Khalid fail writ saman terhadap CEO IKSIM dakwa halang RUU355 dibahaskan di Parlimen

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad telah memfailkan writ saman terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) Prof Datuk Mahamad Naser Disa kerana didakwa dengan sengaja memfitnahnya berkaitan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) ketika menyampaikan ceramah di Masjid Bukit Beruntung pada Ogos lalu.

Menurut Khalid sebelum writ saman difailkan pihaknya menerusi peguam Tetuan Faiz Fadzil & Co telah menghantar notis tuntutan (letter of demand) kepada Prof Mahamad Naser untuk menarik balik kenyataan dan menuntut permohonan maaf terbuka terhadap dakwaan beliau.

Bagaimanapun Prof Mahamad Naser tidak berbuat demikian, lapor Malaysia Dateline.

“Bagi saya tuduhan ini amat jelas kerana agak mustahil sebagai seorang ahli parlimen daripada pembangkang boleh menghalang perbahasan mana-mana rang undang-undang dalam Parlimen kerana Parlimen bukan kita yang menguasainya,” ujar Khalid dalam sidang media diadakan di pejabat ahli parlimen Shah Alam semalam.

Writ saman itu menerangkan pada 28 September 2017 lalu lebih kurang jam 9.50 pagi di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Shah Alam, Prof Mahamad Naser telah dipercayai mengeluarkan ucapan yang mempunyai perkataan-perkataan fitnah.

Kenyataan fitnah itu diucapkan ketika menghadiri seminar anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang bertajuk:’Wacana Isu Semasa an Perundangan Peringkat Negeri Selangor: Doktrin: Cabaran dan Perlembagaan’.

Prof Mahamad Naser didakwa ada membuat pernyataan:”…Akta 355 perlu dipinda. Salah satu punca kenapa Akta 355 tidak boleh dipinda kerana orang Shah Alam hantar ahli Parlimen yang menentang Akta 355. Saya serah pada tuan-tuan nak sokong ataupun tak sokong Akta 355. Kalau tuan-tuan tak setuju dengan Akta 355 bolehlah hantar ahli Parlimen yang sama.”

Menurut Peguam Faiz, berdasarkan kenyataan tersebut kita dapati telah wujud elemen fitnah (slander) dan pada awalnya telah menghantar ‘letter of demand’ bertarikh 19 Oktober lalu kepada beliau tetapi tiada permohonan maaf dibuat, atas dasar itu writ saman ini difailkan.

“Kami dapati ucapan beliau itu telah dimuat naik di laman media sosial yang diakses oleh penguna internet.

“Kita menuntut ganti rugi yang akan ditentukan mahkamah dan injunksi menghalang penerbitan ucapan yang sama dan permohonan maaf secara terbuka,” ujarnya.

Beliau turut berkata saman ini dilakukan kerana ia bukan kali pertama Pengarah Komunikasi AMANAH ini difitnah berkaitan RUU355 yang mana turut membabitkan sebuah akhbar pro kerajaan yang kini kes saman masih lagi berlansung di mahkamah.

“Ia bertujuan untuk diambil pertimbangan bahawa YB Khalid sudah menjadi objek serangan beberapa pihak berkaitan isu RU355….ini bukan kali pertama saman ke atas isu RUU355 ini difailkan.

“Sebelum ini juga beliau telah menyaman Berita Harian yang mana perbicaraan masih lagi berlansung yang akan diadakan pada Ogos tahun depan.

“Kita mengambil keputusan sama terhadap pihak terbabit supaya memberi kesedaran kepada pihak di luar supaya tidak dibangkitkan lagi isu ini kerana ia sepatutnya dibahaskan di parlimen kerana
melibatkan isu legislatif,” terangnya.

Dimaklumkan mahkamah telah menetapkan 16 Januari tahun hadapan pengurusan kes pada peringkat permulaan bagi kedua pihak.

Menurut Khalid lagi, beliau bertindak untuk memfailkan saman terhadap Prof Mahamad Naser dan Berita Harian kerana didapati membuat tuduhan rambang terhadapnya yang lebih menjurus kepada
strategi politik ke partian dakwanya.

“Isu saya nak saman Datuk Naser dan Berita Harian kerana kami dapati tuduhan rambang seperti ini adalah strategi politik pihak parti pemerintah.

“Ini kerana mereka mahu memberikan gambaran bahawa Pas adalah pro Islam dan parti pembangkang lain anti Islam.

“Bagi kami ini mainan politik dan terbukti kebenarannya apabila pada sesi terakhir sidang parlimen pada 30 November lalu isu RUU355 langsung tak timbul.

“Yang membentang diam, kerajaan pun diam. Amat penting saya ambil tindakan undang-undang ini untuk menafikan dakwaan mereka dan untuk mengagalkan strategi mereka,” terangnya.

Menurut Khalid lagi, Pakatan Harapan tidak keberatan malah menyokong usaha untuk memperkasakan mahkamah syariah kerana itu memang merupakan satu institusi penting yang perlu diperkasakan demi membawa imej keadilan Islam.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *