Malaysia bukan negara diktator sehingga pemimpin tak boleh dikritik kata Kadir Jasin

KUALA LUMPUR: Dua wartawan veteran hari ini membidas seorang perwakilan Umno Pulau Pinang yang menggesa pihak berkuasa menyiasat sebuah portal berita didakwa menyiarkan laporan “menghina” Perdana Menteri.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press itu, Datuk A Kadir Jasin berkata, Malaysia bukan negara diktator seperti China dan Korea Utara, di mana pemimpin wajib disanjung seperti tuhan dan tidak boleh dikritik sedikit pun.

“Sesiapa pun boleh gesa TMI (The Malaysian Insight) atau mana-mana portal berita disiasat, kalau ada asas yang kuat.

“Kalau wakil Umno itu berasa yakin Najib telah dihina, dia bolehlah mengemukakan tindakan sivil seperti saman malu.

“Itupun hanyalah selepas TMI gagal atau enggan memberi peluang kepada Najib membela diri melalui proses ‘right of reply’,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Bahagian Tasek Gelugor, Mohd Nashrol Hisham Abdullah yang menggesa kerajaan menyiasat TMI kerana laporan mereka didakwa menghina pemimpin negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dilaporkan berkata, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyiasat portal berita itu.

“Jika ia langgar akta yang ada, sudah tentu kita akan buat siasatan dan kita akan beri laporan pada pihak yang berkenaan ambil tindakan seterusnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Kadir berkata, mengkritik seseorang, khususnya ahli politik bukan perbuatan jenayah.

“Tidak tahulah saya kalau Umno sekarang sudah mengikut cara parti komunis.”

Sementara itu, bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Tan Sri Zainuddin Maidin menyifatkan tindakan wakil Umno Pulau Pinang membawa usul itu ke Perhimpunan Agung Umno tidak bijak.

Bekas menteri penerangan itu berkata, perhimpunan agung itu bukan saluran betul untuk menangani perkara berkenaan.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *