Pakatan Harapan Johor dakwa SPRM dijadikan perkakas tutup skandal hartanah

JOHOR BHARU: Kelihatan seperti ada sesuatu yang tidak kena apabila Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin masih belum disiasat ekoran kebocoran kenyataan saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan skandal hartanah negeri itu.

‘Drama’ bermula apabila apabila Adun Senai, Wong Shu Qi disiasat polis ekoran ucapannya dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) 27 November lalu.

Ia diikuti dengan penahanan blogger, Yusof Al-Siddique Suratman atau dikenali sebagai Milo Suam pada 8 Disember lalu dan direman selama tiga hari.

“Malangnya, mengapa sehingga kini masih tiada sebarang siasatan dimulakan keatas Khaled berikutan dakwaan rasuah mengaitkan nama beliau sepertimana dibangkitkan ADUN Senai semasa sidang DUN Johor pada 27 November 2017 lalu?” kata Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, kegagalan SPRM untuk memulakan siasatan terhadap Khaled hanya akan menzahirkan sikap tidak adil serta pengabaian terhadap kepentingan rakyat Johor keseluruhannya.

“Tindakan tersebut memperlihatkan isyarat ‘ada sesuatu yang tak kena’ apabila Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin yang kami gelarkan sebagai Johor Official 1 (JO1) masih belum disiasat sehingga hari ini, lapor RoketKini.Com.

“Kami melihat, langkah oleh pihak polis memohon perlanjutan reman tersebut sebagai tindakan yang cukup pantas dan tegas yang telah diambil oleh pihak berkuasa ke atas blogger Milosuam,” kata mereka.

Di sebalik tahanan reman terhadap blogger tersebut, timbul satu lagi persoalan, “Adakah pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang diperalatkan oleh JO1 demi menutup dakwaan skandal rasuah yang timbul? Adakah SPRM telah menjadi perkakas untuk kepentingan JO1?”

“Kami mendesak agar pihak berkuasa khususnya SPRM tidak bersikap selektif dalam mengendalikan kes skandal hartanah di Johor ini,”.

HARAPAN Johor beranggapan bahawa respon Khaled semasa ucapan penggulungan sidang DUN Johor Isnin lalu sebagai percubaannya melepas tangan terhadap segala persoalan yang dibangkitkan.

“Bahkan ianya merupakan suatu pembohongan.”

Dalam ucapan tersebut, Khaled mendakwa pentadbiran beliau ‘tidak menerima apa-apa suapan, tidak akan menerima apa-apa suapan dan akan menentang segala usaha untuk memberi apa jua bentuk suapan’ samada kepada diri beliau atau pentadbiran beliau.

“Khaled secara terang-terangan telah berbohong di dewan negeri.

“Rakyat Johor masih tidak lupa bagaimana exco dibawah pentadbiran beliau pada awal tahun ini, Datuk Abd Latiff Bandi telah didakwa atas tuduhan rasuah berhubung isu hartanah Johor. Kami ulang, Latiff adalah ‘exco dibawah pentadbiran beliau’,” kata HARAPAN Johor lagi.

Kenyataan INI telah dikeluarkan bersama oleh Pengerusi HARAPAN Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi PPBM Johor, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh; Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong; Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dan Pengerusi PKR Johor, Hassan Karim.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *