Adun Senai tampil ke IPK Johor beri keterangan kebocoran dokumen SPRM

JOHOR BHARU: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai Wong Shu Qi hari ini tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bagi membantu siasatan berhubung kebocoran dokumen kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di laman web yang dikatakan mengandungi kenyataan saksi.

Wong yang merupakan anggota DAP itu tiba di IPK Johor pada 4.15 petang semalam dengan diiringi Ketua Biro Guaman DAP Gobind Singh Deo yang juga Ahli Parlimen Puchong.

Bercakap kepada pemberita selepas memberi keterangan kepada pegawai siasatan dari Bukit Aman, Wong berkata beliau disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan kerana mendedahkan maklumat dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Gobind pula berkata polis memanggil Wong untuk memberi keterangan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah dan proses memberi keterangan hari ini mengambil masa kira-kira 40 minit, lapor Bernama.

“Pada saya ini adalah satu kes yang kita tidak mahu menjadi precedent (duluan) kerana YB Wong melaksanakan tugas beliau sebagai seorang ADUN semasa berbahas di dalam Dewan dan kepada saya, apa yang disebut oleh seorang ahli Dewan itu adalah perkara yang seharusnya terlindung di bawah Perlembagaan Persekutuan, katanya.

Gobind berkata beliau akan menulis surat kepada SPRM dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bagi mengetahui siasatan berkenaan perkara disebut Wong dalam perbahasan memandangkan ia sudah menjadi pengetahuan umum dan isu awam.

Wong pada 27 Nov lepas diarah keluar Dun Johor selepas enggan menarik balik kenyataan yang dikeluarkannya ketika membahaskan Bajet Johor 2018 mengenai kesahihan maklumat dalam dokumen SPRM yang dimuat naik oleh sebuah blog.

Dokumen itu mengaitkan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin terlibat dalam rasuah dan skandal hartanah melibatkan bekas Exco negeri ini dan Mohamed Khaled pada ucapan penggulungan persidangan Dun Johor, Isnin lepas, (4 Dis) pula menafikan sekeras-kerasnya dakwaan rasuah yang diterimanya seperti dikatakan terkandung dalam dokumen siasatan SPRM terbabit.

Mohamad Fuzi seperti dilaporkan media mengesahkan menerima laporan daripada pihak SPRM berhubung kebocoran dokumen itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki pula turut dilaporkan berkata pembocoran dokumen yang dikelaskan sebagai rahsia itu adalah perkara serius.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *