BN dan Parti Komunis China semakin rapat, satu pertemuan telah diadakan di Hotel Istana 7 Disember lalu

KUALA LUMPUR: Ketika kemarahan mula meletus terhadap pelaburan berupa pinjaman dari negara China ke negara ini ekoran masalah yang dihadapi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mesyuarat antara Barisan Nasional (BN) dengan Parti Komunis China (PKC) 7 Disember lepas tersebar.

Ia semakin memarakkan lagi kerisauan rakyat negara ini terhadap hubungan tidak telus antara Umno dengan PKC itu, lapor Malaysia Dateline.

Semua media sosial, terutama facebook dan whatsapp dipenuhi dengan gambar mesyuarat bersama antara BN dengan PKC yang dikatakan berlangsung di Hotel Istana, Kuala Lumpur 7 Disember lalu. Ia seolah-olah berlangsung serentak dengan Perhimpunan Agung Umno 2017 (PAU 17).

Menurut gambar yang disebarkan itu, satu mesyuarat mejabulat (round table meeting) berlaku antara BN dengan PKC pada 7 Disember lepas di Hotel Istana, Kuala Lumpur. Tidak diketahui siapa pemimpin BN yang hadir dalam mesyuarat itu.

Penyebaran gambar ini berlaku ketika rakyat negara ini bimbang dengan kedatangan pelaburan China yang berlaku ketika pentadbiran Najib sangat terdesak perlukan pelaburan dan wang bagi menangani masalah 1MDB.

Forum Anak Muda Cari Jho Low (AMCJL) yang dihadiri pimpinan utama Pakatan Harapan mengambil keputusan untuk mengadakan himpunan di perkarangan “Tembok Besar China Kuantan”.

Ia bertujuan untuk menyatakan bantahan terhadap pelaburan yang tidak jelas China ke negara ini dan disifatkan mengambil kesempatan dari masalah yang sedang dihadapi oleh perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Kita sedia terima pelaburan asing dari mana-mana negara sahaja tetapi tidak sampai mengganggu kedaulatan negara kita,” kata Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut serta dalam forum itu.

Tembok Besar China Kuantan adalah tembok yang dibina setinggi lapan kaki sebagai pagar kepada kira-kira 1,200 ekar tanah untuk projek fasa satu Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP).

Ia terletak di Gebeng, kira-kira 25 KM dari bandar Kuantan. Bagi penduduk tempatan, tembok itu digelar sebagai “Tembok Besar China Kuantan.”

Berita Sri Lanka terpaksa menyerahkan perlabuhan air dalamnya kepada sebuah syarikat China selepas gagal membayar hutangnya juga menjadi berita panas di media.

Sri Lanka berhutang dengan China hanya sebanyak AS$8 bilion (RM24 bilion sahaja), jumlah itu dipinjam bekas Presiden Mahinda Rajapaksa untuk projek pembinaan infrastruktur negara itu, termasuklah pelabuhan tersebut.

Sedangkan projek ECRL sahaja, negara berhutang dengan China sebanyak RM55 bilion tidak termasuk projek-projek lain di seluruh negara.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *