, hari ini mereka datang untuk isu kenyataan Bugis dan bukannya RCI.

“Berhubung isu RCI, kami tidak tahu mereka nak datang bila, hari ini atau malam ini? Perkara seperti ini tidak harus disiasat seperti kes bunuh, rompak dan rogol. Kalau isu jenayah, baik buat pertuduhan.”

Dr Mahathir turut berdepan siasatan berhubung kerugian RM31.5 bilion yang ditanggung BNM dalam urus niaga forex kira-kira 25 tahun lalu.

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) membuat kesimpulan terdapat unsur fakta dan maklumat tersembunyi berkaitan kerugian forex ditanggung BNM dan kenyataan mengelirukan yang diberikan kepada Kabinet, Parlimen dan orang ramai.

RCI dalam laporannya menyalahkan bekas penasihat BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop atas kerugian yang ditanggung bank pusat itu dalam urus niaga forex pada 1992 hingga 1994.

Mereka turut mengesyorkan polis menyiasat Dr Mahathir, bekas menteri kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *