Kerajaan digesa bantu pengusaha bas sekolah kurangkan beban kos, elak naik harga tambang

KUALA LUMPUR: Pemuda AMANAH Nasional menggesa kerajaan agar segera mencari alternatif bagi mengurangkan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh pengusaha bas di semua peringkat termasuklah memberikan bantuan khusus ataupun subsidi.

Kerajaan juga sewajarnya mengambil kira tuntutan pengusaha bas yang mengharapkan kerajaan memberikan subsidi minyak diesel kepada kira-kira 18,000 pengusaha bas di seluruh negara seperti yang diterima nelayan dan akan membantu para pengusaha untuk menetapkan kadar tambang yang lebih rendah kepada murid, kata Bendahari Pemuda AMANAH Nasional, Hasnul Zulkarnain dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Malaysia Dateline, Pemuda AMANAH Nasional turut membantah hasrat Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia untuk menaikkan harga tambang bagi sesi persekolahan tahun hadapan.

“Persatuan itu mendakwa, kenaikan tersebut didorong oleh kos penyelenggaraan yang meningkat sehingga 80 peratus di samping faktor harga minyak yang tidak stabil.

“Kenaikan tersebut sudah pasti disambut dengan penuh kekecewaan memandangkan ibu bapa murid kini dalam keadaan tertekan dengan peningkatan kos kehidupan yang tidak dapat dikawal termasuklah persiapan persekolahan untuk sesi akan datang,” katanya lagi.

Pemuda AMANAH kata beliau, memahami dilema yang dihadapi oleh ibu bapa dan pihaknya sangat menjiwai bebanan yang dihadapi oleh para pengusaha bas yang sangat terbeban dengan kos semasa disebabkan perlaksanaan cukai GST serta kegagalan kerajaan mengurus ekonomi negara.

“Namun, menaikkan kadar tambang bukanlah solusi terbaik yang perlu dilakukan.

“Dalam hal ini, kami berharap kerajaan melalui kementerian berkaitan perlu bertanggungjawab serta mengambil perhatian serius seterusnya mencari mekanisme yang terbaik dan realisitik dalam menangani permasalah ini,” katanya.

Sehubungan itu katanya, Pemuda AMANAH Nasional menggesa kerajaan berbincang secara tuntas dan serius dengan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia untuk mencapai keputusan yang terbaik dengan mengambil kira aspek bebanan semasa yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa murid.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *