PRU14 tidak lagi undi BN, cara bantu ubah Umno sebagai kerajaan tidak kuasai Putrajaya

Umno yang kini berusia 71 tahun khabarnya mahu berubah. Ya, Umno perlu berubah sejajar dengan perkembangan semasa dalam dunia tanpa sempadan dan era media tanpa kawalan kerajaan semata-mata.

Umno, dengar kata, mahu berubah menjadi parti yang benar-benar memperjuangkan nasib orang Melayu dan Bumiputera di negara ini dengan memastikan mereka tanpa mengira parti boleh berjaya di bumi bertuah Malaysia.

Umno, khabarnya, mahu berubah untuk menjadi parti yang menjaga kepentingan rakyat, meringankan beban kehidupan dan tidak sekadar menjadi parti yang menjaga kepentingan para kroni atau anak-beranak semata-mata.

Umno juga tidak mahu lagi hanya mempunyai banyak cawangan yang kesemuanya adalah terdiri daripada sepupu-sepapat sahaja dengan jawatan ketua bahagian diperturunkan dari generasi ke generasi.

Dalam bahasa mudahnya, jawatan ketua bahagian Umno dan kerusi penting lain dalam cawangannya tidak diperturunkan dari bapa kepada anak, dari anak kepada cucu.

Umno tidak mahu lagi menjadi parti yang terheret dengan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah yang membarah kerana tidak pernah duduk di kerusi pembangkang sejak Malaysia merdeka pada 1957.

Terpalit isu, skandal mega

Umno tentunya tidak mahu terpalit lagi dengan isu-isu mega seperti 1MDB, Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) atau dakwaan salah guna kuasa dalam Felda mahupun MARA yang bukan sahaja dipaparkan di media Malaysia.

Justeru, dalam masa beberapa bulan lagi, Malaysia bakal menjalani proses demokrasi berperlembagaannya dengan mengadakan pilihan raya umum ke-14 yang dijangka berlaku selepas perayaan Tahun Baru Cina pada pertengahan bulan Februari tahun depan.

Yang pasti, Umno dalam kerangka BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak akan berentap, berdepan saingan sengit dari Pakatan Harapan yang diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bersama-sama Mahathir ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Zaid Ibrahim yang berasal dari Umno selain tiupan semangat bekas Timbalan Perdana Menteri dari Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjadi tahanan politik.

Inilah masanya, inilah ketikanya ahli-ahli Umno dan seluruh rakyat Malaysia membantu untuk merubah Umno dengan tidak lagi memangkah Umno dan BN pada PRU14.

Pelik tapi ada kebenaran

Bunyi macam pelik, tetapi itulah satu-satunya cara untuk merubah Umno agar parti itu kembali ke landasan politiknya seperti ketika Malaysia di awal-awal kemerdekaannya.

Dengan berbuat demikian, seluruh ahli Umno dan rakyat Malaysia turut menjadikan PRU14 sebagai medan untuk mengangkat kembali bekas presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri buat sekian kalinya.

Apa salahnya Mahathir menjadi perdana menteri sekali lagi kerana beliau dahulunya pun menjadi idola dan kebangsaan ahli-ahli Umno sebagai presiden parti itu.

Apabila Mahathir kembali menjadi PM bersama sebahagian besar kabinetnya yang juga bekas Umno, maka beliau pastinya akan ‘membersihkan’ Umno apabila puak-puak kroni yang selama ini menjadi liabiliti kepada parti itu lari meninggalkannya.

Apabila Umno tidak lagi menjadi kerajaan, maka secara automatik, ganjaran, habuan atau apa yang selalu disebut sebagai dedak ini tidak lagi bertebaran dan mereka yang bersama Umno kerana dedak akan hilang begitu sahaja.

Mereka ini akan hilang slogan ‘Hidup Melayu’ yang saban tahun dilaungkan, sebaliknya menghimpit dan mengendeng ‘musuh’ dan seteru politik sebelum ini demi mendapatkan projek atau pekerjaan bagi mengisi perut.

Mereka yang setia, ikhlas

Yang tinggal dalam Umno ialah ahli-ahlinya yang terus setia, bersemangat untuk mempertahankan parti secara ikhlas demi agama, bangsa dan negara.

Mungkin ratusan atau ribuan ramainya dan tak mungkin sekali jutaan, mereka inilah yang akan membantu Umno untuk kembali menjadi kerajaan selepas HARAPAN mengambil alih Putrajaya pada PRU14.

Mereka ini akan berjuang, pada setiap PRU, tanpa mengharapkan apa jua ganjaran semata-mata demi bangsa mereka tanpa sekelumit jua niat untuk mendapatkan projek atau dedak.

Mereka ini akan mengadakan pemilihan secara telus untuk memilih pimpinan utama Umno tanpa menyekat mana-mana pihak terutama golongan profesional untuk bertanding.

Bersih, tampak bersih

Mereka ini akan menghadiri perhimpunan Umno dan mengundi para pemimpin dan anggota majlis tertinggi yang bukan sahaja boleh bekerja, tetapi bersih atau setidak-tidaknya tampak bersih, berintegriti dan tidak terpalit dengan sebarang skandal atau isu.

Mereka ini juga, walaupun tidak seramai mana, akan berusaha kekal tanpa bergantung kepada mana-mana kabel untuk berjaya dalam apa jua urusan.

Setelah Mahathir bersama Muhyiddin dan Mukhriz mengambil alih tampuk pemerintahan negara, Umno akan dapat, berjaya ‘dipulihkan’.

Mungkin selepas beberapa PRU, Umno akan kembali menjadi Kerajaan Persekutuan. Bezanya pada masa itu, Umno yang telah ‘pulih’ itu tidak akan mengulangi kesilapan yang sama seperti apa yang berlaku sekarang.

Insya-Allah, itu semua boleh berlaku jika ahli-ahli Umno mahu melakukannya. Bangkitlah, bangkitlah untuk merubah Umno.

>> Komentar bebas AMRAN AHMAD NOR, bekas pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan Melayu dan masih menjejaki perjuangan arwah Ahmad Nor, bekas Presiden CUEPACS dan Naib Pengerusi DAP.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *